Pandangan Dua Tokoh Yang Berpengaruh Dalam Sektor Teknologi Mengenai Virus Covid-19

Covid-19 ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan keadaan yang panik di seluruh dunia. Ada yang menganggap virus ini hanya diperbesarkan oleh pihak media kepada orang ramai.

Ini kerana banyak virus yang sebelum ini lagi berbahaya tetapi tidak mencapai keadaan panik seperti Covid-19. Virus ni juga telah menarik dua tokoh yang penting di dalam industri teknologi.

Mereka adalah Bill Gates dan Elon Musk yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu yang sama.

Bill Gates mengeluarkan pendapatnya yang tersendiri mengenai virus ini yang mana baginya, virus seperti ini boleh dikatakan sebagai virus of the century. Ia bermaksud virus ini merebak dengan skala yang begitu besar dalam tempoh seratus tahun selepas wabak “Spanish Flu” yang berlaku pada tahun 1918 yang telah membunuh hampir 40-50  juta penduduk dunia, dan juga “Asian Flu” yang telah membunuh seramai 1-2 juta penduduk dunia pada era 1950-an.

Apa yang membezakan di antara ketiga -tiga virus ini adalah Covid-19 ini boleh tersebar dengan begitu pantas di antara manusia walaupun kadar kematian jika dibandingkan dengn dua jenis virus ini adalah masih rendah.

Bill Gates menyumbang dalam menentang virus ini melalui yayasan yang diasaskan bersama dengan isterinya melalui suntikan kewangan sebanyak $100 juta. Yayasan ini membahagikan wang tersebut kepada beberapa institusi bagi tujuan melawan virus ini.

$20 juta pertama adalah dengan memberi penekanan kepada menghalang penyebaran virus ini, dan $20 juta lagi disalurkan bagi membantu mengekang penularan virus ini di benua Afrika. $60 juta lagi adalah untuk pembangunan vaksin dan penawar kepada virus ini.

Bagi Bill Gates, Covid-19 ini telah membawa kemudaratan yang besar kepada ekonomi dunia dan menyebabkan banyak sektor telah terkesan  dengan kehadiran virus ini. Beliau juga telah memberi test kit secara percuma bagi untuk mengesan virus ini di daerah Seattle.

Menurut beliau, kita perlu berhati–hati dengan virus ini kerana masih belum tahu sepenuhnya cara rawatan yang berkesan untuk melawan virus ini.

Berbeza pula dengan seorang lagi tokoh teknologi di dalam dunia moden iaitu Elon Musk. Beliau yang mengeluarkan kenyataan yang boleh dikatakan mengundang kontroversi apabila menyamakan orang yang terlalu takut akan virus tersebut sebagai bodoh.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut melalui Twitter pada minggu lepas. Kenyataan yang dibuatnya itu telah mendapat perbagai reaksi dari para pengikut media sosialnya itu.

Elon Musk yang mengeluarkan kenyataan itu adalah disebabkan keadaan panik berlaku di kalangan rakyat Amerika Syarikat yang menyebabkan  barang-barang keperluan telah diborong dengan kuantiti yang begitu besar, dan menyusahkan orang ramai yang memerlukan barangan tersebut.

Peranan media yang melaporkan berita mengenai ancaman virus ini turut menyumbang kepada keadaaan seperti ini.

Banyak syarikat gergasi di Silicon Valley mula mengeluarkan arahan bagi pekerja mereka supaya bekerja dari rumah, akibat kesan serangan Covid-19 yang melanda California. Syarikat seperti Facebook, Amazon, Microsoft, Twitter dan Google telah mengeluarkan arahan secara rasmi kepada pekerja mereka mengenai polisi syarikat terhadap virus ini.

Setakat ini hanya Tesla yang belum mengeluarkan kenyataan berhubung dengan perkara ini yang membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

Walaupun apa jua pandangan mereka berdua mengenai virus ini, kita mestilah mengambil langkah pencegahan bagi mencegah virus ini daripada terus merebak. Ikuti langkah pencegahan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelakkan virus ini daripada tersebar lebih luas di negara kita.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.