Nak Mohon Kad Kredit? 5 Perkara Penting Untuk Dipertimbangkan

Satu ketika dahulu, kad kredit dianggap sebagai lambang kemewahan. Tetapi sejajar dengan perkembangan semasa, hari ini kad kredit merupakan salah satu keperluan.

Ini kerana ianya lebih selamat dan mudah kerana pemilik tidak perlu lagi membawa cash yang banyak semasa keluar untuk berbelanja.

Income setahun dalam RM24,000 atau gaji RM2,000 sebulan dah layak untuk memohon kad kredit. Kalau ada perniagaan sendiri memang kena ambil kad kredit. Pastikan bila terguna, bayar semua hutang tu sekaligus dan tepat pada masanya. Nanti senang nak apply loan sebab bank boleh nampak rekod hutang kita.

Jadi, sekiranya anda ingin memohon untuk mendapatkan kad kredit, apakah perkara penting yang harus anda pertimbangkan?

1. Yuran Tahunan

Lihat dahulu yuran tahunan yang dikenakan kepada pemilik kad. Ini kerana yuran yang dikenakan adalah berbeza antara satu institusi dengan satu institusi kewangan yang lain.

Dan, tentunya ada juga kad kredit yang memberikan pengecualian ke atas yuran ini. Walaupun yuran yang dikenakan tidak terlalu tinggi, tetapi jika ada yang murah, mengapa anda harus memilih untuk membayar lebih?

2. Manfaat

Yang paling disukai ramai tentunya manfaat yang bakal diperoleh oleh pemilik kad kredit tersebut.

Terdapat pelbagai jenis manfaat ataupun ganjaran yang bakal dinikmati seperti rebat untuk penggunaan petrol, mata ganjaran berbelanja, ‘cashback’ dan sebagainya.

3. Ansuran Tanpa Faedah

Tahukah anda terdapat banyak kedai yang telah mula menawarkan servis ataupun produk mereka secara ansuran bulanan tanpa mengenakan sebarang faedah?

Dan manfaat ini hanya dapat dinikmati oleh pemegang kad kredit daripada bank terpilih sahaja. Jadi, buat sedikit survey, adakah kad kredit yang bakal anda miliki itu diterima di banyak buah kedai?

Sekiranya ya, teruskan rancangan anda untuk memohon kad kredit tersebut. Ini sekaligus dapat menjimatkan lagi poket anda.

4. Penggunaan Di Luar Negara

Mungkin sekarang kita tak dapat nak travel ke luar negara. Tetapi selepas situasi Covid-19 di negara kita semakin pulih dan  selalu ke luar negara atas urusan kerja mahupun melancong, boleh pilih kad kredit yang dapat memudahkan lagi urusan semasa berada di luar negara.

Pastikan kad tersebut mudah diterima di pelbagai tempat, caj yang dikenakan dan tukaran mata wang asing adalah berpatutan.

5. Pengeluaran Tunai

Sekiranya berlaku kecemasan dan anda sangat terdesak dan memerlukan cash pada ketika itu, anda boleh menunaikan duit tersebut di mesin ATM dengan hanya menggunakan kad kredit itu sahaja.

Ada dua kos yang akan terlibat iaitu yuran pendahuluan tunai (biasanya 5% daripada jumlah) dan juga kadar faedah pendahuluan tunai (lazimnya 18% setahun yang dikira berdasarkan dasar harian).

Banyak bukan? Jadi carilah kad kredit yang mengenakan faedah yang paling rendah.

Kesimpulannya, pilihlah kad kredit yang sesuai dengan gaya hidup dan keperluan hidup. Walaupun ianya dapat memudahkan banyak urusan kewangan, anda harus berjaga-jaga.

Tersilap langkah, memang merana jawabnya.

Sumber Rujukan: Duit Kertas

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.