Apa Itu Airbnb? Juga Ada Fakta Menarik Airbnb

Bagi seorang pelabur hartanah, selain daripada menyewakan rumah atau kediaman secara tradisional kepada penyewa dengan bayaran bulanan; anda boleh juga gunakan platform AirBNB untuk mencari penyewa. Tapi tak ramai yang tahu tentang kewujudannya, jadi jom kita ambil tahu.

Airbnb biasanya digunakan sebagai platform untuk meletak iklan rumah, apartmen atau bilik untuk disewakan. Kalau di Malaysia selama ini portal online yang popular adalah mudah.my, iBilik dan sebagainya. Kalau di Airbnb, setiap tuan rumah (host) yang meletakkan iklan penginapan mereka akan melalui beberapa proses verification atau pengesahan yang agak ketat.

Apa Itu Airbnb?

Merujuk kepada laman web Airbnb, ia merupakan satu platform untuk memudahkan orang ramai mencari tempat tinggal di serata dunia. Mesti anda biasa tempah bilik hotel secara atas talian kan? Tapi apabila sebut tentang hotel, kita sering mengaitkannya dengan kos yang tinggi dan terhad kepada kumpulan yang kecil.

Dengan adanya Airbnb ini, anda boleh cari tempat penginapan yang sesuai dengan bajet dan bilangan tetamu. Nak bawa anak-beranak seramai 6 orang, carilah rumah teres ke, atau nak bawa keluarga extended pergi jalan-jalan, cari pula rumah yang lebih besar atau keseluruhan apartmen.

Yang penting, takdelah semahal mana pun, lagi jimat adalah…

Fakta Menarik Airbnb

Airbnb ditubuhkan pada tahun 2008 di Amerika Syarikat. Yang bestnya, mereka tidak memiliki sebarang hartanah, sebaliknya menghubungkan pemilik hartanah dan orang ramai yang mencari tempat penginapan; dan mengenakan caj bagi setiap tempahan sebanyak 3%.

Tahukah anda bahawa pada mana-mana malam, ada lebih kurang 2 juta orang yang menginap menggunakan Airbnb di 65,000 bandar di seluruh dunia? Dan kini ada lebih daripada 4 juta pilihan rumah di 191 buah negara? Ianya lebih besar daripada gabungan lima buah rangkaian hotel terkemuka dunia.

Pada tahun 2017, mereka telah menjana pendapatan sebanyak $2.6 bilion US Dolar dan untung bersih sebanyak $93 juta US Dolar.

Kenapa Airbnb Diyakini Ramai?

Satu ciri yang amat ditekankan oleh Airbnb adalah Kepercayaan. Ianya bertungjangkan di atas beberapa perkara berikut:

1. Penilaian Risiko

Setiap tempahan Airbnb dinilai risikonya sebelum disahkan. Kami menggunakan analitik ramalan dan pembelajaran mesin untuk menilai dengan segera beratus-ratus isyarat yang membantu kami menanda dan menyiasat aktiviti yang mencurigakan sebelum ia berlaku.

2. Senarai Pantau & Pemeriksaan Latar Belakang

Walaupun tiada sistem saringan yang sempurna, pada peringkat global kami menyaring hos dan tetamu berdasarkan senarai pantau pengawalseliaan, pengganas, dan sekatan.

3. Kesiapsiagaan

Kami menjalankan bengkel keselamatan secara rutin dengan hos dan pakar tempatan terkemuka dan memberikan hos kad keselamatan dalam talian dengan maklumat tempatan penting untuk tetamu mereka. Hos juga boleh memohon pengesan asap dan karbon monoksida percuma untuk penginapan mereka.

4. Bayaran Selamat

Platform keselamatan kami memastikan wang anda sampai kepada hos—sebab itulah kami meminta anda untuk sentiasa membuat bayaran melalui Airbnb dan jangan sekali-kali menghantar wang melalui kawat atau membayar kepada sesiapa secara langsung.

5. Perlindungan Akaun

Kami mengambil beberapa langkah untuk menjaga akaun Airbnb anda, seperti memerlukan pengesahan berbilang faktor apabila berlaku percubaan untuk log masuk daripada telefon atau komputer baharu dan menghantar pemberitahuan akaun kepada anda apabila perubahan dibuat.

6. Pencegahan Penipuan

Sentiasa bayar dan berkomunikasi terus melalui laman web atau aplikasi Airbnb. Asalkan anda terus berada di laman web atau aplikasi Airbnb sepanjang proses—dari komunikasi, hingga ke tempahan, hingga ke bayaran—anda dilindungi oleh strategi berbilang lapisan kami.

Airbnb Di Malaysia

Malaysia mempunyai laman web sendiri di mana anda boleh masukkan maklumat seperti tarikh nak daftar masuk, tarikh daftar keluar, berapa orang dewasa dan berapa kanak-kanak. Selepas itu, tekan butang ‘Search’ dan keluarlah semua tempat-tempat yang berkenaan. Lepas tu boleh filter pula mengikut bajet yang bersesuaian.

Atau kalau tak tau nak duduk dekat mana, tengok je rumah-rumah yang popular. Ada yang serendah RM129 saja semalam, dan yang pasti semuanya mempunyai rating yang tinggi. Jadi boleh rancang percutian akan datang untuk keluarga dan tempahlah dengan yakin.

Fakta Menarik Airbnb Di Malaysia

Jom kita lihat pula beberapa fakta menarik mengenai Airbnb di Malaysia:

  • Penyenaraian pertama pada April 2010
  • Kuala Lumpur mempunyai paling banyak penyenaraian tempat penginapan, diikuti dengan Pulau Pinang, Melaka, Petaling Jaya dan Johor Bahru
  • Hos di Malaysia memperolehi pendapatan $48.1 juta US Dolar pada tahun 2017, melebihi dua kali ganda daripada $23.3 juta yang diperolehi pada tahun 2016
  • Pengguna Airbnb di Malaysia paling ramai daripada Asia Pasifik, diikuti dengan Singapura, Indonesia, benua Eropah, Thailand, China dan Australia
  • Tempat unik kegemaran Airbnb termasuklah rumah tradisi Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur, Jonker Street di Melaka dan Yong Yi Yuen, rumah berusia 100 tahun zaman selebum perang di tengah-tengah George Town, Pulau Pinang.
  • 81% penyenaraian adalah untuk seluruh rumah, bakinya untuk penyewaan bilik
  • Seorang hos memperolehi pendapatan $1,200 US Dolar setahun pada tahun 2017, berkurangan daripada $1,400 US Dolar setahun pada tahun 2016

Sumber Rujukan: Airbnb, The Edge dan Hartabumi

Bagus Ke Tak Bagus Untuk Pelaburan?

Kalau diikutkan bagus, kerana semakin ramai menggunakan Airbnb untuk menempah tempat tinggal mereka. Kita dapat lihat bagaimana pada tahun lepas, lebih RM200 juta diperolehi hos Airbnb di Malaysia.

Tapi bilangan penyenaraian turut meningkat seiring dengan bilangan pengguna. Ini menyebabkan purata yang diperolehi menurun, kerana persaingan lebih hebat yang berlaku. Bila dah ramai hos, kena berebut untuk mendapatkan pelanggan pula.

Sebab itu, anda perlu buat tempat tinggal anda unik dan lain daripada yang lain. Barulah ramai yang akan pilih rumah anda, sekaligus menjadikan anda seorang Super Host.

Untuk perkongsian akan datang, kita akan tengok pula Fakta Menarik Mengenai Airbnb Di Kuala Lumpur (KL). Kalau nak tahu, ada yang dapat menjana pendapatan sehingga RM25,000 sebulan dengan Airbnb ini. Dan jangan ingat rumah yang berharga RM4,000 satu malam, takde orang sewa tau.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.