Misi Promosi Sawit Malaysia Berjaya, China Tambah Import Tahun Depan – TPM Fadillah

BEIJING, 19 Nov (Bernama) – Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke China selama seminggu bermula 12 November lepas, membuahkan hasil memberangsangkan apabila negara itu memberi komitmen untuk menjalin kerjasama lebih erat, terutama berkaitan bidang pertanian dan komoditi minyak sawit.

Lebih bermakna lagi, lawatan beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ke Shanghai dan Beijing itu dimuktamadkan dengan komitmen negara Tembok Besar berkenaan untuk meningkatkan jumlah import sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan berbanding kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.

Rasionalnya, komitmen China ini penting kerana selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 bilion penduduk, Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.

Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa yang bernilai RM26.46 bilion – peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion.

“Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Walaupun kita mempunyai jadual yang padat tetapi ia amat bermakna dengan perbincangan produktif selain respons mereka yang sebegitu positif.

“Apa sahaja yang kita bincang dan kita kemukakan, mereka menyambutnya dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia,” kata Fadillah kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.

Lawatan sulung beliau juga bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Di Shanghai, beliau melancarkan plak Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM) yang menerima pengiktirafan akreditasi makmal daripada China iaitu China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).

Ini disusuli dengan pertemuan bersama 62 pemegang taruh China pada sesi Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi dengan topik perbincangan termasuk strategi meningkatkan kerjasama dengan China, khususnya aplikasi minyak sawit dalam rantaian nilai.

Fadillah turut menyaksikan penganugerahan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd, kilang penapisan pertama di luar Malaysia yang diperakui dengan MSPO.

Selain itu, beliau menghadiri mesyuarat dua hala bersama Naib Premier Ding Xuexiang dan Liu Guozhong selain Menteri Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua serta menghadiri masjlis makan malam dihoskan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian.

Beliau juga memanfaatkan kesempatan berada di sana dengan menyantuni kalangan diaspora dan penuntut Malaysia di Shanghai dan Beijing.

Tokotrienol Malaysia bakal tembusi pasaran meluas di China

Menyentuh produk sawit, Fadillah berkata kedua-dua kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan yang melibatkan tokotrienol sawit (vitamin e) Malaysia ke negara itu selain menggalakkan kerjasama institut-institut penyelidikan mengenai aplikasi teknologi terkini dalam industri komoditi. 

Malah, beliau berkata China juga mengalu-alukan MSPO Malaysia yang akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

Selain itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China akan berbincang dan dijadual memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi mewujudkan mekanisme dua hala pada tahun depan.

“Kita telah bersetuju untuk merangka MOU itu yang diharap dapat dimeterai dalam tempoh empat bulan bersempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara,” kata beliau.

Kekangan EUDR berlanjutan, KPK beralih ke pasaran lain 

Menjelaskan selanjutnya, Fadillah berkata sekatan daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menyebabkan Malaysia tidak dapat membuka ladang-ladang baharu mulai 2020.

Berikutan itu, Malaysia perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran minyak sawit daripada ladang sedia ada bagi memenuhi keperluan dalam negara, meningkatkan eksport selain memperluas pasaran minyak sawit ke negara lain seperti China. 

“Turkiye misalnya adalah antara negara yang menjadi tumpuan selain menyasarkan untuk meningkatkan pasaran ke India, Mesir, negara Arab lain serta di benua Afrika,” katanya.

Fadillah bagaimanapun menegaskan bagi manfaat jangka panjang, Malaysia tidak boleh hanya menumpukan kepada satu-satu segmen komoditi, sebaliknya turut membabitkan keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA