Halogen Capital Lancar Tiga Dana Mata Wang Kripto Patuh Syariah Pertama Di Dunia

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Pengurus dana aset digital berlesen pertama Malaysia Halogen Capital Sdn Bhd melancarkan secara rasmi tiga dana mata wang kripto patuh Syariah pertama di dunia untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Tiga dana mata wang kripto patuh Syariah tersebut ialah Dana Halogen Shariah Bitcoin, Dana Shariah Ethereum dan Dana Halogen Shariah Crypto Titans.

Halogen Capital, yang memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal penuh untuk pengurusan dana daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, turut melancarkan dana bukan mata wang kriptonya, Dana Halogen Shariah Ringgit Income.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Liew Ooi Hann mengumumkan bahawa syarikat itu telah melepasi RM100 juta aset di bawah pengurusan (AUM) daripada lebih 800 pelanggan.

“Matlamat kami adalah untuk membina momentum ini dan mencapai RM1 bilion AUM dalam tempoh dua tahun akan datang dan menjadi peneraju global dalam aset digital patuh Syariah,” katanya pada majlis pelancaran rasmi dana tersebut, hari ini.

Beliau berkata pelancaran tersebut menyediakan peluang kepada pelabur canggih, seperti individu kaya dan pelabur institusi yang mencari strategi yang disesuaikan, untuk terlibat dalam pasaran aset digital yang semakin berkembang pesat.

Halogen Capital dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pelancaran itu berkata, pada masa ini syarikat tersebut menawarkan pelabur individu, korporat dan institusi akses kepada aset digital seperti Bitcoin dan Ethereum, dengan tambahan kemudahan, kejelasan cukai dan jaminan dana unit amanah.

Syarikat itu berkata dana patuh Syariahnya diselia oleh penasihat Syariah terkemuka, Amanie Advisors dan Tawafuq Consultancy.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800