Ringgit Akhiri Kenaikan Sebelum Ini, Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Ringgit merosot daripada kenaikan sebelum ini untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan Indeks Dolar AS (DXY) yang meningkat semula.

Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.4725/4770 berbanding dolar AS daripada 4.4240/4305 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bahawa pasaran kewangan global masih belum stabil berikutan kebimbangan mengenai potensi kemelesetan yang akan terus menjadi tumpuan.

“Mungkin terdapat kecenderungan untuk permintaan terhadap dolar AS meningkat berikutan peniaga mencari kestabilan dalam mata wang selamat.

“Pada masa ini, ringgit akan berada hampir kepada paras halangan pada 4.4960 berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) yang akan menyebabkan permintaan tinggi untuk dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, walaupun tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.0879/0914 daripada 3.1067/1117 pada Isnin.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.6837/6894 daripada 5.6379/6462 dan rendah berbanding euro kepada 4.8799/8849 daripada 4.8434/8505 sebelum ini.

Begitu juga, mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3694/3730 daripada 3.3485/3536 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5848/6024 daripada 12.5528/5791 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 276.6/277.1 daripada 273.2/273.7 pada Isnin dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 daripada 7.64/7.66.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA