Pesta K-FOOD 2022 Kembali Untuk ‘Mengenyangkan’ Pencinta Makanan Di Malaysia

  • Acara Dalam Talian Shopee Istimewa dari 13 hingga 30 Oktober 2022.
  • Pengunjung boleh menikmati pelbagai masakan Korea dari 21 hingga 24 Oktober 2022 dengan penampilan tetamu khas oleh Penyanyi dan Pelakon, Sarah Suhairi, persembahan masakan oleh Chef Selebriti, Jia Le Woh, dan persembahan tarian K-Pop oleh pasukan Kueendom dan Kingsman.
  • Peluang padanan perniagaan dengan 40 syarikat Korea dari 26 hingga 27 Oktober 2022 untuk semua pengusaha perniagaan, pembekal, pengimport, pengedar dan orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan berasaskan produk Korea di Malaysia.

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2022 – Pesta K-FOOD 2022 yang dinanti-nantikan sekali, anjuran Perbadanan Agro-Perikanan & Perdagangan Makanan Korea dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan, kini kembali ke Malaysia dengan pelbagai aktiviti untuk pengguna (B2C) dan juga perniagaan (B2B).

Pesta K-FOOD 2022 untuk B2C akan bermula dalam talian dari 13 hingga 30 Oktober di mana pelanggan boleh menikmati tawaran daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian di Shopee. Kerjasama di Shopee ini bertindak sebagai sambutan awal pesta ini. Sementara itu, para pengunjung yang hadir dan menyertai aktiviti semasa acara B2C akan berpeluang menerima baucar beli-belah untuk lebih penjimatan.*Tertakluk terma dan syarat

Apa yang pengunjung boleh nikmati ketika Pesta K-FOOD 2022 

Pengunjung boleh mula menghadiri Pesta K-FOOD yang sebenar dari 21 hingga 24 Oktober, dengan majlis perasmian yang akan berlangsung pada 21 Oktober.

Pesta makanan akan bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan ia akan diadakan di Blue Concourse, Sunway Pyramid Mall, Subang Jaya. Antara aktiviti menarik yang menanti para pengunjung di pesta ini termasuk:

  • Sesi Demo Masakan Korea oleh Chef Selebriti, Jia Le Woh
  • Peluang merasai makanan semasa Sesi ‘Open Kitchen’
  • Zon kebudayaan istimewa seperti permainan tradisional Korea dan pakaian Hanbok
  • Persembahan tarian ala K-Pop oleh Kueendom dan Kingsman
  • Persembahan Taekwondo oleh Kumpulan Arena dengan sentuhan Korea
  • Persembahan oleh Sarah Suhairi, yang pernah bekerjasama dengan Blimey, seorang Youtuber Korea
  • Pertandingan ‘K-Pop Cover Dance’ serta ‘K-Pop Random Play Dance’ 
  • Sesi bermain permainan bersama influencer terkemuka (Nura, Hilmi, dan Alisya)

Akitiviti apa sahaja yang menanti semua pengusaha perniagaan, pembekal, pengimport, pengedar dan orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan berasaskan produk Korea di Pesta K-FOOD 2022 ini?

Pembeli, peruncit, pengimport atau PKS yang berminat dijemput hadir ke pusingan kedua Pesta K-FOOD 2022 yang berlangsung pada 26 hingga 27 Oktober 2022 (majlis perasmian akan diadakan pada 26 Oktober) di Dewan Besar Tamingsari, Royale Chulan, Kuala Lumpur; dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Semasa acara B2B ini, terdapat kira-kira 40 syarikat Korea yang menanti untuk memulakan perkongsian perniagaan dengan semua pengusaha perniagaan, pembekal, pengimport, dan pengedar di Malaysia serta orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan berasaskan produk Korea yang berpotensi. Antara aktiviti yang disediakan untuk hadirin termasuklah:

  • Webinar/siaran langsung mengenai Proses Pensijilan Halal Malaysia
  • Webinar/siaran langsung mengenai Trend Pasaran Makanan Malaysia
  • Sesi Soal Jawab untuk setiap webinar/siaran langsung
  • Jamuan tengah hari khas untuk para hadirin
  • Persidangan dan Perundingan Pemadanan Perniagaan

Untuk maklumat lanjut tentang Pesta K-FOOD 2022 ini, sila layari www.mykfoodfair.com.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.