Malaysia Dan 12 Negara Lain Diiktiraf Secara Rasmi Sebagai Negara Rakan BRICS


KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) — Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Menurut kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Sebagai rekod, pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). (US$1=RM4.34).

G7 ialah kumpulan tidak rasmi tujuh daripada ekonomi maju dunia merangkumi Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia, pada 24 Okt, 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian