KUALA LUMPUR, 10 Jan (bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (kwsp) hari ini mengumumkan telah mengkreditkan Insentif Caruman Tambahan Kerajaan berjumlah RM708 juta kepada 1.4 juta ahlinya yang berusia 40 tahun hingga bawah 55 tahun.
Dalam kenyataannya, dana persaraan itu berkata insentif berkenaan diperuntukkan kepada kalangan individu yang mempunyai simpanan KWSP berjumlah RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 masing-masing setakat 24 Feb, 2023.
“Insentif caruman RM500 sekali bayaran ini yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb, 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.
“Ini sejajar dengan matlamat KWSP untuk meningkatkan kecukupan simpanan dan menyumbang secara signifikan kepada matlamat lebih luas bagi membina masa depan kewangan yang berdaya tahan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Insentif Caruman Tambahan Kerajaan itu boleh diperoleh menerusi rujukan soalan lazim di laman sesawang rasmi www.kwsp.gov.my atau Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-8922 6000.
Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.
Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).
Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.
Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.
Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.
Apa perubahan yang bakal berlaku?
Antara perubahan utama yang diumumkan:
1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan
Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.
2. SST 8% dikenakan
SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.
3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia
Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.
Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?
Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.
Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.
Mengapa royalti?
Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).
Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.
Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.
Apa implikasinya kepada Malaysia?
Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:
Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.
Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?
Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:
Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.
Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.
Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.