Robot Bakal Menggantikan 85 Juta Pekerjaan Dalam Tempoh 5 Tahun

Dengan kemajuan teknologi di sekeliling kita, robot bakal menggantikan 85 juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut kajian oleh WEF (World Economic Forum).

Menurut kajian yang telah dibuat oleh WEF terhadap 300 syarikat global dengan 80% daripadanya eksekutif perniagaan, mereka ingin mempercepatkan rancangan untuk mendigitalkan peluang pekerjaan dan menggunakan bantuan tenaga dan kemahiran robot untuk bekerja.

Ini sekaligus akan melenyapkan 85 juta peluang pekerjaan dalam perniagaan bersaiz sederhana dan besar dalam tempoh 5 tahun akan datang. Menurut WEF, Covid-19 adalah punca utama transisi digital ini berlaku.

Tinjauan juga mendapati bahawa 80% daripada mereka akan mempercepatkan rancangan untuk menggantikan pekerja dengan menggunakan teknologi baru, sekaligus akan membantutkan pertumbuhan dan permintaan tenaga kerja manusia yang terbesar sejak kegawatan ekonomi pada tahun 2008.

Kredit Gambar: WEF

“COVID-19 has accelerated the arrival of the future of work”

– Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi

Bagi tenaga kerja yang masih mempunyai peluang pekerjaan dalam lima tahun akan datang, hampir separuhnya memerlukan kemahiran baharu. Dan menjelang tahun 2025, majikan akan membahagikan keperluan tenaga kerja manusia dan robot secara saksama.

Secara keseluruhannya penciptaan peluang pekerjaan baharu akan semakin perlahan, dan penggantian tenaga kerja menggunakan manusia akan semakin cepat. Ini kerana syarikat di seluruh dunia lebih rela menggunakan teknologi berbanding tenaga manusia, contohnya dalam kerja-kerja perakaunan, pentadbiran, data entry dan sebagainya.

Walaupun begitu, ada berita baik apabila dijangkakan lebih daripada 97 juta pekerjaan baru akan muncul di seluruh dunia. Di antaranya adalah dalam bidang atau industri teknologi termasuklah Artificial Intelligence (AI), content creation dan sebagainya.

Image by Elchinator from Pixabay

Walaubagaimanapun, masih terdapat peluang cerah di mana tenaga serta kemahiran manusia sangat diperlukan bagi melaksanakan sesuatu skop dan peluang pekerjaan. Contoh skop atau peluang pekerjaan tersebut adalah pengurusan, penasihat, membuat keputusan, berkomunikasi, berinteraksi dan sebagainya.

Perlu ditekankan di sini bahawa, akan terdapat permintaan yang tinggi terhadap tenaga kerja manusia yang melibatkan kerja dalam bidang ekonomi, data canggih yang melibatkan kepintaran AI, dan peranan baharu dalam bidang kejuruteraan, pengkomputeran awam serta pengembangan penjualan produk.

Menurut keputusan data akhir yang WEF keluarkan, sekitar 43% industri perniagaan akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia kerana bantuan penggunaan teknologi yang dapat mengatasi kemampuan manusia.

41% daripada responsen juga merancang untuk memperluas penggunaan teknologi mereka ke tahap yang lebih tinggi. Selebihnya mereka membayangkan akan terus kekal menggunakan tenaga kerja manusia.

Sebagai rakyat Malaysia yang masih bekerja, apakah persediaan kita untuk menghadapi gelombang ini? Adakah kita bersetuju bahawa teknologi dan robot akan mengambil alih kemampuan manusia untuk berkerja?

Sama ada kita bersedia atau tidak, WEF menjangkakan pada tahun 2025 transisi ini akan berlaku secara besar-besaran di seluruh dunia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.