OPR Naik Atau Tidak, Realiti Urus Kewangan Secara Berhemat Di Tangan Sendiri

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Esok (19 Januari) akan menjadi detik tumpuan ramai rakyat negara ini, sama ada kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi atau mungkinkah Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengekalkan kadar semasa sehingga kesannya benar-benar reda.

Namun, persoalan utamanya, mampukah kita mempunyai OPR yang lebih menjurus untuk meningkat?

Kadar inflasi, khususnya makanan, meningkat 7.3 peratus pada November 2022 dan ia merupakan peningkatan bulan ke bulan yang tetap. Ini menyebabkan harga beberapa barangan melonjak lebih 100 peratus tahun lepas, sehingga mencetuskan perbincangan serius mengenai jaminan makanan.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan 7.3 peratus bagi makanan adalah penyumbang utama kepada inflasi keseluruhan, diikuti pengangkutan yang meningkat 7.2 peratus seterusnya mengakibatkan kos logistik lebih tinggi.

Meskipun pelbagai usaha seperti menaikkan OPR telah dilakukan untuk mengawal tunai berlebihan dan menormalkan permintaan, realitinya adalah sehingga ke hari ini, orang ramai masih menunggu situasi itu menjadi bertambah baik atau sekurang-kurangnya kurang memeritkan.

Kenaikan OPR boleh mengehadkan aliran tunai bagi orang biasa di jalanan terutama mereka yang mempunyai pinjaman kereta atau perumahan, atau kedua-duanya.

Bagi mereka yang membuat perjanjian pinjaman sebelum pandemik COVID-19, kadar faedah itu akan dinormalkan.

Malangnya bagi mereka yang membiayai semula pinjaman atau mendaftar bagi pembiayaan baharu dalam tempoh tersebut, terutama untuk komitmen jangka panjang seperti pinjaman perumahan atau automotif, mereka akan mendapati keadaan ini amat sukar.

Begitu juga dengan pinjaman peribadi.

Kesimpulannya, kos pinjaman kini lebih tinggi kerana kos wang juga meningkat. Ini mengakibatkan mudah tunai kewangan semakin menyusut bagi ramai orang.

Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa normalisasi OPR adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk memastikan pelaburan asing terus mengalir masuk pada kadar yang baik dan kadar pertukaran ringgit-dolar Amerika Syarikat dikekalkan dalam julat yang positif.

Ini memandangkan dolar AS adalah mata wang perdagangan global utama, dan seandainya ringgit terus rendah berbanding dolar AS, keburukannya bukan hanya berganda malah lebih daripada itu.

Kepentingan Celik Kewangan

Mengikut Laporan Risiko Global 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Tinjauan Pendapat Eksekutif (EOS), aspek seperti kos sara hidup dan inflasi ketara atau berterusan serta krisis hutang merupakan tiga risiko utama di Malaysia.

Laporan sama turut menyenaraikan kos sara hidup sebagai risiko global paling serius susulan tindakan penutupan ekonomi akibat pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine serta sekatan eksport dengan setiap satunya terbukti melonjakkan inflasi.

Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asset Management Bhd, Patrick Chang berkata walaupun paras inflasi itu mengejutkan ramai di Malaysia dan global pada 2022, aspek seperti kenaikan agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) juga hanya meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu dijangka menyederhana tidak lama lagi.

Chang turut mengakui terdapat banyak kebimbangan mengenai ekonomi pada 2022 dan berharap keadaan menjadi lebih biasa bagi Malaysia pada tahun ini.

Mengulas aspek simpanan, satu kajian RinggitPlus menunjukkan hanya tujuh daripada setiap 10 rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada RM500 sebulan dengan kebanyakannya tidak mampu menyimpan langsung.

Dalam keadaan sedemikian, apakah pilihan atau yang boleh kita lakukan? Mampukah kita untuk berjimat cermat dalam persekitaran yang menyaksikan keadaan sebegitu mencabar?

Ketika Malaysia menjadi sebuah negara menua, kalangan yang tidak lagi mampu untuk bekerja perlu berusaha lebih gigih untuk menabung, paling tidak pun sedikit setiap bulan demi masa depan apabila bersara kelak.

Apa yang penting, tiada jumlah simpanan yang boleh dilihat sebagai kecil. Bagi setiap RM1 yang disimpan, itulah juga pulangannya dan boleh menjadi penyelamat ketika waktu sukar selain pilihan termasuk aplikasi pelaburan Raiz yang boleh membantu.

Selain itu, adalah penting untuk mempunyai perancang kewangan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada.

Namun, jika keadaan tersasar atau di luar kawalan, adalah wajar untuk mendapatkan bantuan profesional seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu melaras semula kewangan anda.

Justeru, apa juga keputusan OPR esok, realitinya kita perlu ‘bangkit’ bertindak mengukuhkan aspek celik kewangan serta persediaan bagi mengharungi keadaan demi masa depan sendiri.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/opr-naik-atau-tidak-realiti-urus-kewangan-secara-berhemat-di-tangan-sendiri/

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.