9 Syarikat Paling Kaya Di Malaysia

Pasti anda tahu bahawa di Malaysia, terdapat banyak syarikat yang sangat kaya dan terkenal. Tetapi, bagaimanakah kekayaan syarikat tersebut dilihat dan diukur? Bagaimana kita boleh tahu syarikat tersebut kaya dan paling banyak aset?

Kekayaan syarikat biasanya diukur mengikut laporan jualan, keuntungan, nilai pasaran dan aset setiap tahun.

Setiap tahun, majalah Forbes akan mengeluarkan hampir 1,000 senarai syarikat yang terkaya yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh pemilik syarikat serta para pelabur saham. Untuk pengetahuan anda, syarikat di negara kita juga sering tersenarai dalam majalah Forbes setiap tahun. Syarikat ini kebiasaanya adalah syarikat paling kaya di Malaysia. 

Jom lihat antara sembilan syarikat paling kaya di Malaysia yang ramai tak tahu.

1. Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Tenaga Nasional Berhad merupakan sebuah syarikat yang menyediakan utiliti elektrik terbesar di Malaysia sejak tahun 1949 dan terkemuka di Asia Tenggara. Dalam senarai Forbes, TNB berada pada kedudukan 540 dalam syarikat terbesar di dunia. Nilai pasaran semasa syarikat TNB ini adalah sekitar USD 16.2 bilion. Pasti ramai yang tahu TNB adalah salah sebuah syarikat terbaik di Malaysia.

2. CIMB Group Holding

Gambar: Firdaus Latif/Yahoo News

CIMB Group Holding merupakan sebuah bank yang ditubuhkan melalui penggabungan beberapa bank dan telah mengembangkan sayapnya ke luar negara. Sebenarnya, CIMB Holding mempunyai anak syarikat seperti Bank CIMB Niaga di Indonesia dan CIMB Thai Bank di Thailand. 

Selain itu, CIMB juga merupakan salah satu broker terbaik di Asia Tenggara dan salah satu penerbit bon Islam terkemuka di dunia pada masa kini.

Dalam senarai Forbes, CIMB Group Holding berada di kedudukan 689 dalam syarikat terbesar dunia dan antara syarikat paling kaya di Malaysia pada masa kini. Nilai pasaran semasa CIMB Group Holding adalah sekitar RM 32.61 bilion.

3. RHB Bank

Gambar: Debtdash

RHB Bank merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 dengan nama DBC Bank Berhad. Selepas itu, nama DBC Bank Berhad telah bertukar kepada RHB Bank pada tahun 1997 di Kuala Lumpur sehinggalah ke hari ini. Untuk makluman anda, RHB Bank menyediakan perkhidmatan kewangan dari segi perbankan runcit, perbankan transaksi dan perbankan patuh Syariah.

Kini, RHB Bank dianggarkan mempunyai 250 buah cawangan meliputi sembilan buah negara di rantau Asia Tenggara. Dalam senarai Forbes pula, RHB Bank berada di kedudukan 1,295 dalam ranking syarikat terbesar dunia. Nilai pasaran semasa RHB Bank pula dianggarkan sekitar USD 4.4 bilion.

4. Public Bank

Teh Hong Piow telah menubuhkan Public Bank pada tahun 1966 yang merupakan antara salah satu daripada dua bank yang dimiliki oleh orang Cina di Malaysia. Public Bank terlibat dalam sektor perbankan runcit dalam dan juga luar negara. Selain itu, ianya juga peneraju dalam hartanah, pinjaman kenderaan dan juga terlibat dalam pengurusan unit amanah.

Bank yang sangat kukuh ini dianggarkan mempunyai lebih 100 cawangan di luar negara seperti di Hong Kong, Kemboja, Vietnam dan Laos. Dalam senarai Forbes, Public Bank berada pada kedudukan 664 dalam ranking syarikat terbesar dunia dan telah menjadi antara syarikat paling kaya di Malaysia. Nilai pasaran semasa Public Bank dianggarkan sekitar USD 14.8 bilion yang telah meletakkannya sebagai bank kedua terbesar di Malaysia.

5. Maybank

Malayan Banking Berhad atau lebih dikenali sebagai Maybank merupakan antara syarikat paling kaya di Malaysia. Sebagai sebuah syarikat yang berkaitan dengan kewangan, Maybank menawarkan perkhidmatan perbankan komersial, korporat dan juga swasta. Maybank juga telah mengembangkan sayapnya ke luar negara dan mempunyai lebih 20 cawangan di Singapura dan Filipina.

Selain itu, Maybank juga mempunyai cawangan di New York, London dan juga China. Dalam senarai yang dikeluarkan Forbes, Maybank berada di kedudukan ke-349 dalam ranking syarikat terbesar dunia dan mempunyai nilai pasaran berjumlah USD 19.8 billion.

6. Sime Darby

Sime Darby telah ditubuhkan pada tahun 2007 yang merupakan sebuah syarikat pemegangan pelaburan. Ianya juga terlibat dalam perniagaan perladangan, peralatan industri, motor, hartanah dan juga utiliti. Sime Darby berada di kedudukan ke-791 dalam syarikat paling kaya di dunia dan top 5 syarikat paling kaya di Malaysia.

7. Genting

Gambar: Genting Malaysia

Genting merupakan syarikat pegangan dan pengurusan pelaburan yang terlibat dalam pelbagai industri di negara kita dan merupakan antara syarikat paling kaya di Malaysia. Selain itu, Genting sangat berpengalaman dalam pembangunan, operasi dan pemasaran kasino dan resort di seantero pelusuk dunia  termasuklah Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebagainya.

8. Petronas Chemicals Group Berhad

Petronas Chemical Group Berhad merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang mengeluarkan, memasarkan dan menjual petrokimia. Petronas Chemicals Group Berhad mempunyai aset RM30.66 billion yang meletakkannya sebaris dengan top 10 syarikat paling kaya di Malaysia. Ia juga menduduki tangga yang ke 1,319 dalam syarikat paling kaya menurut Majalah Forbes.

9. Axiata Group

Gambar: The Malaysian Reserve

Axiata Group merupakan sebuah syarikat terbesar dalam industri peralatan komunikasi yang ditubuhkan pada tahun 1992 dan ia merupakan anak syarikat Khazanah Nasional. Syarikat hebat ini telah disenaraikan sebagai syarikat awam ke-1,510 terbesar di dunia pada tahun 2017. Sudah pasti ia merupakan antara syarikat yang paling kaya di Malaysia.

Kesimpulannya, sembilan syarikat paling kaya di Malaysia di atas telah mengharumkan nama Malaysia di serata dunia dalam pelbagai aspek. Jadi, siapa kata orang negara kita tidak hebat dalam menguruskan syarikat? 

Rujukan

  1. https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat

Previous ArticleNext Article

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.