MASwings Tawar Promosi Tambang ‘Jom Balik Undi’ Bagi Pengundi Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 1 Nov (Bernama) — MASwings menawarkan promosi tambang menerusi kempen ‘Jom Balik Undi’ sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama bagi pengundi Sabah dan Sarawak yang akan pulang untuk hari pengundian pada 19 November ini.

Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata harga promosi bermula daripada RM135 bagi perjalanan sehala dengan tambang termasuk semua itu kini dibuka untuk tempahan mulai hari ini sehingga 30 Nov, 2022 dan ia bagi perjalanan sehingga 31 Dis, 2022.

Beliau berkata kekerapan penerbangan juga akan ditambah daripada 21 kali seminggu kepada 28 kali seminggu bagi Miri-Labuan, Miri-Sibu, Kota Kinabalu-Lahad Datu dan Kota Kinabalu-Labuan bermula 18 hingga 21 November.

“Bagi penerbangan Kuching-Limbang, operasi semasa MASwings pada Isnin, Khamis dan Sabtu akan ditambah kepada dua kali sehari pada 18 dan 20 November,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

MASwings juga akan membuat penerbangan tambahan untuk memenuhi lonjakan permintaan yang dijangkakan bagi beberapa laluan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, katanya.

Nasaruddin berkata MASwings, sebagai nadi Borneo, komited untuk menyediakan pengangkutan udara yang selamat dan boleh dipercayai bagi menyokong dan melancarkan pergerakan sempena PRU15.

Para pengundi tempatan digesa pulang ke kampung halaman masing-masing supaya dapat menunaikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia, katanya.

“Kami menggalakkan semua pengundi dan pelanggan untuk membuat tempahan lebih awal supaya tidak kecewa dan terlepas tawaran MASwings,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/maswings-tawar-promosi-tambang-jom-balik-undi-bagi-pengundi-sabah-sarawak/

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.