RHB Dan Tender Pintar Berganding Bahu Memperkasa PKS, Memacu Pendigitalan Perolehan

Kuala Lumpur – RHB Banking Group (“RHB” atau “RHB Bank”), menerusi Bahagian Perbankan Transaksi Kumpulan, telah memeterai kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian perisian e-perolehan, Tender Pintar Sdn Bhd, anak syarikat Censof Holdings Berhad, bagi memperkukuh akses pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam projek perolehan kerajaan dan perniagaan.

Tender Pintar mengendalikan Tenderwizard, sebuah platform e-Tender berasaskan web yang telah berkhidmat kepada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak 2012, dengan menawarkan penyelesaian e-Tendering, e-Lelongan dan e-Balloting bagi perolehan barangan, perkhidmatan, kerja serta projek perundingan.

Di bawah kerjasama ini, Tender Pintar akan berperanan sebagai platform pendayaan digital yang menghubungkan PKS yang terlibat dalam tender kerajaan dengan penyelesaian pra-pembiayaan dan insurans RHB, serta menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan tempoh sehingga 10 tahun. Melalui pilihan tersuai termasuk Multi Trade Line, Overdraf, Pinjaman Berjangka dan Jaminan Bank, kerjasama ini menyokong akses PKS kepada modal kerja, pembiayaan invois, kemudahan kredit dan jaminan pembayaran, sekali gus membolehkan vendor mengurus aliran tunai dengan lebih berkesan serta melaksanakan projek kerajaan dengan lebih yakin.

Platform Tender Pintar kini menghubungkan 26 pelanggan yang terdiri daripada agensi kerajaan dan GLC dengan lebih 40,000 vendor PKS, dan dijangka berkembang kepada lebih 200 pelanggan di seluruh negara, termasuk entiti korporat besar. Rangkaian perolehan yang berkembang pesat ini menawarkan peluang besar kepada RHB untuk memberi perkhidmatan kepada pangkalan PKS berkaitan kerajaan yang luas, di samping meningkatkan volum transaksi serta menyokong transformasi digital dan pematuhan peraturan.

“Sejajar dengan strategi korporat PROGRESS27, kami sentiasa berusaha untuk menyediakan pengalaman dan perjalanan digital yang dipertingkatkan kepada pelanggan sasaran kami, termasuk PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi digital Malaysia. Kami yakin kerjasama dengan Tender Pintar ini akan memudahkan pembayaran yang lebih pantas dan selamat, serta menawarkan produk nilai tambah yang direka khusus untuk memenuhi keperluan PKS yang terlibat dalam projek kerajaan,” kata Nurjesmi Mohd Nashir, Pengarah Urusan, Perbankan Borong Kumpulan, RHB Banking Group.

“Kerjasama strategik dengan RHB ini membolehkan Tender Pintar menyampaikan nilai yang lebih besar kepada lebih 40,000 PKS di platform kami dengan memberikan akses yang lebih mudah kepada penyelesaian pembiayaan strategik, yang merupakan faktor kritikal hari ini bagi memastikan penghantaran projek yang tepat pada masanya dan berjaya. Kami yakin kerjasama ini akan terus meningkatkan daya saing dan ketahanan ekosistem PKS, di samping menyumbang secara bermakna kepada agenda pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi inklusif negara,” kata En. Ameer Shaik Mydin, Pengarah Urusan Kumpulan, Censof Holdings Berhad.

Kerjasama ini selari dengan komitmen RHB sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, di samping mengukuhkan misi Tender Pintar untuk memodenkan landskap e-perolehan Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.tenderpintar.com/financial.

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA