MITI Cadang One-Time Subsidy Untuk Pemilikan Kenderaan EV

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengemukakan cadangan ‘One-Time Subsidy’ untuk pemilikan kenderaan elektrik (EV) bagi menggalakkan perkembangan industri itu di negara ini.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC).

“Diperhatikan pemberian ‘One-Time Subsidy’ ini dapat menggalakkan rakyat beralih daripada menggunakan kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV dan seterusnya membantu negara mengurangkan subsidi petrol untuk jangka masa panjang.

“Cadangan ini sedang diperhalusi oleh MoF,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu sama ada galakan disediakan untuk menarik minat golongan M40 yang berkemampuan memiliki EV pada masa akan datang.

Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang diumumkan kerajaan pada 2020 menggariskan sasaran 10,000 pengecas EV menjelang 2025 iaitu 9,000 unit adalah pengecas AC (arus ulang-alik) dan 1,000 unit pengecas DC (arus terus).

Pada 2023, jumlah jualan tahunan BEV baharu dalam negara telah meningkat lebih 400 peratus iaitu sebanyak 13,257 unit berbanding jumlah jualan tahunan sebanyak 3,127 unit pada 2022.

Setakat 31 Dis 2023, sejumlah 2,020 unit pengecas telah dipasang di 750 lokasi di seluruh negara, iaitu 1,591 unit adalah jenis AC dan baki 429 unit, jenis DC.

Beliau berkata cadangan untuk mengkaji semula sasaran 10,000 unit pengecas EV juga telah dibangkitkan dalam Mesyuarat NEVSC Bil. 1/2024 selain MITI bersama agensi berkaitan, Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang mengkaji dan memperhalusi kewajaran meningkatkan sasaran pengecas DC.

“Hasil penemuan kajian tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat NEVSC yang akan diadakan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menyatukan bayaran perkhidmatan sistem pengecas EV dalam satu aplikasi, Liew berkata kerajaan memang berhasrat untuk mengadakan aplikasi dan menggabungkan semua aplikasi bagi pembayaran pengecas EV.

“Tetapi ia memerlukan kerjasama daripada pengendali pusat pengecasan (CPO) dan kerajaan dalam usaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak CPO bagi mewujudkan kebolehoperasian antara semua syarikat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian