Bolt Lancar Perkhidmatan e-Panggilan Di Lembah Klang Untuk Sokong Permintaan Mobiliti

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Syarikat pengangkutan terkemuka Eropah, Bolt telah melancarkan perkhidmatan e-panggilannya di Lembah Klang, bertujuan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat dalam mobiliti bersama, yang akan memberi perkhidmatan kepada 11.47 juta pengguna menjelang 2029.

Pengurus Besar Bolt Malaysia Afzan Lutfi berkata kepesatan pengembangan Lembah Klang, dengan pembandaran serta keperluan pengangkutan yang semakin meningkat, menawarkan landskap yang ideal bagi Bolt untuk membantu mengalihkan pergantungan daripada kereta persendirian kepada penyelesaian mobiliti bersama.

“Kami melihat potensi yang sangat besar di sini, bukan sahaja untuk memberi perkhidmatan kepada penumpang tetapi turut mencipta peluang ekonomi yang bermakna kepada pemandu sambil menyumbang ke arah masa depan yang lebih hijau dengan mengurangkan kebergantungan kepada kereta persendirian,” katanya kepada Bernama. 

Afzan menekankan komitmen Bolt ke Lembah Klang, dengan rancangan untuk menyelaraskan dengan corak perjalanan masyarakat dan meneroka pengembangan masa depan ke bandar-bandar Malaysia yang lain.

“Seiring dengan pengembangan dan perincian operasi kami, menjangkau ke pusat bandar lain pastinya berada dalam fokus kami,” tambahnya. 

Bolt menyasarkan untuk menjadi lebih daripada sekadar perkhidmatan e-panggilan, ia juga komited untuk memberikan impak positif dan jangka panjang di bandar-bandar Malaysia.

“Kami bermatlamat untuk mentakrifkan semula mobiliti bandar dengan menyediakan alternatif yang berpatutan selain akses kepada pemilikan kereta, yang boleh membantu mengurangkan kesesakan dan melonjakkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya lagi. 

Sejak 2013, Bolt telah berjaya bersaing dengan pemain tempatan dan mendapat kepercayaan masyarakat setempat.

Hari ini, syarikat yang bernilai 7.4 bilion euro itu telah memberi perkhidmatan kepada 200 juta pelanggan di 600 bandar di seluruh dunia, melalui perkhidmatan pengangkutan, mikromobiliti dan penghantaran, mencerminkan potensi pertumbuhan kukuh dalam pasaran.

Dalam perkembangan lain, Afzan menjelaskan syarikat tersebut telah memperkenalkan kadar komisen dihadkan sebanyak 15 peratus pada pelancaran, yang diterima baik oleh pemandu sebagai alternatif yang saksama kepada bayaran perkhidmatan yang tinggi dan turun naik di samping menjalankan kempen yang disasarkan bagi menambah pendapatan pemandu, termasuk menawarkan bonus ringgit untuk setiap perjalanan.

Bolt turut melancarkan kempen diskaun sebanyak 50 peratus untuk menarik penumpang baharu.

Bolt dilesenkan sepenuhnya sebagai pengendali e-panggilan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat dan mematuhi semua keperluan kawal selia.

Setiap rakan kongsi pemandu memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah dan permit kenderaan e-panggilan serta telah menjalani proses pemeriksaan menyeluruh termasuk pemeriksaan latar belakang, pengesahan foto dan pengesahan swafoto masa nyata untuk tahap kebertanggungjawaban tertinggi.

Afzan menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan utama di Bolt, dan syarikat itu komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat merangkumi penumpang serta pemandu. 

“Bagi menyokong keselamatan masa nyata, ciri perkongsian lokasi kami membolehkan penumpang serta pemandu berkongsi status perjalanan mereka dengan kenalan yang dipercayai. Ciri pemeriksaan tunggangan juga berfungsi jika kenderaan kekal statik terlalu lama, mendorong pengguna mengesahkan status keselamatan mereka atau mengakses pilihan kecemasan jika perlu,” jelasnya.

Aplikasi Bolt direka bentuk dengan maklum balas langsung daripada pemandu, menawarkan pengalaman mesra pemandu yang merangkumi penerimaan tunggangan manual dan tetapan radius pengambilan yang boleh disesuaikan.

“Untuk mengawasi tunggangan, jika perjalanan melencong dari laluan atau berhenti tanpa sebab, pasukan kami akan berwaspada dan segera menyemak dengan pemandu serta penumpang,” tambahnya.

Pada 28 Okt, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa undang-undang baharu untuk melindungi pekerja ekonomi gig akan diperkenalkan dan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia semasa sidang Dewan Rakyat sekarang.

Undang-undang yang dicadangkan itu bertujuan untuk mewujudkan jaringan keselamatan ke atas pekerja gig, meliputi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial dan peruntukan kos perubatan.

Mengulas mengenai perundangan yang dicadangkan, Afzan memberi jaminan bahawa Bolt telah pun mematuhi semua peraturan buruh setiap negara merentas 50 pasaran lain termasuk Malaysia.

“Kami sedang menyemak perundangan khusus bagi memastikan dasar kami sejajar dengan itu,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.