Malaysia Di Landasan Betul Jadi Kuasa Hebat Kenderaan Elektrik Di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi kuasa kenderaan elektrik (EV) yang hebat di Asia Tenggara dengan kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif, disokong bukti komitmen perniagaan yang kukuh seperti ditunjukkan oleh dua syarikat automotif terkenal dunia, Geely dan Tesla.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata kemasukan Zhejiang Geely Holding Group Co, atau ringkasnya Geely, dari China dan Tesla Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) ke dalam pasaran Malaysia berperanan sebagai petunjuk jelas kerelevenan negara dalam landskap automotif serantau.

Beliau berkata kedua-dua pembuat kereta itu, dengan pengalaman global luas dan akses kepada teknologi terkemuka, boleh memperkenalkan idea dan cara baharu menjalankan perniagaan kepada sektor automotif tempatan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi untuk produk baharu yang mungkin pada masa ini tidak tersedia di negara ini.

“Sebagai contoh, elektrifikasi pula bermakna satu perubahan dalam komponen kenderaan, dengan lebih tumpuan diberikan kepada pembuatan bateri dan komponen khusus lain untuk EV.

“Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi — daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya — selain memberi kemahiran tambahan dan baharu di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif, di samping membuka peluang baharu untuk inovasi, R&D dan pembuatan komponen bernilai tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dengan sokongan kerajaan yang betul serta infrastruktur dan dasar yang dilaksanakan, Malaysia berkedudukan baik untuk menjadi hab serantau yang menyokong pertumbuhan EV global  memandangkan kedudukan strategik dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.

Malaysia adalah hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, oleh itu, pembuat kenderaan dan pelabur automotif boleh memanfaatkan kapasiti ini dengan lancar untuk menjamin rantaian bekalan mereka bagi mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV), katanya.

Subsektor komponen boleh dimanfaatkan untuk memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantaian nilai automotif meliputi semikonduktor, pengesan, elektronik automotif, penghantar-terima, bateri dan pemasangan kenderaan.

Membangunkan Massa Yang Penting

Mohd Shamsor berkata dengan lebih 40 jenama dalam pasaran domestik pada masa ini, kemasukan peserta baharu sudah pasti akan menambahkan keterujaan pasaran dan menimbulkan lebih banyak minat dalam kalangan pengguna.

Selain itu, ini juga akan mewujudkan pasaran pembeli dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan meningkatkan daya saing, memastikan semua peserta automotif sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan dan tawaran lebih baik untuk pengguna.

“Malaysia mungkin baharu dalam industri EV namun, dengan sokongan padu kerajaan dan dasar negara yang progresif ditambah dengan pembelian pengguna yang semakin tinggi, kami menjangkakan pertumbuhan holistik yang pesat dalam pasaran EV tempatan kita.

“Peserta baharu dalam ruang EV akan membawa kepada persaingan lebih hebat, yang seterusnya akan merangsang lebih banyak pelaburan daripada peserta automotif serta peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Shamsor berkata dengan lebih banyak EV, termasuk model pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD), masuk ke negara ini, maka akan terdapat peluang perniagaan baharu untuk kalangan vendor.

Sementara itu, Pro Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata EV masih dianggap sebagai pasaran khusus bagi landskap automotif domestik, oleh itu, permintaan serta penawaran yang kukuh adalah sama penting untuk industri ini menembusi pasaran Malaysia pada kadar yang amat bermakna.

Beliau berkata ketika Malaysia menguruskan kelebihan daya saingnya berdasarkan piawaian dunia, pelarasan utama dalam struktur pekerjaan, cukai dan peruntukan subsidi juga tidak dapat dielakkan dalam usaha untuk mencatatkan saiz pembeli, pembuat serta pelaburan yang diperlukan bagi mengembangkan industri ini.

“Di beberapa negara EV terkemuka, cukai karbon dikenakan untuk menggalakkan pengguna dan pembuat beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam.

“Malaysia dahulunya sebuah negara pertanian dan berasaskan komoditi, namun kini ekonominya mempunyai sektor pembuatan dan perkhidmatan yang pesat, dan akan menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Kita mesti bergerak maju dan memberi laluan kepada perubahan baharu,” katanya.

Tanjong Malim sebagai ‘Detroit’

Geely dan rakan kongsi Malaysia, DRB-Hicom Bhd, mengumumkan rancangan untuk membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak, sebagai hab NxGV Malaysia, meliputi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti yang meluas.

