Takkan Barang Dapur Pun Nak Kena Faraid?

Kita patut bersyukur, kerana secara umum kita melihat masyarakat sudah semakin cakna dan mempunyai pengetahuan serba sedikit tentang pengurusan harta pusaka Islam.

Semakin ramai ustaz dan ustazah mahupun peguam syarie yang berceramah memberi kefahaman mengenai hukum faraid dan proses pentadbiran pusaka. Platform media sosial digunakan sebaiknya untuk menyebarkan kefahaman ini.

Hal ini jauh berbeza dengan keadaan masyarakat sekitar 15 ke 20 tahun yang lepas.

Dalam pada masa yang sama, selain daripada orang yang ahli dan pakar menyebarkan ilmu perwarisan, ada juga individu yang memandai-mandai mengajar orang perkara yang tidak dia sendiri bukan pakar.

Maka keluarlah “fatwa-fatwa” ganjil berkaitan hukum faraid dan proses pengurusan pusaka itu sendiri.

Antara topik atau isu yang paling banyak disentuh adalah berkaitan hukum hukum faraid.

Salah faham yang paling banyak berlaku dalam masyarakat adalah, SEMUA harta peninggalan si mati mesti difaraidkan. Waris tidak boleh main ambil dan guna sahaja mana-mana harta peninggalan si mati.

Bahkan sampai ada yang mengatakan bahawa beras, gula, bawang dan segala barang dapur di rumah si mati juga mesti difaraidkan!

Benarkah begitu?

Kita faham, maksud sebenar dari kata-kata sebegini adalah supaya waris berhati-hati dalam menguruskan harta peninggalan si mati, agar tidak termakan harta batil. Harta yang bukan hak mereka.

Ya memang betul, secara asasnya semua harta yang menjadi harta pusaka perlu diuruskan dan akhirnya difaraidkan. Cuma masih ramai yang keliru dengan definisi harta pusaka dan bagaiamanakah proses sebenar pentadbiran harta pusaka.

Definisi Harta Pusaka

Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

Termasuk Harta Pusaka

  • Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
  • Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
  • Hutang orang lain kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
  • Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
  • Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
  • Penama Takaful; dan
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.

Bukan Harta Pusaka

  • Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;
  • Khairat kematian;
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
  • Pencen terbitan; dan
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)
  • Hutang si mati kepada orang lain

Kita mesti jelas dahulu tentang perkara ini, mesti bezakan yang mana harta si mati termasuk dalam senarai harta pusaka dan mana yang terkeluar dari senarai harta pusakanya.

Jadi berbalik kepada tajuk persoalan kita, benarkan barang dapur juga mesti difaraidkan?

Persoalan ini sebenarnya mudah dijawab kalau kita telah benar-benar faham akan definisi harta pusaka.

Cuba fikirkan balik, apakah sebabnya si mati (sebagai contoh suami/bapa) membeli barang dapur yang ada di rumahnya?

Secara hukum ya memang segala harta yang ditinggalkan si mati, termasuk barang dapur, menjadi harta pusaka dan mesti difaraidkan.

Tetapi jika memang barang dapur seperti beras, gula, minyak dan sebagainya dibeli oleh si mati semasa hayatnya sebagai satu tanggungjawabnya kepada keluarga untuk memberi makan kepada anak isterinya, maka barang dapur tersebut tidak lagi termasuk sebagai harta pusaka.

Kerana jika difahami keadaan ini sebenarnya si suami telah pun memberikan (hibah) barang dapur tersebut kepada ahli keluarganya.

Maka bolehlah anak isteri menggunakannya tanpa perlu mendapatkan kebenaran dari waris faraid yang lain (jika ada).

Cuma masalah yang timbul adalah situasi tersebut tidak jelas kerana tidak ada sebarang lafaz akad yang menyatakan pemberian tersebut. Ia hanya difahami secara urf sahaja.

Jadi timbul kekeliruan berkaitan masalah ini, sama ada barang dapur perlu difaraidkan atau tidak.

Apa pun, dengan naluri insan, tergamakkah waris si mati yang lain nak menuntut juga barang-barang dapur yang ada di dalam rumah?

Sekalipun kalian ada hak faraid atas barangan tersebut, tidaklah salahnya melepaskan hak faraid untuk diberi kepada balu dan anak-anaknya.

Kita tak rugi apa pun, malah mendapat pahala lagi. Percuma saja!

Kerana akhirnya, dalam masalah berkaitan harta pusaka, semuanya dapat diselesaikan dengan muafakat di antara semua waris.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.