Kadar Inflasi September 2022 Pada 4.5 Peratus, Lebih Rendah Berbanding Ogos

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Kadar inflasi Malaysia pada September 2022 mencatatkan 4.5 peratus, lebih rendah berbanding 4.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perbandingan bulan ke bulan turut menunjukkan inflasi September 2022 terus menyederhana kepada 0.1 peratus berbanding 0.2 peratus pada Ogos 2022 manakala bagi tempoh Jan-Sept 2022 merekodkan kadar inflasi pada 3.3 peratus.

“Malaysia mencatatkan kadar inflasi lebih rendah bagi September 2022 berbanding dengan beberapa negara seperti Zon Euro (10.0 peratus), Amerika Syarikat (8.2 peratus), Filipina (6.9 peratus), Thailand (6.4 peratus), Indonesia (6.0 peratus) dan Korea Selatan (5.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata angka inflasi pada September 2022 itu disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8 peratus berbanding 7.2 peratus pada Ogos 2022.

Kenaikan yang perlahan itu didorong oleh komponen makanan di rumah yang naik secara sederhana pada 5.7 peratus berbanding 6.4 peratus pada Ogos.

“Subkumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatat peningkatan lebih perlahan kepada 6.6 peratus pada September 2022 berbanding 9.9 peratus pada Ogos 2022.

“Ini terutamanya disebabkan oleh ayam, komponen terbesar dalam subkumpulan ini pada 46.1 peratus telah menyaksikan penyederhanaan kenaikan harga yang signifikan iaitu 3.7 peratus berbanding 10.7 peratus pada Ogos 2022,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kumpulan susu, keju dan telur merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8 peratus pada September 2022, namun ini lebih perlahan berbanding kenaikan 9.4 peratus pada Ogos.

Telur ayam menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan susu dan keju serta telur telah menyederhana kepada 9.0 peratus berbanding 12.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Subkumpulan sayur-sayuran juga menyederhana dalam September 2022 pada 6.3 peratus berbanding 8.9 peratus pada Ogos.

Mustapa berkata, sayur-sayuran dan beberapa jenis ikan yang merekodkan penurunan harga bulan ke bulan adalah tomato (9.9 peratus), timun (7.8 peratus), kacang buncis (4.2 peratus), ikan selayang (3.4 peratus) dan ikan selar kuning (1.2 peartus).

Selain itu, harga maksimum minyak masak tulen kemasan botol pelbagai saiz juga merekodkan penurunan berkuatkuasa 8 Sept-7 Okt, 2022 dengan kandungan lima kilogram mencatat pengurangan terbesar kepada RM33.50 daripada RM34.70.

“Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenaikan kecil sebanyak 4.8 peratus bagi item minyak sebatian berbanding 6.6 peratus pada Ogos 2022,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pelaksanaan harga maksimum minyak sawit botol dan penetapan paras harga siling ayam oleh kerajaan terbukti memberi impak positif dan melegakan kalangan pengguna terutama golongan peniaga daripada menampung kos bahan mentah tinggi, sekali gus dapat mengurangkan bebanan mereka.

“Walaupun Parlimen telah dibubarkan pada 10 Okt, 2022, langkah-langkah untuk mengekang kenaikan harga terus dilaksanakan demi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan,” katanya.

Antara langkah dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah penetapan harga siling ayam standard di peringkat runcit yang dikekalkan pada RM9.40 sekilogram manakala telur ayam gred A, B dan C masing-masing pada harga siling 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji.

Kerajaan turut melaksanakan langkah pemberian subsidi sebanyak 80 sen sekilogram kepada penternak ayam yang diteruskan sehingga Disember 2022, menambah pemberian subsidi kepada 8 sen daripada 3 sen bagi sebiji telur kepada pengeluar telur ayam sehingga Disember 2022 dan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas aktiviti kartel terutama bagi ayam dan telur ayam.

Mustapa berkata, kerajaan juga sedar mengenai pelbagai aduan di media massa, terutama isu kekurangan telur ayam gred A, B dan C bersubsidi di pasaran dan pihak MAFI dan KPDNHEP sentiasa memantaunya dan hasilnya akan dibentangkan pada Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada 25 Okt, 2022. 

“Ini selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan kadar inflasi negara terus terkawal, terutama kenaikan harga barangan makanan termasuk makanan di luar rumah dengan meningkatkan kawalan aktiviti pencatutan,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kadar-inflasi-september-2022-pada-4-5-peratus-lebih-rendah-berbanding-ogos/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.