Maybank Sediakan Perkhidmatan kewangan Digital Bersepadu Kepada Peniaga, Vendor Perodua

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Maybank dan Perodua Sdn Bhd menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk penyediaan perkhidmatan kewangan digital bersepadu hujung ke hujung kepada Perodua melalui platform M2e Maybank.

Bank itu juga akan menawarkan sokongan kewangan tambahan melalui pakej pembiayaan bernilai hampir RM400 juta untuk membantu mengembangkan lagi perniagaan Perodua.

Dalam MoC itu, Maybank melalui platform M2e akan menawarkan akses perbankan komprehensif  dan produk-produk pembiayaan dan perkhidmatan sehenti merentas keseluruhan rantaian bekalan kepada Perodua serta peniaga dan pelanggannya di Malaysia. Ini akan merangkumi semua aspek operasi Perodua, daripada pembuatan, pengedaran, dan peruncit vendor kepada perkhidmatan selepas jualan.

Kerjasama itu akan meliputi perkhidmatan kewangan seperti kemudahan kredit jangka pendek untuk pembiayaan kenderaan, kredit tetap bukan pusingan untuk sewa beli terus, kemudahan kad kredit peniaga, dan pengurusan tunai.

Faedah tambahan perkongsian ini adalah pada penyepaduan sistem antara sistem operasi jualan Perodua (PSOS) dan platform M2e yang membolehkan automasi pembelian stok oleh peniaga dan juga pada masa yang sama memudahkan penyesuaian automatik pembayaran stok antara Perodua dan peniaganya pada masa nyata.

“Dengan keperluan perbankan dan pembiayaan mereka diuruskan oleh Maybank, kami yakin peniaga boleh memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan dan jualan, yang membawa kepada keuntungan secara keseluruhan yang lebih baik,” kata Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk Hamirullah Boorhan dalam satu kenyataan bersama.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pasaran pembiayaan sewa beli Perodua melebihi 30 peratus pada 2023 daripada purata 24 peratus yang dicapai pada tahun sebelumnya,” tambah beliau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, kerjasama itu menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih cekap bagi operasi jualan Perodua dan sewa beli untuk pelanggannya.

“Maybank berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor automotif merentas keseluruhan rantaian nilai industri dengan penyelesaian perbankan, pembiayaan dan insuransnya yang meluas,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.