Pengenaan Cukai Oleh LHDNM Dalam Ekonomi Gig

Menjelang tahun 2020, ekonomi gig mula mendapat tempat malah ribuan sudah mula beralih ke sektor baharu itu yang dilihat mampu menjana lebih banyak pendapatan berbanding beberapa sektor lain. Investopedia membuat takrifan sebagai “pekerjaan yang fleksibel adalah tempat biasa dan syarikat cenderung untuk mengambil kontraktor dan pekerja bebas dan bukannya pekerja sepenuh masa”.

Beberapa istilah lain juga digunakan bagi sektor baharu ini seperti Sharing Economy, Collaborative Economy, Digital Economy, Crowd Economy dan Peer Economy.

Perkembangan Ekonomi 

Ekonomi gig menjadi segmen ekonomi yang semakin meningkat popular sejak akhir-akhir ini, terutama dalam kalangan generasi muda. Ekonomi gig dijangka terus berkembang pada 2021 selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi berikutan dengan pandemik COVID-19.

Kadar pengangguran yang tinggi ini menyebabkan platform ekonomi gig seperti Grab dan FoodPanda mula menjadi pilihan untuk mereka menyara kehidupan. Justeru, tidak hairanlah kerajaan ingin memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi dalam merangka Rancangan Malaysia ke 12 tahun 2021 – 2025.

Komponen dan Ciri-Ciri Ekonomi Gig

Terdapat tiga komponen utama dalam Ekonomi Gig. Pertama, pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu. Kedua, pelanggan mahu perkhidmatan spesifik. Ketiga, syarikat membina medium antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan platform aplikasi teknologi seperti Grabfood, Foodpanda, TaskRabbit, BungkusIt serta perkhidmatan seru-pandu seperti Grab dan MyCar.

Pendapatan sebagai pemandu GrabCar juga boleh dikenakan cukai pendapatan sekiranya memenuhi syarat.

Tiada garis panduan yang khusus untuk menerangkan pekerjaan dalam ekonomi gig ini. Bagaimanapun, ianya boleh disimpulkan kepada beberapa ciri. Pertama, sistem kerja tanpa kontrak. Pekerja tidak terikat dengan satu syarikat atau satu pekerjaan tertentu.

Seseorang itu boleh bekerja di tiga syarikat sekaligus atau lebih tanpa batasan di era digital. Kedua, pekerja mempunyai masa fleksibel tanpa terikat dengan waktu normal bekerja. Pekerja bebas bekerja pada bila-bila masa asalkan kerja dibuat boleh diselesaikan pada waktu yang dipersetujui.  Ketiga, hasil pendapatan lebih daripada satu.

Tidak hairan apabila generasi milenial ini boleh menghasilkan pendapatan lebih lumayan malah pendapatan mereka boleh mencecah ratusan ribu ringgit berbanding mereka yang telah lama bekerja di syarikat. Ini disebabkan era ekonomi gig membolehkan mereka bekerja di beberapa tempat tanpa terikat dengan peraturan tertentu.

Ciri terakhir bagi ekonomi gig ialah bebas menyelesaikan pekerjaan. Sambil bekerja sambil bersantai asalkan pekerjaan tersebut boleh selesai pada waktu yang ditentukan. Dengan cara ini, seseorang itu dapat mengurangkan tekanan emosi dan stress. Kebebasan bekerja mungkin menjadi ciri utama mereka memilih menjadi freelancer atau self-employed.

Pengenaan Cukai Dalam Ekonomi Gig

Kini, semakin ramai yang terlibat dengan ekonomi gig kerana menginginkan kebebasan dalam bekerja. Bukan sahaja itu, ekonomi gig juga telah membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan ekonomi rakyat Malaysia dan negara kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kebanyakan mereka yang terkesan dengan situasi ini telah beralih kepada ekonomi gig dengan membuat kerja separuh masa untuk menambah pendapatan seperti menjadi pemandu Grab, bekerja sebagai penghantar makanan, terlibat dengan perniagaan dalam talian dan banyak lagi. Adakah golongan yang bekerja separuh masa seperti ini perlu melaporkan pendapatan tersebut? 

Secara asasnya, ia bergantung kepada kekerapan kerja separuh masa itu dilakukan. Jika pekerjaan tersebut dilakukan satu atau dua kali sahaja, mereka boleh menggunakan borang BE untuk melaporkan pendapatan. Pendapatan yang diterima daripada pekerjaan separuh masa atau part time tersebut perlu diisi dalam bahagian pendapatan lain.

Bagaimanapun, jika pekerjaan part time tersebut dilakukan secara kerap seperti dilakukan setiap bulan, maka ia lebih kepada business model, maka perlu melaporkan pendapatan menggunakan borang B (Individu Berpendapatan Perniagaan).

Bagi kategori borang B ini contohnya perniagaan dalam talian, pembelian barang dan kos perbelanjaan bagi penghantaran barang adalah dibenarkan tuntutannya sebagai pelepasan cukai.

Kekerapan pekerjaan yang dilakukan menentukan jenis Borang Nyata ketika melapor pendapatan kepada LHDNM.

Kesimpulannya, apa sahaja pekerjaan yang menghasilkan pendapatan termasuklah pekerjaan dalam ekonomi gig perlu dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi tujuan cukai pendapatan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Borang Maklumbalas Pelanggan atau hubungi HASiL Care Line di 03-8911 1000. Maklumat lanjut percukaian boleh diperolehi  di www.hasil.gov.my.

Sumbangan anda jaminan kemakmuran negara.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.