Lebih 44,000 Orang Hilang Pekerjaan Januari-Ogos 2021

Mula menular di China pada awal tahun 2020, pandemik COVID-19 telah menjadi ancaman besar buat rakyat seluruh dunia. Ia bukan sahaja telah mengancam kesihatan orang ramai, tetapi juga memberi kesan yang besar kepada industri pekerjaan yang melibatkan pelbagai sektor.

Tahukah anda, lebih 44,000 orang di Malaysia telah kehilangan pekerjaan dari bulan Januari hingga Ogos 2021? Ia adalah realiti yang pahit untuk ditelan.

Menurut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), jumlah pekerja lelaki yang terkesan dan kehilangan kerja adalah lebih banyak berbanding perempuan.

Dari Januari sehingga Ogos 2021, seramai 25,314 (56.55%) orang lelaki kehilangan pekerjaan, manakala perempuan pula adalah seramai 19,452 (43.45%) orang telah kehilangan pekerjaan. Pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur adalah yang paling ramai terkesan.

Daripada 44,000 orang yang hilang pekerjaan tersebut, ianya merangkumi semua golongan termasuklah profesional, pengurus, eksekutif, bukan eksekutif, pekerja am dan sebagainya. Umur pekerja yang paling ramai hilang pekerjaan adalah dalam lingkungan 30-34 tahun.

Dianggarkan lebih 8,334 orang telah kehilangan pekerjaan pada bulan Januari lepas. Namun angkanya semakin menurun kepada 6,296 orang pada bulan Februari, 5,788 orang pada bulan Mac, 4,963 orang pada bulan April dan 3,727 orang pada bulan Mei. Penurunan jumlah ini mungkin disebabkan oleh musim perayaan dan pembukaan beberapa sektor pekerjaan.

Namun 5,621 orang telah kehilangan pekerjaan pada bulan Jun 2021 disebabkan oleh peningkatan bilangan jangkitan COVID-19. Pada bulan Julai pula, angkanya semakin meningkat kepada 6,012 orang dan menurun kepada 3,183 orang pada bulan Ogos ekoran semakin ramai penduduk di negara kita yang telah terkena jangkitan virus COVID-19 ini.

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah menyebabkan beberapa premis perniagaan terpaksa ditutup. Ada yang tidak dapat membuka kedai atau berniaga tetapi terpaksa menanggung gaji pekerja dan bil utiliti, sewa premis dan sebagainya, sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil langkah untuk memberhentikan pekerja.

Industri Paling Banyak Hilang Pekerjaan

Industri yang paling terkesan adalah industri pembuatan serta industri borong dan peruncitan. Dianggarkan 15,327 orang telah hilang pekerjaan dalam bidang ini sejak bulan Januari sehingga Ogos 2021.

Kebanyakan kilang dan operasi terpaksa dihentikan, maka pekerja juga diberhentikan. Ada juga yang tidak dapat meneruskan pekerjaan kerana kekurangan bahan mentah, tiada permintaan dan tiada pekerjaan yang perlu dilakukan lagi.

Usaha Proaktif Pulihkan Ekonomi

Kesan daripada ramainya bilangan rakyat yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah membuat beberapa langkah proaktif dalam memulihkan ekonomi negara dengan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi insentif pengambilan pekerjaan.

PERKESO juga telah memperuntukkan bantuan di antara RM600 dan RM1,000 untuk tempoh maksimum 6 bulan. Pihak kerajaan juga telah memperkenalkan program Penjana Kerjaya dengan elaun RM300 turut diberikan kepada mereka yang mengikuti program MYFutureJobs.

Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia kena bersabar dengan musibah yang melanda dan teruskan usaha untuk meneruskan kehidupan. Buatlah apa saja pekerjaan dan rebutlah bantuan dari pihak kerajaan.

Masa sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk memilih kerjaya kerana desakan ekonomi membuatkan kita perlu terus menjana pendapatan secara berterusan dan stabil.

Bagi anda yang belum mendapat pekerjaan ataupun telah kehilangan pekerjaan, anda boleh menyertai mana-mana program kerjaya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan swasta di luar sana. Mungkin ada juga peluang perniagaan yang boleh anda jalankan ketika mengharungi norma baru hari ini.

Sumber Rujukan:

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.