Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Apabila Fed Tidak Tergesa-Gesa Turunkan Kadar Faedah

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menunjukkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4660/4730 berbanding dolar AS, daripada 4.4680/4730 ketika ditutup pada Isnin.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum perayaan Thaipusam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar (DXY) turun 0.37 peratus kepada 107.922 mata apabila Pengerusi Fed Jerome Powell mengulangi pendirian Fed untuk tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai pengurangan kadar dasar.

“Nampaknya hala tuju keseluruhan bertujuan mengurangkan Kadar Dana Fed. Persoalannya adalah mengenai masa dan penentuan tahap akomodasi dasar itu.

“Oleh itu, ini akan menyokong ringgit sehingga tahap tertentu,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata kenyataan Presiden AS Donald Trump mengenai tarif akan terus mempengaruhi sentimen pasaran memandangkan ciri pengumuman sedemikian yang cenderung mengejutkan pasaran.

Beliau berkata ketidakpastian dasar mengenai tarif akan menyebabkan pasaran mata wang, termasuk ringgit, bergerak berada dalam julat kecil.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound Sterling kepada 5.5602/5689 daripada 5.5430/5492 ketika ditutup pada Isnin, dan turun berbanding euro kepada 4.6281/6354 daripada 4.6128/6179.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9233/9281 daripada 2.9352/9387.

Mata wang domestik diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.5/273.1 daripada 273.1/273.5 serta lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.69/7.70.

Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.1060/1369 daripada 13.1768/1986 namun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3011/3067 daripada 3.3006/3048 ketika ditutup pada Isnin.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA