HLIB Naikkan Unjuran Harga MSM 2024 Kepada RM4,000 Satu Tan

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) — Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) 2024 sebanyak RM200 kepada RM4,000 satu tan, susulan jangkaan pengeluaran MSM lebih rendah, yang mungkin dicatatkan pada akhir separuh pertama atau awal separuh kedua tahun depan.

Menurut HLIB penurunan harga MSM semasa mungkin bersifat sementara, dan dijangka pulih mulai 2024, memandangkan stok minyak sawit semasa yang tinggi di negara pengeluar utama seperti Malaysia dan Indonesia dijangkakan memuncak dalam tempoh terdekat berikutan pengeluaran sawi mencecah paras tertinggi.

“Spread minyak sawit-minyak gas (POGO) yang menggalakkan, jika berlanjutan, akan merangsang permintaan manakala kesan El Nino yang perlahan ke atas pengeluaran sawit juga dijangka bermula pada separuh kedua 2024 dan seterusnya,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Bank pelaburan itu memaklumkan bahawa harga MSM mencatatkan aliran menurun baru-baru ini, dengan harga purata setakat ini bagi 2023 adalah RM3,866 satu tan ekoran beberapa faktor kelemahan.

Itu termasuk corak tanaman sawit yang lebih tinggi secara bermusim, paras stok minyak sayuran yang tinggi dalam kalangan negara pengguna minyak sayuran utama serta sentimen permintaan lemah terhadap minyak sayuran termasuk minyak sawit, katanya.

Susulan itu, HLIB telah melaraskan unjuran harga MSM 2023 lebih rendah iaitu turun RM150 kepada RM3,850 satu tan, namun mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor perladangan dan unjuran keuntungan, harga sasaran (TP) dan penarafan buat masa ini.

“Kami hanya akan melaraskan unjuran keuntungan, TP dan penarafan bagi syarikat berasingan untuk mencerminkan unjuran harga MSM baharu dan pengeluaran tandan buah segar (FFB) kami bagi musim pelaporan prestasi kewangan akan datang bermula November 2023,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840