10 Cara Menabung Untuk Melabur (Siri 2)

Saya nak melabur saham tapi takde duit Haji…

Pesan saya, jika anda belum bersedia jangan masuk ke pasaran saham. Tiada apa yang perlu dikejarkan.

Belajar lah dulu untuk menyimpan dan mantapkan ilmu pelaburan saham. Kalau sebelum ini saya dah kongsikan 5 cara untuk anda menabung bagi mengumpul dana untuk melabur, kali ini kita sambung dengan cara-cara yang seterusnya.

Lebih cepat kita mula, lebih cepat kita dapat rasa hasilnya.

Jom kita tengok Tips Menabung Untuk Melabur Siri 2.

6. Displinkan Diri

Rekod. Rekod. Rekod. Ya! Rekod perbelanjaan duit anda. Setiap sen yang dikeluarkan sangat bermakna. Buat bajet perbelanjaan anda supaya anda dapat berbelanja dengan berhemah dan tidak membazir.

Dengan zaman serba canggih ini, anda boleh menggunakan pelbagai aplikasi di smartphone anda untuk membuat bajet perbelanjaan anda mahupun untuk merekodkan segala transaksi kewangan diri. Apa yang penting adalah anda perlu disiplin dengan tugasan ini.

7. Tutup Notifikasi

Macam tak ada kesan, tapi sebenarnya sangat-sangat berkesan! Tutup notifikasi anda terutama bagi laman-laman online shopping, pembelian di hujung jari!

Ya lah, macam-macam SALE ada. Tergugat iman anda nanti. Kadang-kadang, ada perkara yang kita tak perlukan pun, tapi disebabkan oleh tawaran harga yang lebih murah daripada biasa, kita membuat pembelian.

Akhirnya, bila barang dah sampai, hanya untuk simpanan dalam stor sahaja. Rugi. Sangat rugi kerana kita berbelanja mengikut nafsu dan bukan disebabkan oleh keperluan.

8. Sentiasa Tunggu 24 Jam

Kalau dah tutup notifikasi pun masih gagal untuk mengawal perbelanjaan anda, ini mungkin berguna. Tunggu 24 jam sebelum anda membuat keputusan untuk membeli sesuatu benda.

Kenapa 24 jam? Kerana kadangkala nafsu kita membuak-buak ketika melihat sesuatu barang itu. Terlebih excited katanya. Emosi menganggu diri anda daripada melakukan keputusan yang wajar.

Jadi, lebih baik untuk anda tenang dan beri ruang kepada diri anda untuk berfikir dengan jelas sama ada niat membeli itu adalah nafsu atau sememangnya satu keperluan.

9. Durian Runtuh

Pernah anda terima duit dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa selain daripada gaji anda? Kalau Ya, apa yang anda lakukan? Ada antara kita yang berjoli sakan dengan bonus atau dianggap sebagai ‘wang lebihan’ yang diterima.

Bukan tak boleh berjoli, tetapi jangan habiskan wang yang anda ada dalam sekelip mata. Uruskan dengan baik seperti menghapuskan hutang-hutang jahat atau membuat simpanan dan laburkan di tempat yang selamat.

Bukan sahaja anda dapat mengurangkan bebanan hutang anda tetapi pada masa sama anda dapat mengembangkan lagi dana yang anda ada.

10. Auto-Pay

Perkara-perkara kecil seperti caj atau denda yang dikenakan sekiranya kita lewat membuat pembayaran sering dipandang enteng. Cuba anda bayangkan, sekiranya ada denda yang dikenakan sehingga 1% ke 2% daripada jumlah bayaran, bayangkan jika bayaran tersebut berjumlah RM1000.

Dengan mudah anda akan lesap RM10 tanpa apa-apa faedah kepada diri. Itu baru RM10, belum lagi caj yang lebih tinggi. Maka, untuk mengelakkan duit anda lesap dengan sia-sia, anda boleh mencuba untuk menggunakan khidmat Auto-Pay.

Dah tak perlu susah-susah nak ingat bila nak bayar. Dah banyak aplikasi sekarang yang membolehkan pengguna untuk menggunakan Auto-Pay ini.

Moga dengan perkongsian ini dapat memberikan manfaat serta motivasi kepada anda untuk terus menjaga aliran kewangan diri dan menabung. Hasil simpanan yang anda ada boleh digunakan untuk kecemasan atau anda boleh menggandakan apa yang anda ada dengan melabur.

