MYAirline Sedang Pertimbang Semua Langkah Untuk Beroperasi Semula 

MYAIRLINE SEDANG PERTIMBANG SEMUA LANGKAH UNTUK BEROPERASI SEMULA 

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang bertindak menggantung operasinya berkuatkuasa hari ini, sedang “meninjau semua langkah untuk membolehkannya kembali beroperasi dan menyambung semula khidmat penerbangan.”

Sehubungan itu, dalam kenyataannya petang ini, MYAirline menjelaskan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan terkini.

“Kami dengan hormatnya meminta semua pihak berkepentingan untuk bersabar ketika kami terus meneliti semua pilihan yang ada.

“(Pada masa sama) kami juga sedia maklum terhadap rasa marah dan kekecewaan para pelanggan serta pihak terjejas dan MYAirline mengakui bertanggungjawab di atas kekalutan susulan notis serta-merta kami,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, barisan Lembaga Pengarah dan kesemua pasukannya juga “dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada semua penumpang, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pihak lapangan terbang Thailand, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Thailand serta semua pihak yang terjejas susulan perkembangan itu.

“Berikutan kekangan kewangan ketara yang dihadapi sekarang, kami juga tidak dapat menawarkan sebarang khidmat kepada penumpang yang terjejas di lapangan terbang.

“Pada kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih kepada (syarikat penerbangan) AirAsia, Batik Air dan Malaysian Airlines Group serta MAHB di atas bantuan kepada penumpang terjejas pada masa ini,” katanya.

Terdahulu pada pagi ini, MYAirline Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan mengenai tindakannya yang terpaksa mengambil “keputusan amat sukar” akibat tekanan kewangan yang ketara dan menggantung operasinya sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula syarikat penerbangan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Honda Malaysia Lancar Kenderaan Elektrik Berkuasa Bateri Pertama e:N1 Berharga RM149,900


KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Honda Malaysia melancarkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1 yang berharga RM149,900 seunit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Narushi Yazaki berkata pelancaran model itu mengukuhkan barisan kenderaan elektrik (EV) Honda dan menawarkan lebih banyak pilihan mobiliti kepada rakyat Malaysia selaras dengan strategi perniagaan syarikat bagi tahun 2025.

“Kami merancang untuk memperkenalkan dua lagi model EV dalam tempoh tiga tahun akan datang. Bagaimanapun dalam hal ini kami akan memantau dengan teliti permintaan pelanggan dan harga daripada pesaing, memandangkan pasaran sedang berkembang dengan pesat.

“Matlamat kami adalah untuk bertindak balas secara berhati-hati dan strategik,” katanya selepas pelancaran e:N1 di sini hari ini.

Dikuasakan oleh bateri litium-ion 68.8kWh, e:N1 berupaya menjana kuasa maksimum 150kW dan kuasa kilas 310Nm.

Ia menyokong pengecasan AC (pengecasan biasa) sehingga 10kW dan dilengkapi dengan pengecasan DC (pengecasan pantas) sehingga 78kW.

Warna yang tersedia untuk model itu ialah Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.

“Syarikat setakat ini telah menerima 200 tempahan dan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Jun. Kami juga telah melantik lapan pengedar sah yang pakar dalam menguruskan kereta EV,” kata Yazaki.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum berkata pihaknya berharap agar kerajaan akan terus melanjutkan lagi insentif, termasuk pengecualian cukai untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD) selepas 2027.

Beliau berkata cadangan itu juga bertujuan untuk menyokong sasaran negara bagi menjadikan EV menyumbang 15 peratus daripada jumlah jualan kenderaan di negara ini menjelang 2030.

“Jika program CKD bermula pada 2027, pengeluar akan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu untuk mendapatkan semula pelaburan mereka. Insentif adalah penting bukan sahaja untuk Honda, tetapi untuk seluruh industri automotif.

“Inilah pentingnya sokongan kerajaan kerana tanpa kesinambungan insentif, ia akan menjadi cabaran bagi Honda untuk memulakan program CKD,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah menawarkan insentif seperti pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD bagi membantu menjadikannya lebih mampu milik untuk pengguna.

EV yang diimport sepenuhnya (CBU), dikecualikan daripada cukai import dan cukai eksais sehingga 31 Disember, 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian itu sehingga 31 Disember, 2027.

— BERNAMA