Inflasi Malaysia Mereda Kepada 2.0 Peratus Pada Julai 2023 – Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia, terus mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 iaitu yang terendah setakat tahun ini dengan mata indeks mencatat 130.5 berbanding 127.9 bagi tempoh sama tahun lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kadar inflasi yang mencatat 2.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun, juga menunjukkan aliran yang menyederhana sejak Januari pada 3.7 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perlahan kadar inflasi itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel pada 5.0 peratus (Jun 2023 : 5.4 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (4.4 peratus); kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) manakala kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan masing-masing meningkat sebanyak 2.0 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, telah merekodkan peningkatan sederhana pada 4.4 peratus.

“Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk lima bulan berturut-turut kepada 3.0 peratus bagi Julai 2023 berbanding 3.2 peratus dalam bulan sebelumnya.

“Kenaikan komponen makanan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.5 peratus); beras, roti dan bijirin lain (4.5 peratus); susu, keju dan telur (4.3 peratus) manakala gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.5 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata subkumpulan daging termasuk daging ayam, lembu, kambing, kerbau dan daging itik mencatat peningkatan lebih tinggi pada 5.5 peratus bagi Julai 2023.

Beliau berkata ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging, mencatat kenaikan 4.3 peratus berbanding 2.6 peratus pada Jun lepas.

Selain itu, katanya, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional pada 2.0 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peningkatan terendah sebanyak 1.1 peratus pada Julai 2023.

 Bagaimanapun, hanya enam negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pahang (2.6 peratus), Sarawak (2.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6 peratus), Perak (2.4 peratus), Selangor (2.4 peratus) dan Melaka (2.2 peratus), kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian