Kadar Faedah (Interest Rate), Apa Asas Yang Perlu Kita Tahu?

Kita selalu dengar tentang berita ini sepanjang masa dalam berita ekonomi, iaitu tentang kadar faedah. Yang kita tahu, ada kala ianya meningkat naik dan ada kala ianya turun.

Namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kadar faedah? Dan mengapa ianya penting bagi kita untuk mengetahuinya, sebagai seorang pelabur atau pedagang saham?

Cara Memahami Kadar Faedah Dengan Mudah

Image by Lumina Obscura from Pixabay

Bayangkan kadar faedah seperti graviti. Graviti mempunyai kesan berterusan dalam cara kita menjalani kehidupan.

Contohnya kita berjalan, berlari, baring dan sebagainya; kita akan mengalami graviti secara berterusan.

Seperti graviti, kadar faedah mempunyai kesan berterusan ke atas wang, perniagaan, ekonomi dan bermacam-macam lagi. Namun kadar faedah sedikit berbeza dengan graviti, kerana kadar faedah akan berubah-ubah, sementara kadar magnitud graviti bumi adalah tetap.

Bagi menerangkan perumpamaan dengan mudah, kita boleh bayangkan bahawa kita sekarang sedang berada di Planet X. Di mana nilai magnitud gravitinya adalah berubah-ubah setiap sebulan.

Bulan pertama nilai magnitud graviti adalah normal 1.0.

Bulan kedua nilai magnitud graviti berkurangan, menjadi 0.5.

Bayangkan pergerakan kita menjadi semakin mudah. Jika kita mengangkat beban sesuatu barang, 10kg pada bulan pertama, maka pada bulan kedua ianya menjadi semakin ringan dan mudah.

Namun pada bulan ketiga nilai magnitud graviti meningkat menjadi 2.0. Jika kita mengangkat bebanan barang sebanyak 10kg pada bulan pertama, maka bulan ketiga, ia semakin payah dan semakin berat.

Perubahan magnitud graviti yang unik dan dinamik telah memberi impak yang besar ke dalam kehidupan seharian anda. Melalui analogi yang ringkas ini anda dapat memahami kenapa kadar faedah sangat penting kepada seluruh sistem ekonomi.

Apa Kesan Kadar Faedah Tinggi?

Kadar faedah berfungsi seperti daya tarikan graviti. Apabila kadar faedah meningkat maka secara teknikalnya aktiviti ekonomi seperti perniagaan akan terjejas.

Ini kerana peminjam (borrower) tidak dapat melakukan pinjaman dengan murah dan berpatutan. Sekaligus aktiviti perniagaan menjadi lembab dan ekonomi menguncup.

Apa Kesan Kadar Faedah Rendah?

Apabila kadar faedah berkurangan, maka situasi sebaliknya akan berlaku. Semakin banyak peminjam atau pemiutang mampu membuat pinjaman wang, sekaligus meningkatkan permintaan dan ekonomi semakin berkembang.

Sebagai pelabur saham, adalah penting untuk kita mengawasi kadar faedah. Kita harus bertindak mengikut kadar faedah sesuatu negara yang rendah berbanding, negara yang mempunyai kadar faedah yang tinggi.

Kebiasaannya Bank Pusat sesebuah negara akan menentukan kadar faedah dengan cara melihat risiko dan bagaimana untuk menyesuaikan tingkah laku kewangan dengan keadaan ekonomi semasa. Walaubagaimanapun, mereka melakukannya pada skala makro yang lebih besar.

Bank Pusat bukan sahaja melihat kita seorang, tetapi keseluruhan ekonomi. Ketika berlakunya kemelesetan ekonomi, kerajaan mahu kita berbelanja sekaligus menggalakkan aktiviti ekonomi.

Ia dapat dicapai ini dengan menurunkan harga wang. Dengan kata lain, dengan menurunkan kadar faedah.

Merangsang Pertumbuhan Ekonomi

Ianya merupakan insentif untuk kita membelanjakan lebih banyak wang. Apabila lebih banyak wang dibelanjakan, maka ia akan meningkatkan penggunaan, yang seterusnya akan membawa kepada pekerjaan dan kekayaan yang lebih tinggi dalam ekonomi.

Apabila kadar faedah rendah, syarikat boleh meminjam pada kadar yang murah.

Ini menjadikan pelaburan baru lebih menarik, seterusnya membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan dan kekayaan yang lebih tinggi.

Manakala dalam keadaan ekonomi yang terlalu kukuh, kerajaan akan meningkatkan kadar faedah bagi mengelakkan gelembung (bubble) ekonomi terlalu besar. Sekiranya gelembung menjadi terlalu besar, maka ia akan meletup dan mengakibatkan kegawatan ekonomi.

Sebagai seorang pelabur saham, gelembung ekonomi dan perubahan kadar faedah mampu memberikan peluang besar keuntungan. Sekiranya kita ingin menguasai pasaran saham, mulakan dengan pemahaman tentang kadar faedah.

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.