Nestle Malaysia Akan Semak Semula Harga Produk Terpilih

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Nestle (Malaysia) Bhd akan menyelaraskan harga produk terpilihnya berikutan kenaikan harga koko global baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa syarikat itu berhasrat untuk mengekalkan kenaikan harga pada tahap minimum dan merancang untuk melaksanakan hanya pelarasan sederhana bagi produk tertentu. 

“Syarikat berhati-hati dengan kenaikan harga, yang boleh menjejaskan kuasa beli pelanggan.

“Bagaimanapun, disebabkan ketidaktentuan pasaran komoditi – sudah tentunya kami tidak akan melepaskan sepenuhnya kepada pengguna – mungkin akan ada beberapa kenaikan harga yang perlu kami laksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran peraduan Nestlé Salary For Life 2024, di sini, hari ini.

Menurut laporan berita, harga niaga hadapan koko meningkat hampir enam peratus pada minggu lepas.

Aranols berkata Nestle menjangkakan sentimen pengguna menurun tahun ini disebabkan faktor seperti inflasi makanan, didorong oleh harga komoditi antarabangsa.

“Bagaimanapun, kami kekal positif dan komited untuk menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi yang lebih menyerlah berbanding pesaing,” katanya.

Terdahulu, Nestle Malaysia melancarkan peraduan ‘Salary For Life’ yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM4 juta.

Peraduan itu yang berlangsung dari 1 Mei hingga 30 Jun ini, menawarkan hadiah utama sebanyak RM3,500 sebulan bagi dua rakyat Malaysia yang bertuah. 

Selain itu, Nestle akan memberi sumbangan kepada 17 pertubuhan kebajikan yang berkaitan dengan finalis peraduan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA