Bagaimana Lamborghini Mengubah Pandangan Terhadap SUV Mewah

SUV atau sports utility vehicle, merupakan kenderaan yang sangat popular di Amerika Syarikat. Ianya menjadi kegemaran rakyat di sana disebabkan kebolehannya di atas jalan raya dan juga off-road.

Walaupun kenderaan jenis SUV ini banyak menggunakan minyak untuk bergerak, kejatuhan harga minyak dunia telah membuatkan banyak pengeluar kenderaan berlumba-lumba untuk membangunkan kenderaan SUV untuk pasaran Amerika Syarikat secara khususnya dan juga seluruh dunia.

Di antara pengeluar terkenal yang menghasilkan kenderaan jenis SUV adalah Ford, General Motors, Toyota dan juga pengeluar dari Korea Selatan.

Dengan harga yang berpatutan, ia telah mendapat sambutan yang luar biasa bagi golongan pertengahan penduduk di sana. Namun, syarikat yang mengeluarkan kenderaan supercar tidak memandang kategori SUV ini kecuali Lamborghini.

Bagaimana SUV Mewah Berkembang?

Kredit Gambar: Auto Evolution

Lamborghini merupakan sebuah syarikat kenderaan yang menghasilkan jentera di dalam katogeri supercar. Pada tahun 2017, syarikat ini telah mengumumkan akan menghasilkan SUV dalam kategori mewah yang bakal mengejutkan pesaing mereka.

Pengumuman yang diilakukan oleh Lamborghini itu telah mengejutkan dunia automotif. Namun ramai juga yang ragu-ragu dengan tindakan yang dilakukan oleh Lamborghini ini.

Ferrari yang merupakan pesaing utama Lamborghini turut mengecam tindakan tersebut. Menurut CEO syarikat terbabit iaitu Sergio Marchionne, beliau sanggup menembak dirinya sendiri sekiranya Ferrari ingin mengeluarkan SUV jenama Ferrari.

Sebelum ini, Porsche telah mengeluarkan kenderaan SUV mereka sendiri di mana sambutan yang diterima oleh pengeluar Jerman itu adalah positif. Jika dibandingkan dengan Porsche, jenama Lamborghini adalah lebih kuat. Jadi harga yang bakal ditawarkan oleh Lamborghini agak keras kerana berstatus premium.

Lamborghini sebelum ini pernah mengeluarkan SUV mereka sendiri pada tahun 1980-an tetapi sambutan yang diterima terhadap SUV itu dingin menyebabkan syarikat tersebut terpaksa memberhentikan pengeluaran jentera tersebut.

Lamborghini Menguasai Pasaran SUV Mewah

This image has an empty alt attribute; its file name is Bagaimana-Lamborghini-Merubah-Pandangan-SUV-Mewah3-700x394.jpg
Kredit Gambar: CNBC

Pada tahun 2018, Lamborghini secara rasminya telah mengeluarkan SUV pertamanya yang dikenali sebagai Urus. Sambutan yang diterima oleh Lamborghini terhadap SUV tersebut sungguh luar biasa di mana ramai orang berminat untuk mendapatkan SUV tersebut.

Urus yang dipacu oleh enjin turbo berkembar V8, telah membuatkan SUV ini sangat luar biasa berbanding  dengan jenama lain di pasaran.

SUV buatan Lamborghini pada ketika itu merupakan satu-satunya SUV di dalam kategori mewah yang sangat berjaya menjadikan banyak pengeluar kenderaan supercar ingin turut menyertai di dalam segemen tersebut.

McLaren dan juga Aston Martin turut sama membangunkan kenderaan segemen terbabit. Paling menarik, Ferrari juga tidak terkecuali bercadang mengeluarkan SUV mereka sendiri.

Dalam tempoh dua tahun, jualan Urus sangat memberansangkan dan hampir separuh pendapatan Lamborghini adalah dari jualan Urus ini. SUV Lamborghini itu telah menyelamatkan syarikat tersebut kerana permintaaan yang sangat tinggi di dalam pasaran kenderaan mewah.

Begitulah industri automotif yang sukar dijangka walaupun kadang kala tidak masuk akal, tetapi sebelum kita mencuba kita tidak akan tahu hasilnya.

Tindakan berani yang dilakukan oleh Lamborghini yang memasuki segmen SUV mewah akhirnya membuahkan hasil yang sangat lumayan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings