Malaysia Perlu Sasaran Hasil Yang Tepat – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Bank Dunia menyarankan objektif hasil yang tepat adalah perlu dalam menangani kutipan cukai Malaysia yang sepanjang tahun semakin berkurangan.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata kutipan cukai Malaysia telah menurun sejak beberapa tahun, mendorong kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai langkah bagi meningkatkan hasil, termasuk Cukai Makmur sekali sahaja dan perubahan dalam kadar cukai pendapatan peribadi untuk kumpulan pendapatan yang lebih tinggi. 

Bagaimanapun, kekurangan objektif hasil tahunan telah memberi kesan kepada cukai yang dikutip.

“Kutipan cukai Malaysia dahulunya ialah 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walaupun sasaran ini sepatutnya lebih tinggi, mungkin sekitar 20 peratus, iaitu purata kutipan ekonomi yang dibanding, saya percaya ia (15 peratus) akan menjadi penanda aras yang baik untuk menyasarkan kembali kepada apa yang Malaysia pernah kumpulkan,” katanya.

Apurva berkata demikian semasa taklimat media sempena dengan pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia bertemakan “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills”.

Beliau menyatakan jumlah hasil kerajaan dijangka menurun kepada 15.6 peratus daripada KDNK tahun ini daripada 17.3 peratus yang dicatatkan tahun lepas.

“Hasil kerajaan Persekutuan dijangka menurun disebabkan pendapatan pelaburan berkaitan petroleum yang lebih rendah,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa perbelanjaan negara untuk subsidi berada pada tahap yang tinggi, kerana perbelanjaan subsidi untuk 2023 berjumlah 3.9 peratus daripada KDNK, manakala pada 2022, subsidi bahan api menyumbang 2.9 peratus daripada KDNK.

“Jika subsidi dikurangkan separuh, ia hanya mewakili 0.8 peratus daripada KDNK.

“Walaupun setiap pecahan KDNK adalah angka yang positif, ini menekankan betapa kritikalnya untuk melaksanakan strategi yang betul. Mengurangkan subsidi tidak akan mencukupi,” kata Apurva.

Bagi 2024, kerajaan mengunjurkan bahawa perbelanjaan subsidi akan menurun, dan bahagian perbelanjaan tegar akan terus meningkat.

“Perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial dijangka menurun kepada 2.7 peratus daripada KDNK pada 2024 daripada 3.9 peratus pada 2023, terutamanya daripada subsidi bahan api yang lebih rendah,” katanya.

Beliau menyatakan perbelanjaan tegar, termasuk pembayaran berkaitan emolumen, pencen dan caj khidmat hutang, dijangka meningkat tahun ini dengan jumlah perbelanjaan kerajaan diunjurkan naik kepada 58.6 peratus daripada jumlah perbelanjaan mengurus pada 2024 (2023: 55.3 peratus).

Apurva turut menekankan bahawa nisbah khidmat hutang diunjurkan meningkat kepada 16.2 peratus daripada hasil kerajaan pada 2024 (2023: 14.7 peratus), lebih tinggi daripada had pentadbiran iaitu 15.0 peratus yang diamalkan oleh kerajaan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA