Jualan EV Malaysia Dijangka Meningkat Empat Kali Ganda Pada 2023 – BMI

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, mengunjurkan jualan kenderaan elektrik (EV) Malaysia akan meningkat empat kali ganda pada 2023, walaupun kadar penembusan EV hanya pada 1.8 peratus.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI berkata usaha mewujudkan kemudahan pembuatan Volvo dan Mercedes-Benz di peringkat tempatan akan turut menyuntik minat terhadap EV di negara ini.

“Mercedes-Benz merancang untuk memastikan 30 peratus daripada semua kenderaannya yang dijual di Malaysia bercirikan elektrik menjelang 2030 berikutan Malaysia menawarkan antara kadar penembusan EV tertinggi bagi produknya secara global.

“Malaysia juga telah menyaksikan jumlah besar pengeluar auto yang memasuki pasaran, sekali gus dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna,” kata BMI.

Menurutnya, Tesla juga bersetuju untuk membuka ibu pejabat serantau dan kemudahan servis di Malaysia manakala Neta, jenama EV China oleh Hozon New Energy Auto, juga telah memasuki pasaran tempatan.

Pada masa sama, Proton Holdings Bhd juga telah mengumumkan pelan hala tuju bagi pengelektrikan yang merangkumi hibrid, EV hibrid “plug-in” dan EV dengan bateri sepenuhnya.

Kerajaan turut mengumumkan lanjutan pengecualian duti import penuh bagi komponen yang digunakan dalam pemasangan EV sehingga Disember 2027 serta pengecualian cukai eksais dan cukai jualan penuh bagi EV pemasangan tempatan (CKD) manakala pengecualian duti pemasangan luar negara (CBU) telah dilanjutkan sehingga Disember 2025.

“Kami percaya langkah-langkah ini akan menyumbang kepada peningkatan jualan EV dalam tahun-tahun akan datang berikutan kos pembelian EV yang berkurangan, sekali gus memberi persaingan lebih baik berbanding kenderaan dengan ciri enjin pembakaran dalaman,” katanya.

Pengecualian duti bagi alat ganti untuk EV akan turut merangsang pengeluaran EV tempatan berikutan pengeluar auto yang sudah berpangkalan di Malaysia telah diberi insentif pengelektrikan barisan model kenderaan masing-masing.

Malah, katanya, langkah sedemikian akan turut menarik penyertaan pengeluar kereta baharu ke dalam pasaran.

Pengeluar infrastruktur pengecasan EV yang berpangkalan di Malaysia juga dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pendapatan sehingga 2032.

Selain itu, EV komersial juga semakin mendapat perhatian di Malaysia dengan penyertaan trak komersial Volvo.

“Malaysia telah menetapkan sasaran kehadiran 100,000 EV di jalan raya menjelang 2030 dengan 50,000 daripadanya adalah EV komersial.

“Bagi menyokong penembusan EV di Malaysia, kerajaan turut mengumumkan pengecualian bayaran cukai bagi EV sehingga 31 Dis, 2025,” katanya.

— BERNAMA 

Baca juga: Saham-Saham EV, Apa Jadi Bila Beli Pada 1.1.2023?

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.