Labur atau Lebur Emas?

Pandemik COVID-19 pada tahun 2020 memberi banyak impak negatif kepada rakyat Malaysia. Topik pelaburan memang sering menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini. Kini, semakin ramai rakyat Malaysia yang celik tentang pelaburan yang memberi banyak kepentingan untuk kegunaan masa depan. Namun, kebanyakan rakyat Malaysia khususnya orang Islam tidak ramai yang peka tentang kepentingan pelaburan patuh Syariah. Bagi mereka pelaburan konvensional dan pelaburan patuh Syariah menawarkan konsep dan prinsip pelaburan yang sama namun ia sebaliknya. Perbezaan utama antara pelaburan patuh Syariah dan pelaburan konvensional ialah pelaburan patuh Syariah tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak patuh atau perkara yang dilarang oleh Syariah seperti riba (tambahan), gharar (ketidakpastian), maysir (perjudian) dan seumpamanya, manakala tiada syarat dikenakan ke atas pelaburan konvensional untuk memastikan semua sumber dana atau aktiviti adalah patuh Syariah. Hal ini yang membezakan antara pelaburan patuh Syariah dan pelaburan konvensional di Malaysia. Sebagai seorang Muslim, sudah menjadi satu kewajipan ke atas kita untuk mencari dan menceburi pelaburan yang menepati hukum Syariah dan meninggalkan perkara- perkara yang dilarang oleh Islam untuk mendapat keberkatan hidup. 

Dalam konteks Islam, pelaburan amat digalakkan supaya masa depan kita terjamin. Sudah tentu pelaburan yang diceburi oleh orang Islam mestilah mengikut syariat Islam. Melabur dalam pelaburan patuh Syariah akan menimbulkan keselesaan kepada pelabur Muslim, tanpa rasa takut ianya terpesong daripada ajaran Islam. Sebagai seorang Muslim yang taat, sudah tentu pilihan pelaburan mestilah bersesuaian dengan konsep Islam. Perbezaan lain antara pelaburan patuh Syariah dan konvensional terletak pada faedah yang diberikan. Kelebihan pelaburan Islam adalah dalam bentuk perkongsian keuntungan, manakala konsep konvensional adalah dalam bentuk faedah. Dalam ajaran Islam, faedah adalah haram, kerana ia tidak mengiktiraf nilai wang. Pada pandangan Islam, wang tidak akan berkembang dengan sendirinya tetapi ianya mesti melalui usaha yang produktif.

Dari sudut pandangan agama Islam, hukum melabur saham adalah harus, namun ia mestilah bersandarkan dengan beberapa syarat. Antaranya, ia mestilah melabur dalam pelaburan patuh Syariah. Hal ini kerana pelaburan yang tidak patuh Syariah mempunyai satu potensi besar untuk mengandungi unsur riba, gharar, maysir dan sebagainya yang wajib bagi seseorang individu Muslim untuk menjauhkan diri daripadanya. Seperti mana Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 275: 

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Dalam ayat ini, sudah terang lagi bersuluh Allah SWT telah menyatakan larangan bagi seseorang Muslim untuk beramal dengan perbuatan riba. Selain itu, Allah SWT juga telah menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melakukan perbuatan riba tersebut.

Berdasarkan Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan, pelaburan dalam bank konvensional hukumnya ialah haram. Hal ini kerana pelaburan tersebut tidak dibangunkan mengikut konsep pelaburan Islam dan turut melabur di dalam sektor-sektor tidak patuh Syariah yang melibatkan maysir, riba dan juga gharar. Kelebihan pelaburan patuh Syariah ialah bebas riba, menawarkan risiko yang minimum, pengurusan Islam, halal dan menggalakkan aktiviti sosial. Risiko yang mungkin dihadapi oleh pelabur adalah risiko kehilangan modal, risiko ketidakpastian pulangan, dan kesukaran menjual produk pelaburan. Justeru, pada masa ini produk pelaburan Islam bukan sahaja digemari oleh orang Islam malah oleh orang bukan Islam juga. Hal ini kerana konsep perkongsian keuntungan dianggap lebih menguntungkan jika dibandingkan dengan faedah. Dapat disimpulkan di sini bahawa peraturan Islam kini boleh diterima oleh pelbagai golongan manusia di dunia. 

Kini, Bank Rakyat telah memperkenalkan produk pelaburan pertamanya iaitu akaun pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat, untuk membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan yang patuh Syariah. Produk ini berasaskan konsep Mudarabah yang mana keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan tersebut akan dikongsi berdasarkan nisbah yang dipersetujui antara dua- dua pihak. Platform ini juga tidak mempunyai sebarang tempoh minimum atau maksimum dan pelanggan boleh mengeluarkan atau meningkatkan jumlah pelaburan mereka pada bila-bila masa. Bank Rakyat juga menyatakan bahawa di samping pelabur berpeluang memperoleh keuntungan yang besar, pelabur juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta melalui program cabutan bertuah kategori bulanan dan separuh tahunan. Pelaburan ini terbuka kepada warganegara dan bukan warganegara Malaysia dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan baki akaun minimum serendah RM50.

Kenapa Pilih Pelaburan Emas?

Antara pelaburan patuh Syariah yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia ialah pelaburan emas. Hal ini kerana emas sangat sesuai dijadikan sebagai simpanan jangka masa panjang sekurang-kurangnya 3 tahun dan keatas. Selain itu, nilainya juga terjamin dan tidak terkesan dengan inflasi, ketidakstabilan ekonomi serta politik.

Public Gold

Public Gold merupakan antara syarikat pelaburan emas patuh Syariah di Malaysia yang menawarkan Akaun GAP (Gold Accumulation Program). Public Gold merupakan syarikat jual beli emas pertama di dunia yang mempunyai sijil kepatuhan Syariah yang dipantau oleh panel syariah Amanie Advisors Sdn Bhd. Akaun GAP ini membolehkan rakyat Malaysia untuk mengakses harga emas secara langsung dalam masa 24 jam dan juga melakukan traksaksi jual beli emas pada bila- bila masa dan dimana sahaja yang diingini. Platform ini juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membuat penyimpanan emas secara sedikit demi sedikit dengan membenarkan pembelian emas serendah RM100 secara dalam talian. Antara kelebihan lain Akaun GAP ialah tiada had umur ditetapkan untuk membuka akaun ini, akaun untuk anak-anak boleh dibuka pada seawal kelahiran. Simpanan emas di dalam akaun ini juga secara percuma, tiada yuran bulanan dan tiada caj tersembunyi yang dikenakan keatas pelabur.

Akaun Emas Muamalat Gold-I

Selain itu, Akaun Pelaburan Emas Bank (Gold Investment Account) seperti Bank Muamalat. Bank Muamalat juga menawarkan akaun pelaburan emas patuh Syariah yang diberi nama Akaun Emas Muamalat Gold-I dan Panel Syariah bagi akaun tersebut merupakan Shariah Committee. Walau bagaimanapun, bagi melakukan pelaburan emas di bank ini, pelanggan perlu mempunyai Akaun Semasa atau Simpanan Bank Muamalat terlebih dahulu bagi mendebitkan akaun berkenaan untuk amaun pembelian dan mengkreditkan hasil penjualan emas. Bagi pelanggan yang tidak mempunyai Akaun Semasa atau Simpanan, mereka perlulah membuka akaun tersebut terlebih dahulu sebelum membuat pembelian Muamalat Gold-i. Pelanggan tersebut juga perlu berumur 18 tahun dan keatas. Namun begitu, Bank Muamalat menawarkan pembelian permulaan yang rendah iaitu serendah 1gram atau RM10 (atau bersamaan dalam gram) sahaja. 

Sindiket Penipuan Pelaburan

Walau bagaimanapun, kini wujud golongan- golongan yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama pelaburan patuh Syariah bagi menarik minat orang ramai khususnya Muslim untuk menceburi pelaburan penipuan tersebut. Golongan ini bijak mengatur strategi dengan mengaitkan sentimen emosi. Seseorang yang menyimpan emas dengan bangsa lain dikategorikan sebagai pengkhianat. Sebagai seorang Muslim, kita mesti membantu ummah dengan membeli emas daripada rakan seagama. Jika elemen sentimen tidak berfungsi, mereka akan mainkan elemen pulangan bulanan yakni beli emas dengan syarikat mereka lebih menguntungkan dan setiap bulan akan mendapat dividen yang lebih tinggi berbanding pelaburan di ASB, Simpanan Tabung Haji dan lain- lain. Perkara ini ialah penipuan yang terang-terangan. Simpanan emas adalah simpanan emas. Tiada pulangan bulanan yang harus dijanjikan. Perjanjian yang menyediakan jaminan wang dikembalikan ialah perjanjian yang melanggar prinsip pematuhan Syariah. Golongan yang sering menjadi mangsa ialah mereka yang mudah terpedaya dengan elemen sentimen yang ditawarkan golongan ini, mereka yang ingin cepat kaya serta mereka yang terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan tanpa berfikir baik buruk perkara tersebut. Hal ini dibuktikan dengan artikel surat khabar berita harian bertarikh 5 Disember 2022 yang menyatakan seramai 10,000 mangsa sindiket penipuan pelaburan mengalami kerugian mencecah RM3 billion. Menurut mangsa, kebanyakan mereka terpedaya oleh ejen pelaburan yang menawarkan pulangan dan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan.

Keratan Artikel Berita Harian, 5 Disember 2022

Berdasarkan kisah benar pada tahun 2020, seorang penjawat awam yang berusia 40-an telah terpengaruh dengan janji pulangan lumayan dan mengalami kerugian yang besar yakni berjumlah RM21,000 selepas ditipu oleh skim pelaburan yang tidak wujud. Menurut mangsa kejadian bermula pada awal Disember tahun tersebut selepas mangsa menerima tawaran pelaburan yang merupakan pakej pelaburan Forex yang didakwa “patuh Syariah” yang mengatakan mereka boleh membayar keuntungan kepada pelabur setiap dua hari dan dijanjikan pulangan sehingga RM12,000 sebulan. Selepas berjaya membuat traksaksi pindahan wang yang pertama, mangsa telah dihubungi oleh seorang lagi suspek yang mendakwa pelaburan tersebut menguntungkan dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan untuk mendapatkan keuntungan yang dimaksudkan. Mangsa tersebut menyedari perkara ini setelah dia berjaya melakukan 40 transaksi dalam enam akaun berbeza namun tidak menerima sebarang bayaran balik seperti yang dijanjikan. (Rujukan Artikel Harian Metro, 21 Disember 2020).

Keratan Artikel Harian Metro, 21 Disember 2020

Begitu juga mengenai kisah benar yang berlaku pada tahun 2021, pihak tidak bertanggungjawab ini telah mengambil kesempatan dengan bertindak menggunakan nama Dato Dr. Nazri Khan (DDNK) sebagai tiket untuk menipu orang ramai. Abu (bukan nama sebenar) yang ketika itu telah terpedaya dengan janji-janji manis skim penipuan pelaburan yang ditawarkan ini telah melaburkan wang deposit sebanyak RM1,000. Namun begitu, setelah wang RM1,000 tersebut hangus, pihak tidak bertanggungjawab ini masih bergerak licik dengan tanpa segan silunya menyuruh lagi Abu untuk memindahkan sejumlah wang RM2,000 dengan janji Abu perlu berbuat sedemikian untuk mengeluarkan hasil keuntungan berjumlah RM5,000. Malangnya, selepas transaksi tersebut selesai, pihak tidak bertanggungjawab ini terus hilang dari radar yakni WhatsApp disekat dan panggilan tidak dijawab serta tidak dapat dihubungi. Faktor utama perkara seperti ini berlaku adalah disebabkan oleh kerakusan manusia dengan tawaran mahal yang dijanjikan golongan yang tidak bertanggungjawab ini. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh DDNK di laman Facebook beliau pada 9 Disember 2021. 

Komen DDNK di laman Facebook beliau pada 9 Disember 2021

Kisah yang sama juga berlaku kepada seorang peguam yang turut menjadi mangsa penipuan pelaburan emas yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM18,243. Kes yang dibuktikan melalui keratan Sinar Harian pada 21 Januari 2021 ini menyatakan bahawa mangsa yang berusia 27 tahun pada ketika itu dikatakan ditipu setelah berkenalan dengan seorang warga wanita Cina di aplikasi janji temu Tantan yang menawarkan mangsa untuk mengambil bahagian dalam pelaburan emas. Mangsa yang “kelabu mata” pada ketika itu telah terpikat dengan janji keuntungan berganda setiap bulan yang ditawarkan dalam pelaburan emas tersebut.  Mangsa selepas itu terus melakukan enam transaksi dalam lima akaun yang berlainan yang keseluruhannya berjumlah RM18,243. Malangnya, peguam tersebut tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan malah wang modal yang dilaburkan juga tidak dikembalikan.

