Western Union Lancar Dua Premis Runcit Pertama Miliknya Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2025 – Western Union mengumumkan pelancaran dua premis runcit miliknya di Malaysia. Pelancaran ini merupakan sebahagian dari strategi peruncitan global syarikat, bertujuan untuk menawarkan pelanggan perkhidmatan yang dipertingkat sekaligus membolehkan mereka menikmati pengalaman saluran omni yang lancar.

Tambahan, pelancaran ini mencerminkan pelaburan oleh Western Union bagi mengukuhkan kehadiran peruncitan mereka Malaysia, di samping menyokong inklusi kewangan dalam kalangan komuniti imigran. Malaysia mencatatkan jumlah premis milik syarikat kedua tertinggi di Asia untuk Western Union. Kedai pertama terletak di Semenyih, di selatan Kuala Lumpur dan menyediakan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan majoriti komuniti yang berasal daripada Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Myanmar. Manakala, kedai kedua pula terletak di luar kawasan Kuala Lumpur di Bandar Sunway, sebuah lagi lokasi kediaman dan tempat kerja popular dalam kalangan imigran di Malaysia.

Premis milik Western Union ini bakal membawakan pengalaman peruncitan baharu buat pelanggan. Menerusi premis baharu ini, pelanggan bukan sahaja boleh melakukan pengiriman wang antarabangsa, malah turut mendapat manfaat dari pengalaman mewah jenama dan tahap perkhidmatan yang bakal disediakan.

Bhavin Shah, Pengarah Negara bagi Malaysia, Singapura, Brunei, Hong Kong dan Macau Western Union berkata, “Saya amat berbangga dengan pelancaran dua premis pertama milik Western Union di Malaysia. Ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap sektor peruncitan negara dalam memainkan peranan untuk memenuhi keperluan golongan imigran yang semakin meningkat sejak pandemik.”

“Premis ini menjadi simbol cara baharu kami untuk mencipta semula dan mengembangkan kehadiran di Malaysia bersama-sama rakan kerjasama kami dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggan. Dalam masa yang sama, ia juga menyediakan peluang emas untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu, seiring dengan matlamat kami untuk menjadi premis sehenti untuk pelbagai keperluan kewangan pelanggan.” tambah Bhavin.

Western Union telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1993 dengan rangkaian peruncitan di seluruh negara.

Previous ArticleNext Article

Adakah Wang Dalam E-Dompet Dan Simpanan Di Bank Sama?

Oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia

Hari ini, bayar apa sahaja semudah mengimbas kod QR, sama ada di pasar raya, kedai kopi, pasar malam, mahupun gerai tepi jalan. Wang ditolak terus daripada akaun bank atau e-dompet (e-wallet) anda secara dalam talian. Dengan satu imbasan, urusan pembayaran selesai. Seolah-olah telefon pintar sudah menggantikan wang tunai.

Namun di sebalik kemudahan ini, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna e-dompet: adakah wang yang disimpan dalam e-dompet mempunyai status yang sama seperti simpanan dalam akaun bank? Jika berlaku masalah kepada pengeluar e-dompet pula, adakah wang tersebut dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)?

Hasil tinjauan PIDM mendapati bahawa masih terdapat sebahagian pengguna beranggapan wang yang disimpan dalam e-dompet dilindungi oleh PIDM sebagaimana simpanan di bank ahli PIDM.

Kekeliruan ini mungkin timbul kerana e-dompet menawarkan fungsi yang hampir sama seperti kemudahan perbankan digital di bank. Walaupun kedua-duanya membolehkan pengguna menambah nilai, menyemak baki, memindahkan wang dan membuat pembayaran, namun fungsi utamanya adalah berbeza.

Sebenarnya, PIDM tidak melindungi wang atau dana yang disimpan dalam e-dompet. Tahukah anda – pengeluar e-duit atau e-dompet merupakan pengeluar wang elektronik yang beroperasi atas lesen berbeza jika dibandingkan dengan bank berlesen atau institusi perbankan Islam berlesen? E-duit juga bukan deposit. Berdasarkan ciri-ciri ini, pengeluar e-duit bukan institusi ahli PIDM dan e-duit tidak dilindungi oleh PIDM.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna dana dalam e-dompet tidak mempunyai perlindungan. Di Malaysia, e-dompet dikategorikan sebagai wang elektronik atau e-money yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Mengikut keperluan kawal selia, pengeluar e-dompet tertentu[1] perlu menyimpan dana pelanggan dalam akaun amanah di bank berlesen serta mengasingkannya daripada dana operasi syarikat. Langkah ini membantu memastikan wang pelanggan tidak digunakan untuk tujuan lain serta memastikan rekod yang lengkap disimpan bagi memudahkan proses pengesahan dan pengagihan baki setiap pengguna apabila diperlukan.

Sekiranya bank yang memegang akaun amanah pengeluar e-dompet ialah bank ahli PIDM dan bank tersebut gagal atau muflis, dana pelanggan yang disimpan dalam akaun amanah tersebut dilindungi oleh PIDM sehingga had perlindungan yang ditetapkan.

PERBANDINGAN ANTARA E-DOMPET DAN AKAUN BANK
 E-dompetAkaun Simpanan di Bank
Fungsi utamaAplikasi dalam talian atau melalui peranti mudah alih yang digunakan untuk pembayaran harian, serta pemindahan dan penerimaan wangTempat simpanan wang yang berupaya melaksanakan transaksi pembayaran, pemindahan dan penerimaan wang serta membantu pengurusan kewangan
Penyedia perkhidmatanPengeluar e-dompet atau wang elektronikBank berlesen (bank komersial, institusi perbankan Islam atau bank digital)
Institusi perbankanPerkhidmatan e-dompet juga ditawarkan oleh institusi bukan perbankan.Ya
Cara dana disimpanDisimpan secara terkumpul dalam akaun amanah bankDisimpan terus dalam akaun bank atas nama individu
Perlindungan PIDMTerhad kepada dana dalam akaun amanah yang ditempatkan di bank ahli PIDM dan tertakluk kepada syarat kelayakanDeposit yang layak di bank ahli PIDM

Gambar rajah di bawah menunjukkan bagaimana dana dalam e-dompet dilindungi oleh PIDM secara tidak langsung:

Seiring perkembangan ekonomi digital, penggunaan e-dompet dijangka akan terus meningkat. Justeru, pengguna perlu memahami perbezaan antara e-dompet dan simpanan akaun bank, termasuk tahap perlindungan yang tersedia.  Dengan pengetahuan ini, pengguna dapat memanfaatkan kemudahan pembayaran digital dengan lebih yakin dan tahu hak mereka sebagai pengguna kewangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perlindungan PIDM ke atas deposit anda di bank ahli, klik https://www.pidm.gov.my/my/general/how-we-protect-you/dis


[1] Merujuk kepada pengeluar wang elektronik bukan bank dengan jumlah liabiliti e-Duit tertunggak sebanyak RM1 juta atau lebih, seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Dasar Bank Negara Malaysia mengenai Wang Elektronik (e-Duit).