Tabung Haji: Wadiah Yad Dhamanah Vs Wakalah?

Baru-baru ini, pihak Tabung Haji (TH) telah membuat satu pengumuman besar iaitu penukaran kontrak (Aqad) deposit TH daripada Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah. Boleh baca lanjut mengenainya di Akaun Wakalah TH Memberi Lebih Nilai Tambah Dan Manfaat Kepada Pendeposit.

Ramai ke yang konfius dengan terma-terma Islamik yang digunapakai? Jom kita sama-sama fahamkan dan ketahui perbezaan di antara kedua-duanya.

Wadiah Yad Dhamanah Adalah Simpanan Dengan Jaminan

Wadiah Yad Dhamanah bermakna simpanan dengan jaminan. Ia adalah kontrak yang telah lama digunapakai oleh TH.

Kontrak ini menjanjikan kepada pendeposit yang mana walaupun simpanan mereka digunakan oleh TH untuk aktiviti pelaburan, kerugian tidak akan ditanggung oleh pendeposit kerana ia dijamin.

Jaminan menurut Akta TH 1995 adalah daripada pihak kerajaan.

Wakalah Pula Kita Mewakilkan

Kontrak Wakalah pula bermakna kontrak Wakil. Dalam pengumuman semalam, pendeposit selepas ini akan melantik TH sebagai wakil atau nama panjangnya Wakalah bil Istismar iaitu Wakil untuk Pelaburan di mana TH akan melaburkan deposit mereka dan untung dibahagikan.

Kerugian pula sama, dijamin oleh kerajaan seperti dalam Akta TH 1995.

Kenapa Kontrak Perlu Ditukar?

Kontrak Wadiah Yad Dhamanah merupakan satu kontrak yang mempunyai ciri-ciri pinjaman atau Qard kerana walaupun ia simpanan, TH menggunakan atau ‘meminjam’ duit pendeposit untuk membuat pelaburan.

Dalam kaedah Fiqh segala yang mendatangkan manfaat ke atas pinjaman adalah Riba maka dari segi kontrak, pendeposit tidak boleh dijanjikan sebarang untung walaupun TH membuat keuntungan yang tinggi.

Kerana itu, Hibah atau maknanya Hadiah diberikan. Hibah diberikan dengan syarat ia adalah hak mutlak TH untuk memberi dan pendeposit tiada hak menuntut.

Kontrak baru ini pula memberi kebenaran dari sudut Shariah untuk TH meletakkan kadar peratus atau nisbah perkongsian keuntungan dan kali ini disebabkan pendeposit telah melantik TH sebagai wakil, pendeposit mempunyai kuasa menuntut keuntungan hasil pelaburan TH.

Kerugian pula akan ditanggung oleh kerajaan dan deposit pendeposit terjamin.

Akhir sekali, harus diingatkan agar deposit di TH hanya diletakkan bagi tujuan pelaburan untuk menunaikan Haji. Objektif pelaburan lain eloklah kita melabur di instrumen pelaburan lain seperti saham, unit amanah, hartanah dan sebagainya.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ant International Buka Pusat Perniagaan Digital Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Penyedia teknologi pembayaran dan kewangan, Ant International, akan membuka sebuah pusat perniagaan digital baharu di Malaysia dengan memanfaatkan tenaga kerja teknologi tempatan bagi memacu usaha niaga globalnya.

Presidennya Douglas Feagin berkata kewujudan pusat berkenaan dijangka menawarkan lebih daripada 500 peluang pekerjaan baharu bagi tahun pertama selain menambah pengambilan baharu dalam tempoh empat tahun seterusnya sehingga 2028.

“Pusat perniagaan baharu itu akan berpindah ke The Exchange 106 (Kuala Lumpur) menjelang 2025,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.

Feagin berkata sebahagian besar daripada peranan terbabit adalah berteraskan teknologi, sejajar dengan visi syarikat yang memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi melonjakkan dagangan global dan keterangkumannya.

Kumpulan terbesar adalah jabatan teknologi dan pembangunan merangkumi barisan jurutera pembangunan perisian, diikuti oleh produk dan reka bentuk, sains data dan kawalan risiko. 

Pada masa sama, katanya, Ant International akan menyediakan sumber khusus untuk pembangunan serta dan memupuk tenaga kerja teknologi menerusi latihan komprehensif, bimbingan dan pendedahan kepada perniagaan global.

Beliau juga menyifatkan pelaburan awal dan sedia ada itu sebagai memaparkan komitmen syarikat, bukan saja dari segi memupuk bakat-bakat tempatan tetapi juga dalam menentukan kedudukan sektor teknologi.

Malah, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan keupayaan, mengembangkan ruang pejabat serta menyokong pertumbuhan berterusan peralatan dan perkhidmatan digital.

“Syarikat yakin dengan kerjasama bersama rakan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kami dapat memanfaatkan bakat teknologi tempatan bagi mempercepat impak kemampuan perniagaan ini di peringkat tempatan dan serata dunia,” katanya.

Beroperasi di Malaysia sejak 2014, Ant International telah bekerjasama dengan rakan tempatan dalam menggalakkan komuniti teknologi kewangan (fintech) yang mantap dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi pembayaran digital lebih mudah, di samping menyokong kemasukan digital dan mewujudkan peluang ekonomi untuk perniagaan tempatan.

Ant International merupakan sekutu Kumpulan Ant dengan empat tonggak perniagaannya adalah Alipay + Cross Border Mobile Payment Service, Antom Merchant Payment Services, Worldfirst dan ANEXT Bank.

— BERNAMA