Ia dijangka menarik pelaburan kolektif bernilai RM32 bilion daripada pelbagai pihak.

Pada 18 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Geely akan membuat pelaburan besar iaitu sebanyak US$10 bilion, atau kira-kira RM45 bilion, untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai bandar auto terbesar di rantau ini.

Shazali berkata komitmen terbaru Geely itu akan mewujudkan kesan limpahan luar biasa bukan sahaja untuk Tanjong Malim malah juga Malaysia secara keseluruhannya, menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan.

“Pemindahan teknologi dari China akan dilakukan secara besar-besaran, ini akan turut membawa kepada kewujudan industri lain yang berkaitan, sekali gus menyumbang kepada daya saing Malaysia di dunia,” katanya.

Menerusi pelaburan besar-besaran di Tanjong Malim, lokasi itu berpotensi menjadi seperti Detroit di AS, yang digelar ‘Motor City’.

“Mereka bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan malah juga kelas pekerjaan mahir yang berbeza,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata AHTV adalah satu-satunya kluster automotif di Malaysia yang diiktiraf secara rasmi sebagai hab NxGV dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Justeru, kerajaan menawarkan pakej insentif yang menarik termasuk pengecualian cukai bagi pembangunan tanah, pembuatan alat ganti dan komponen serta penubuhan pusat penyelidikan dan institusi pendidikan, katanya.

Potensi EV Buatan Malaysia

Mohd Shamsor berkata Malaysia mempunyai pasaran automotif domestik yang baik dan menjanjikan prospek pertumbuhan dari segi jualan, manakala rekod prestasi industri dalam sektor yang sama meletakkan negara secara strategik sebagai hab serantau yang berpotensi untuk pengeluaran dan pemasangan jenis kenderaan baharu.

“Kini, negara-negara di seluruh dunia berusaha untuk menempatkan elektrifikasi pengangkutan dengan sebaik mungkin. Bagi negara seperti Malaysia, yang telah lama percaya dengan merealisasikan identiti automotif tempatan, kita juga berada di titik perubahan besar dalam memperkasa pengangkutan peribadi dan komersial,” katanya.

Shazali berpandangan apabila Tesla memperluaskan kehadirannya di Asia Tenggara, syarikat itu akan meninjau untuk membuka hab pembuatan serantau, dengan Malaysia boleh mempunyai kelebihan besar memandangkan firma Elon Musk telah bersedia untuk menubuhkan ibu pejabat di Cyberjaya, serta rangkaian Supercharger Tesla, pusat Tesla Experience dan pusat servis di negara ini.

Beliau juga berpendapat, teknologi dan peluang pekerjaan berkemahiran yang dicipta melalui pengembangan luar negara ke Malaysia — bukan sahaja terhad kepada Tesla malah juga pembuat EV lain — akan meningkatkan kapasiti dan memperkukuh keupayaan negara dalam sektor automotif supaya berpotensi membina dan mereka bentuk EV sendiri pada masa hadapan.

“Telitilah sejarah Proton. Syarikat itu bermula sebagai pemasang model yang dijenamakan semula (di bawah lambang Proton) dan telah berkembang menjadi pembuat yang membuat model sendiri. Dalam jangka masa panjang, kita boleh membuat EV kita sendiri,” tambahnya.

Menurut laporan bertajuk Annual Update on the Global Transition to Electric Vehicles: 2022 (Kemas Kini Tahunan mengenai Peralihan Global kepada Kenderaan Elektrik: 2022) oleh Majlis Antarabangsa Mengenai Pengangkutan Bersih, Asean ialah pasaran tunggal yang merekodkan jualan sebanyak 39,000 EV pada 2022, melonjak 165 peratus tahun ke tahun.

Laporan penyelidikan Global Passenger Electric Vehicle Model Sales Tracker (Penjejak Jualan Model Kenderaan Elektrik Penumpang Global) oleh Counterpoint — firma penganalisis industri global yang beribu pejabat di Hong Kong — mendedahkan bahawa Thailand menyumbang 58 peratus kepada jualan EV penumpang di Asia Tenggara tahun lepas, diikuti Indonesia (19.5 peratus), Vietnam (15.8 peratus) dan Malaysia (2.6 peratus).

Malaysia menyasar untuk mencatatkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh kenderaan elektrik — EV dan hibrid — menjelang 2030, dan 38 peratus daripada TIV pada 2040.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari