AHAM Capital Agih Pendapatan RM1.39 Bilion Merangkumi 84 Dana Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM1.39 bilion bagi tahun kewangan 2025 merangkumi 84 dana borong dan runcit.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata agihan pendapatan yang diisytiharkan merangkumi pelbagai strategi dan kelas aset termasuk ekuiti, bon dan dana aset bercampur.

Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Pendapatan Tetap Esther Teo berkata dana utama AHAM Capital iaitu dana Select dan World Series memberikan pulangan antara 4.0 hingga 8.0 peratus.

“Ini mencerminkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin merangkumi pelbagai strategi yang pihak kami uruskan.

“Kami percaya pendapatan akan terus memainkan peranan penting dalam daya tahan portfolio dengan menyediakan kestabilan dan potensi pengkompaunan terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan yang tinggi,” tambahnya.

Memandang ke hadapan iaitu ke 2026, beliau berkata syarikat tetap optimis mengenai prospek pendapatan tetap.

Beliau berkata di bawah senario kes asas syarikat, inflasi dijangka kekal terkawal manakala jangkaan untuk penurunan kadar faedah Amerika Syarikat kekal tidak berubah.

“Pasaran pendapatan tetap dijangka kekal stabil secara umum walaupun kadar penurunan faedah global mungkin akan menjadi lebih perlahan berbanding dengan tahap yang dilihat pada 2025,” katanya.

Sehingga 31 Dis, 2025, jumlah aset di bawah pentadbiran (AUA) AHAM Capital mencapai RM101.5 bilion, melepasi paras RM100 bilion buat pertama kali sejak operasi syarikat itu bermula pada 2001.

Jumlah AUA merangkumi aset di bawah pengurusan, perundingan pelaburan dan aset di bawah pengedaran.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.