Artikel ini dibawakan khas oleh Asri Ahmad Academy. Jika anda betul-betul ZERO dalam pelaburan saham, anda boleh mendaftar webinar anjuran Asri Ahmad Academy & Bursa Malaysia di sini.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Dan UNDP Berkerjasama Membangunkan Playbook Pekerjaan Inklusif Pertama Malaysia Untuk OKU

Kuala Lumpur, 13 Februari 2026 — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) dan United Nations Development Programme (UNDP) hari ini memeterai satu kerjasama strategik bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) serta memajukan pembangunan inklusif dan mampan di Malaysia, khususnya untuk kumpulan rentan.

Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut, Bursa Malaysia dan UNDP akan bekerjasama dalam tiga bidang strategik utama: mempromosikan pekerjaan inklusif, memperkasa pelabur serta mengukuhkan ekosistem pasaran, dan memperluas literasi kewangan untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Pada tahun 2026, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan peluang pekerjaan inklusif untuk OKU sebagai keutamaan teras dalam agenda kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI). Ia mencerminkan komitmen bersama untuk menangani halangan sedia ada serta keperluan pendekatan yang diselaraskan merangkumi amalan korporat, reka bentuk dasar dan pembangunan tenaga kerja.

Kerjasama ini akan menerajui pembangunan Malaysia’s Inclusive Employment (MINE) Playbook yang bertujuan melengkapkan syarikat dengan strategi praktikal, cadangan berasaskan bukti dan rangka kerja yang boleh dilaksanakan bagi membina tempat kerja yang inklusif. Direka sebagai rujukan asas untuk korporat, khususnya Syarikat Tersenarai Awam (PLC), Playbook ini bertujuan menyokong penerapan amalan pekerjaan inklusif secara menyeluruh dan jangka panjang sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju DEI dan kemampanan.

Perjanjian kerjasama tersebut ditandatangani bagi pihak Bursa Malaysia oleh Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, dan bagi pihak UNDP oleh Edward Vrkić, Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Dato’ Fad’l Mohamed berkata, sempena ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan pasaran modal dalam menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui penyertaan yang lebih meluas.

“Kerjasama dengan UNDP ini mencerminkan komitmen kami untuk membina pasaran modal yang bukan sahaja menghubungkan modal kepada syarikat, tetapi juga menghubungkan peluang kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan MINE Playbook merupakan langkah penting dalam membina pasaran yang memacu impak sosial dan memperluas penyertaan ekonomi.

“Ia akan menyediakan organisasi dengan rangka kerja praktikal dan boleh diguna pakai untuk mengintegrasikan pekerjaan inklusif secara tersusun dan mampan,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa MINE Playbook hanyalah titik permulaan dan kejayaannya bergantung kepada usaha seluruh negara yang melibatkan PLC dan korporat, kementerian serta agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan kumpulan advokasi OKU untuk bersama-sama mereka bentuk semula peranan pekerjaan, menyelaraskan dasar serta insentif, dan memperkukuh pembangunan keupayaan berdasarkan pengalaman sebenar.

Edward Vrkić pula berkata, memperluas akses inklusif kepada pekerjaan bukan sahaja satu keperluan sosial, malah pemacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Bukti menunjukkan bahawa apabila OKU dikecualikan daripada penyertaan ekonomi, kesannya melangkaui individu dan keluarga. Ia menyumbang kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi, peningkatan kerentanan dan kehilangan potensi ekonomi yang besar. Dengan mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif, perniagaan Malaysia bukan sahaja memajukan kesaksamaan, malah mengukuhkan produktiviti, daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa UNDP komited untuk memanfaatkan pengalaman dan rangkaian globalnya bagi menyokong pelaksanaan kerjasama ini supaya dapat diterjemahkan kepada impak yang boleh diukur.

Selepas pertukaran MoU, satu Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif telah diadakan dengan penyertaan lebih 30 pemimpin kanan daripada PLC dan korporat, kementerian serta agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan kumpulan advokasi OKU. Sesi tersebut memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengambilan, pengekalan dan pembangunan kerjaya OKU, mendapatkan pandangan secara langsung daripada wakil pengalaman sebenar, serta mengumpul input yang akan membentuk pembangunan MINE Playbook.