Sebilangan Besar Rakyat Malaysia Masih Bersikap “Jangka Pendek” Dalam Pengurusan Kewangan — Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Sebilangan besar rakyat Malaysia masih bersikap “jangka pendek” dalam pengurusan kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata ramai rakyat Malaysia juga bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing- masing, termasuk dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka.

“Hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan dan satu daripada tiga rakyat kita tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Celik Kewangan (KCK) Johor hari ini.

Abdul Rasheed berkata apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.

Beliau berkata statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan.

Manakala satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan, katanya.

“Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37 peratus daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan,” tambah Abdul Rasheed.

Justeru, beliau berkata pengetahuan tentang pelbagai produk kewangan dan kesesuaiannya seperti memahami cara mengurus hutang, memahami risiko dan pulangan sesuatu pelaburan serta langkah-langkah untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa scam atau penipuan kewangan, merupakan kemahiran yang harus ada pada semua.

“Masyarakat celik kewangan bukan sahaja berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing, malah berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

BNM, dengan kerjasama ahli dan rakan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan, serta industri kewangan kini sedang menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK), dengan KCK Johor berlangsung mulai 27 hingga 29 Okt, 2023.

 Matlamat KCK adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama