Malaysia Raih Pelaburan Bernilai RM63.02 Bilion Di Amerika Syarikat – PM Anwar

SAN FRANCISCO, 17 Nov (Bernama) — Malaysia telah meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion bagi cadangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) terutamanya daripada syarikat gergasi teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu, pelaburan sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), manakala pelaburan selebihnya adalah daripada mesyuarat satu dengan satu yang diadakan oleh Anwar di sini.

Pelaburan bagi misi perdagangan ini adalah daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

“(Pelaburan) selebihnya telah diraih daripada pertemuan berasingan dengan gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, TikTok dan TPG,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatannya ke AS hari ini.

Mengulas selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan pelaburan TikTok sebagai agak besar dan ini turut bergantung kepada tempoh pantas Malaysia dalam meluluskan kesemua pelaburan berkenaan.

“Dalam mempertimbang apa-apa juga ruang kelulusan dan insentif yang diperlukan, saya lebih menekankan soal pemindahan teknologi dan latihan. Ini supaya kita ada tahap keupayaan dalam bidang diterokai yang lebih canggih dan mencabar,” kata beliau.

Malaysia juga aktif dalam menarik kehadiran kalangan penggiat kenderaan elektrik (EV), termasuk syarikat terkemuka seperti Tesla.

“Ya, beliau (Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk) positif mengenai kehadiran Tesla di Malaysia,” katanya ketika ditanya mengenai panggilan video beliau bersama Musk.

Malah, Anwar turut menganggap  kehadiran Tesla di Malaysia sebagai satu petunjuk yang baik terhadap negara ini selain turut memberi manfaat dari segi pertambahan jumlah Stesen Pengecas Super bagi kenderaan EV.

Pendirian Malaysia mengenai kepentingan usaha menarik pelaburan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2023, khususnya berkaitan dengan aspek dasar pelaburan yang jelas dan konsisten.

“Pelaksanaan polisi dan strategi ini yang memainkan peranan dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

“Keperluan mewujudkan kemudahan pusat sehenti mengenai pelaburan adalah penting, namun agensi sehenti ini juga perlu lebih proaktif dalam memudah cara dan mempercepat proses sert prosedur pelaksanaan berkaitan pelaburan,” kata beliau.

Merujuk isu konflik AS dan China, Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan sentiasa mengamalkan pendirian berkecuali berikutan kedudukan kedua-dua negara berkenaan sebagai rakan dagang penting untuk negara ini.

“Saya telah menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara Asean secara umumnya tidak harus diheret dan terlibat dalam perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia.

Pada kunjungan itu, Perdana Menteri telah diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan anggota delegasi itu telah disambut oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke AS Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles Anil Fahriza Adnan.

“Saya gembira kerana kita berpeluang untuk menyatakan pandangan, kedudukan kita dan dapat terlibat menerusi perbincangan secara erat untuk mendapatkan pemahaman dan kerjasama,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyertai Majlis Pemimpin-Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Bagi Kemakmuran (IPEF) yang telah dihoskan oleh Presiden AS Joseph Biden pada 16 Nov, 2023.

Majlis tersebut sebagai mengiktiraf kejayaan menteri-menteri IPEF menandatangani Perjanjian Teras 2 (Rantaian Bekalan) pada 14 Nov, 2023.

Anwar berkata kalangan pemimpin negara anggota IPEF turut mengambil maklum bahawa rundingan Teras 3 (Ekonomi Lestari) dan Teras 4 (Ekonomi Saksama) telah dimuktamadkan secara substantif, manakala rundingan Teras 1 (Perdagangan) telah mencapai kemajuan yang baik.

“Secara keseluruhannya, Malaysia mengalu-alukan kemajuan tersebut dan akan terus bekerjasama dengan semua negara-negara IPEF bagi memuktamadkan rundingan Teras 1 untuk manfaat rantau IPEF secara kolektif,” kata Perdana Menteri.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.