Keratan Artikel Sinar Harian, 21 Januari 2021

Sindiket Penipuan Pelaburan Dalam Talian

Selain itu, sindiket penipuan pelaburan dalam talian kini semakin popular yang  menggunakan nama pakej pelaburan yang terkenal di Malaysia seperti Trading Sukses, O Forex dan lain-lain. Pada mulanya, mangsa dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan Telegram yang kononnya menawarkan pelaburan keuntungan harian. Sindiket ini sengaja memeras ugut mangsa secara halus dengan berkongsi ratusan testimoni “pelabur hantu” dan gambar bergunung-ganang wang dan emas, kononnya hasil daripada pulangan pelaburan yang ditawarkan ini. Terdapat pelbagai pakej pelaburan yang ditawarkan seperti pakej pelaburan emas dengan nilai pelaburan asas hanya RM 3,000 dengan keuntungan lumayan sehingga RM 55,000. Pakej pelaburan emas maksimum yang ditawarkan ialah sebanyak RM 10,000 dengan keuntungan lumayan berjumlah RM120,000. Ini merupakan satu jumlah yang tidak masuk akal kerana didakwa pelaburan ini adalah keuntungan yang pasti tanpa risiko kerugian. Golongan penipu skim pelaburan yang tidak wujud ini meyakinkan mangsa dengan menyatakan bahawa pelaburan yang dicadangkan tersebut dijamin selamat, diuruskan secara profesional, keuntungan dibayar dalam masa enam jam sahaja dan paling utama mereka menggunakan nama pelaburan yang patuh Syariah sebagai tiket untuk mengaburi mata orang Muslim khususnya. Skim pelaburan ini sangatlah tidak masuk akal dan mereka yang ‘buta saham’ serta tidak mempunyai pengetahuan tentang aktiviti pelaburan selalunya menjadi target utama dan mangsa yang paling mudah sindiket ini diperbodohkan.

Genneva Gold

Syarikat yang sah dan mempunyai nama dan reputasi yang kukuh, termasuk syarikat yang mendakwa sebagai patuh Syariah dan disokong oleh ahli eksekutif, ahli politik dan selebriti, tidak menjamin bahawa ia benar- benar telus dan jujur. Misalnya, syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB) atau Genneva Gold yang merupakan syarikat penipuan pelaburan emas patuh Syariah terbesar yang pernah didedahkan di Malaysia kerana melibatkan seramai 35 ribu orang pelabur. Syarikat ini menawarkan transaksi pelaburan emas yang menarik yakni menjual emas kepada pelanggan pada harga antara 29- 30% sahaja daripada harga pasaran, dan untungnya pelanggan akan menerima “Hibah” yakni hadiah sebanyak 1.5% pada setiap bulan. Pada akhir kontrak 6 bulan, pelanggan boleh menyimpan emas atau menjualnya semula kepada Genneva Gold pada harga belian asal atau menjualnya kepada pihak ketiga. Namun, setelah beberapa tahun, seramai 8 ribu pelanggan yang telah membeli 4 ribu kg emas daripada syarikat ini melaporkan bahawa mereka masih belum menerima emas mereka dan Genneva Malaysia telah berhutang sebanyak RM80 juta. Gevenna Gold telah dikenakan tindakan undang- undang atas kesalahan pengambilan wang deposit secara haram, pengubahan wang haram dan lain- lain. Walau bagaimanapun, para pelabur yang telah melabur dalam skim pelaburan “patuh Syariah” ini mengalami kerugian yang besar kerana mereka tidak mendapat wang yang telah mereka laburkan semula dan mereka juga perlu melalui satu proses undang- undang yang panjang. Kita perlu mengambil iktibar daripada kisah syarikat Genneya Gold ini yang menggunakan label “patuh Syariah” bagi mengkaburi operasi penipuan pelaburan mereka khususnya terhadap orang Muslim. Yang dinyatakan sebagai pelaburan patuh Syariah belum tentu jujur dan telus dari sebarang penipuan. (Rujukan Artikel Malaysia Dateline pada 21 Julai 2022).

Keratan Artikel Malaysia Dateline, 21 Julai 2022

Jangan Mudah Terpengaruh

Kesimpulannya, setiap platform pelaburan mempunyai kelebihan dan keburukan masing-masing. Jadi sangat pentinglah untuk kita sebagai rakyat Malaysia untuk menjadi pelabur yang bijak iaitu pelabur yang mampu memilih platform pelaburan yang sesuai dengan objektif masing-masing, menguntungkan dan skim pelaburan yang jujur dan telus. Mengambil iktibar daripada kes-kes penipuan pelaburan emas patuh Syariah yang dinyatakan di atas, sudah menjadi kewajipan ke atas kita untuk mempelajari ilmu-ilmu pelaburan dengan sebaiknya agar kita tidak mudah terpengaruh dan tertipu dengan tawaran “mahal” yang diberikan.

Hal ini kerana, orang berilmu sentiasa akan selamat dan dapat membezakan yang mana betul atau salah, bak kata pepatah sekilas air di laut, sudah tahu jantan dan betinanya. Segala tips- tips dan kelas pelaburan percuma yang dianjurkan orang- orang yang pakar juga banyak diadakan di media massa sekarang ini. Pada era modenisasi ini, semuanya di hujung jari sahaja hanya kita sahaja sama ada mahu atau tidak mahu. Orang ramai juga boleh menyemak senarai syarikat dan sekuriti patuh Syariah yang disediakan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang sentiasa dikemaskini pada setiap bulan Mei dan November setiap tahun. Seterusnya, orang ramai boleh mengambil langkah bijak dengan memuat turun aplikasi “Check Scammers CCID” di telefon pintar masing- masing untuk menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang terbabit dengan kes- kes penipuan sebegini. 

Pelibatan kita dalam skim penipuan pelaburan ini bukan sahaja kita berisiko kehilangan wang, malah kita juga akan dikenakan tindakan undang-undang kerana didakwa terlibat sama dalam pengambilan deposit haram dengan melabur dalam skim tersebut. Sangatlah tidak wajar, sudahlah telah hilang satu jumlah besar pendapatan kita, malah bakal dikenakan tindakan undang- undang oleh pihak berwajib. Oleh itu, sebelum melabur dalam mana- mana skim pelaburan yang ditawarkan, fikirlah dan kajilah sebaik- baiknya kerana bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Jangan sampai kita berputih mata di kemudian hari asbab sikap tamak dan terburu- buru kita untuk menjadi kaya dan mendapat duit dengan cepat namun dilaburkan pada platform yang salah yang mengundang kerugian kepada diri sendiri. Pada ketika itu, apakan daya nasi sudah menjadi bubur kita hanya mampu terduduk menyesali perbuatan itu sahaja, menangis air mata darah pun tidak memberi sebarang manfaat.

Tegasnya, melaburlah di platform pelaburan emas yang patuh Syariah yang jujur dan telus serta jauhilah pelaburan konvensional atau tidak patuh syariah agar kita  sentiasa selamat di dunia ini daripada segala tipu helah dan lebih-lebih lagi di akhirat sana. Perkayakan dan menuntutlah sebanyak mungkin ilmu bagi menghindari kedangkalan dalam diri ini selain berpegang kepada prinsip orang yang rajin berusaha sentiasa akan berjaya.

Artikel disumbangkan oleh:

Iffah Nabilah binti Abdul Ghani
Prof. Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd Dali
Fakulti Ekonomi dan Muamalat,Universiti Sains Islam Malaysia
[email protected] / [email protected]

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Ke Mana Perginya Duit Simpanan Tabung Haji Kita? Ini Jawapannya

Setiap kali kita menyimpan duit di Tabung Haji, ramai yang tahu tujuan utamanya adalah untuk menunaikan ibadah haji.

Tetapi pernah tak terfikir…

Ke mana sebenarnya Tabung Haji melaburkan wang simpanan lebih 9.8 juta pendeposit ini?

Adakah semuanya disimpan dalam bank?

Jawapannya tidak.

Seperti institusi pelaburan lain, Tabung Haji akan melaburkan dana pendeposit bagi menjana keuntungan. Bezanya, semua pelaburan perlu mematuhi prinsip Syariah serta mengambil kira tahap risiko yang sesuai kerana wang tersebut adalah amanah para pendeposit.

Berapa besar dana Tabung Haji?

Sehingga 31 Disember 2025:

PerkaraNilai
Pendeposit9.77 juta orang
Simpanan PendepositRM93.42 bilion
Jumlah AsetRM98.58 bilion
Pendapatan Pelaburan KasarRM4.64 bilion
Pulangan Pelaburan (ROI)5.01%

Ke Mana Perginya Duit Simpanan Tabung Haji?

Daripada keseluruhan portfolio pelaburan Tabung Haji pada tahun 2025:

Walaupun hanya 28% portfolio berada dalam ekuiti, kelas aset ini menyumbang 34% daripada jumlah pendapatan pelaburan TH. Sebaliknya, sekuriti pendapatan tetap membentuk 57% portfolio tetapi menyumbang 53% pendapatan, menunjukkan peranan utamanya sebagai sumber pulangan yang lebih stabil dan berisiko lebih rendah.

Ekuiti (Saham)

Sebanyak 28% daripada portfolio pelaburan Tabung Haji diperuntukkan kepada pelaburan ekuiti. Pelaburan ini merangkumi saham syarikat di Malaysia dan juga luar negara, selaras dengan strategi kepelbagaian portfolio bagi menjana pulangan jangka panjang.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2025:

  • Ekuiti Domestik mencatat pulangan 5.47%
  • Ekuiti Luar Negara mencatat pulangan 7.03%
  • Private Equity pula merekodkan pulangan tertinggi iaitu 8.29% pada tahun 2025.

TH memegang ekuiti strategik dalam pelbagai syarikat terkemuka negara:

  • Bank Islam Malaysia Berhad (48.87%)
  • Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (30.80%)
  • TH Plantations Berhad (73.84%): Perladangan kelapa sawit tersenarai di Bursa Malaysia.
  • TH Properties Sdn. Bhd. (100%): Pembangunan hartanah & pembinaan.
  • TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. (100%): Rangkaian hotel & pusat konvensyen Syariah.
  • TH Marine Holdings (L) Inc. (100%): Perkhidmatan logistik & sokongan marin offshore.

Menariknya, TH tidak berkongsi saham apa yang dimiliki atau pegangan terbesar mereka dalam Laporan Tahunan 2025. Jadi, kita hanya tahu pendedahan kepada ekuiti tempatan dan luar negara, tetapi tidak tahu nama kesemua syarikat-syarikat yang berada dalam portfolio tersebut.

Namun, berdasarkan maklumat pemilikan saham yang tersedia di Bursa Malaysia dan platform data pasaran, kita masih boleh mengenal pasti beberapa pegangan saham utama.

Antaranya ialah:

  • Focus Point Holdings Bhd – Tabung Haji muncul sebagai antara pemegang saham utama dengan pegangan sekitar 31.08 juta saham (5.06%) pada Julai 2026.
  • AEON Co. (M) Bhd – 71.39 juta saham
  • Gas Malaysia Bhd – 63.67 juta saham
  • Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) – Tabung Haji memiliki kira-kira 6.24%, bersamaan 126.32 juta unit.
  • Farm Fresh Bhd – 56.13 juta saham
  • MR D.I.Y. Group – 127.51 juta saham
  • Orkim Bhd – 50.06 juta saham
  • Tenaga Nasional Berhad (TNB) – 73.52 juta saham
  • KPJ Healthcare Berhad – 43.29 juta saham
  • Solarvest Holdings Berhad – 25.26 juta saham
#SyarikatPeganganHarga Semasa (RM)Anggaran Nilai (RM Juta)
1Gas Malaysia Bhd63.67 juta5.27335.54
2Axis REIT126.32 juta1.92242.53
3MR D.I.Y. Group (M) Bhd127.51 juta1.61205.29
4Farm Fresh Bhd56.13 juta2.21124.05
5Tenaga Nasional Bhd73.52 juta14.561,070.45
6KPJ Healthcare Bhd43.29 juta3.12135.07
7AEON Co. (M) Bhd71.39 juta1.0574.96
8Solarvest Holdings Bhd25.26 juta3.0075.78
9Orkim Bhd50.06 juta0.8844.05
10Focus Point Holdings Bhd31.08 juta0.5115.85
Jumlah≈ RM2.32 bilion

Secara teori, jika semua pegangan ini dijual pada harga pasaran semasa, Tabung Haji berpotensi memperoleh sekitar RM2 bilion. Namun, angka ini hanyalah anggaran berdasarkan harga saham semasa dan tidak semestinya jumlah sebenar yang akan diterima.

Nilainya memang sekitar RM2 bilion berdasarkan harga semasa. Tetapi itu tidak bermaksud Tabung Haji perlu menjual saham-saham ini. Selagi syarikat terus mencatat prestasi yang baik dan membayar dividen, pegangan tersebut boleh terus menjana pendapatan kepada Tabung Haji sambil berpotensi meningkat nilainya dari semasa ke semasa.

Ini baru 10 syarikat yang berjaya dikenal pasti melalui rekod pemilikan saham awam. Sangat berkemungkinan masih terdapat banyak lagi pegangan ekuiti Tabung Haji yang tidak tersenarai di sini.

Nota: Maklumat pegangan diperoleh daripada sumber awam dan bukan senarai lengkap portfolio ekuiti Tabung Haji. Nilai anggaran adalah berdasarkan harga pasaran semasa ketika artikel ini disediakan dan tertakluk kepada perubahan harga saham.

Kenapa Tidak Labur Semua Duit Dalam Saham?

Kalau semua wang dilaburkan ke saham, pulangan mungkin lebih tinggi ketika pasaran naik.

Tetapi…

Apabila pasaran jatuh, nilai simpanan juga boleh terjejas dengan besar.

Sebab itu TH menggunakan strategi kepelbagaian pelaburan (diversification) supaya risiko lebih seimbang.

Bagaimana Pula dengan Ekuiti Swasta (Private Equity)?

Selain saham syarikat tersenarai, Tabung Haji turut melabur dalam ekuiti swasta (private equity). Menariknya, kelas aset ini mencatat pulangan pelaburan 8.29% pada tahun 2025, iaitu lebih tinggi berbanding ekuiti domestik (5.47%) dan ekuiti luar negara (7.03%).

Walau bagaimanapun, Laporan Tahunan 2025 tidak mendedahkan syarikat atau dana ekuiti swasta yang menjadi pegangan Tabung Haji.

Pelaburan ekuiti swasta menyumbang pulangan yang baik kepada Tabung Haji, namun maklumat mengenainya masih agak terhad dalam laporan tahunan. Pada masa hadapan, adalah wajar Tabung Haji mempertimbangkan pendedahan yang lebih terperinci mengenai portfolio ekuiti swasta, sekurang-kurangnya bagi pegangan utama. Ini akan membolehkan pendeposit memahami dengan lebih jelas bagaimana dana mereka diurus serta meningkatkan tahap ketelusan institusi.

Siapa Yang Menguruskan Pelaburan Tabung Haji?

Pengurusan pelaburan Tabung Haji tidak dibuat oleh seorang individu, sebaliknya diurus oleh pasukan pelaburan profesional yang terdiri daripada pengurus dana, penganalisis pelaburan dan pengurusan TH. Semua aktiviti pelaburan dipantau oleh Panel Pelaburan (Investment Panel), iaitu jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka strategi, dasar dan hala tuju pelaburan serta memastikan setiap keputusan selaras dengan objektif Tabung Haji, peraturan yang berkuat kuasa dan prinsip syariah. Laporan Tahunan 2025 turut menunjukkan bahawa TH mempunyai Pengurus Dana Ekuiti (Equity Fund Managers) yang memantau prestasi portfolio secara berkala, manakala pengurusan tertinggi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan pelaburan.

Penutup

Ramai melihat Tabung Haji sekadar tempat menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji. Hakikatnya, setiap ringgit yang disimpan diurus secara profesional melalui portfolio pelaburan yang dipelbagaikan dan mematuhi prinsip Syariah.

Strategi ini bertujuan mengimbangi antara pulangan, risiko dan kecairan, supaya Tabung Haji mampu terus memberikan agihan keuntungan yang kompetitif, melindungi simpanan pendeposit serta memastikan urusan haji dapat dilaksanakan secara mampan untuk jutaan rakyat Malaysia.

Sebagai pendeposit, memahami ke mana wang kita dilaburkan bukan sahaja menambah keyakinan terhadap pengurusan Tabung Haji, malah membantu kita menghargai bagaimana simpanan tersebut diurus bagi mencapai matlamat jangka panjang dan bukan sekadar untuk memperoleh pulangan, tetapi juga sebagai persediaan menunaikan rukun Islam kelima.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberi kefahaman tentang bagaimana Tabung Haji mengurus dan melaburkan dana pendeposit berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Laporan Tahunan 2025. Ia bukan merupakan nasihat pelaburan. Sebarang perubahan dasar, strategi pelaburan atau komposisi portfolio adalah tertakluk kepada pengumuman rasmi Tabung Haji.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!