Jika kita perhatikan dekad sebelum ini, industri kesihatan dunia ini dipelopori oleh syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang farmaseutikal. Banyak syarikat farmaseutikal berlumba-lumba dalam penyelidikan mereka bagi menghasilkan vaksin atau ubat-ubatan bagi pesakit kronik.
Ini kerana pulangannya adalah begitu lumayan sekali. Dan masa telah berubah dengan begitu pantas.
Mungkin kita sedikit pelik apa kaitan industri kesihatan dengan syarikat teknologi di Silicon Valley?
Sama ada kita sedar atau tidak, industri kesihatan kini telah beralih ke era digital di mana hampir semua data dan maklumat mengenai seseorang pesakit disimpan dalam teknologi clould yang dikuasai oleh syarikat gergasi teknologi.
Di antara syarikat terkenal dalam membuat pelaburan yang besar terhadap industri kesihatan ini adalah Google, Apple, Amazon dan juga Microsoft.
Voice recognition merupakan teknologi yang digunakan oleh syarikat gergasi bagi memudahkan pelanggan mereka untuk menggunakan produk mereka dengan bantuan suara.
Antara voice recognition yang paling popular ketika ini adalah “Siri” yang merupakan pembantu maya dibangunkan oleh Apple. Amazon pula ada Alexa, Google pula ada Google Assistant.
Teknologi ini memudahkan pengguna dan disebabkan perkara tersebut, banyak syarikat mengambil langkah yang besar dalam pelaburan membangunkan teknologi ini. Microsoft melihat pembangunan teknologi ini sangat penting bagi pertumbuhan syarikat tersebut di masa hadapan.
Siapa Nuance Communications?
Nuance Communications diasaskan pada tahun 1992. Pada ketika itu, syarikat ini dipanggil Visioneer.
Syarikat ini kemudian menukar nama kepada ScanSoft pada tahun 1999. Pada tahun 2005, syarikat ini telah membeli Nuance Communications dan secara rasminya dipanggil Nuance Communications sehinggalah ke hari ini.
Syarikat ini membangunkan pelbagai perisian komputer tetapi mereka mempunyai kepakaran yang sangat tinggi dalam bidang voice recognition.
Syarikat ini juga menyediakan platform kepada sistem kesihatan yang menggunakan voice recognition untuk berfungsi. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Nuance Communications ini telah berjaya mendapat tempat di kalangan pemain industri kesihatan di Amerika Syarikat.
Kerjasama Dan Pembelian Nuance Communications Dari Microsoft
Nuance Communications menggunakan Azure sebagai simpanan database pelanggan untuk perkhidmatan yang ditawarkan mereka.
Kerjasama ini telah menarik minat Microsoft untuk menjadikan Nuance Communications sebagai anak syarikat teknologi mereka bagi menggabungkan kepakaran mereka dalam teknologi simpanan awan dan voice recognition ini.
Dengan pembelian bernilai sebanyak USD19.7 bilion ini, Nuance Communications telah menjadi syarikat kedua terbesar yang dimiliki oleh Microsoft selepas LinkedIn.
Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.
Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?
Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.
Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.
Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.
1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE
Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.
Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.
Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.
Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.
Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.
Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.
Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.
2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian
Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:
Gaji tahunan: RM72,000
Bonus: RM8,000
Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.
Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.
Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM8,000 × 19% = RM1,520
Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.
Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.
Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.
3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan
Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.
Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.
Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.
Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.
4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan
Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.
Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.
Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.
Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut. Jika majikan hanya membayar sebahagian kos, jangan terus anggap baki perbelanjaan itu automatik layak, semak dahulu dengan syarat HASiL.
Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.
5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari
Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.
Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.
Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM3,000 × 19% = RM570
Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.
Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.
HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.
6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank
Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.
Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.
Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.
7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak
Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.
Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.
Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM2,000 × 19% = RM380
Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.
Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.
Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.
8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah
Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.
Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.
Pendapatan sewa setahun:
RM1,200 × 12 bulan = RM14,400
Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.
Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM11,400 × 19% = RM2,166
Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.
Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.
9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen
Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.
Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.
Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.
Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.
Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:
RM18,000 × 19% = RM3,420
Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.
Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.
10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai
Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.
Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?
Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.
Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.
Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.
Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?
Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.
Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:
Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.
Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.