SC Terima Sebanyak 2,873 Aduan Berkaitan Scam Setakat Suku Ketiga 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima kira-kira 2,873 aduan berkaitan scam (aktiviti penipuan) setakat suku ketiga 2023 berbanding 2,461 aduan yang diterima tahun lepas.

Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata peningkatan ketara dalam aduan berkenaan selepas penguatkuasaan dilakukan dengan memberi amaran kepada orang ramai supaya melaporkan tingkah laku yang mencurigakan mengenai penipuan.

“Ramai scammer (ahli sindiket penipuan) menggunakan platform media sosial seperti YouTube, WhatsApp, Facebook dan Instagram. SC sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras aktiviti penipuan.

“Ini termasuk memaklumkan orang ramai melalui Senarai Makluman Pelabur SC, menyekat tapak web dan menyekat geo halaman media sosial yang menyinggung perasaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran InvestSmart Fest 2023 di sini hari ini.

Terdahulu, Awang Adek dalam ucapannya berkata setakat akhir Oktober 2023, SC telah memulakan empat tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen termasuk 274 penyertaan baharu dalam Senarai Makluman serta menyekat 128 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram.

Beliau juga menggesa enjin carian dan platform media sosial untuk meningkatkan usaha mereka membantu mencegah scammer daripada menyebarkan mesej berbahaya.

SC telah memperkemas proses itu dan menempatkan semuanya bersama-sama dalam platform carian dalam talian – ‘SC Investment Checker’ (Penyemak Pelaburan SC), katanya.

“Kami menjangkakan ia akan disiarkan secara langsung pada penghujung tahun ini. Fungsi carian sehenti baharu di laman web rasmi SC ini akan membantu pelabur mengenal pasti kesahihan entiti yang menawarkan peluang pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata pihak berkuasa harus meningkatkan keselamatan sistem terhadap pihak penyedia perkhidmatan dan pengguna manakala bank pada umumnya telah mengambil langkah penting untuk melaksanakan ciri keselamatan yang lebih baik sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu bertindak pantas terhadap kes penipuan dan proses pengembalian pemulihan wang kepada mangsa.

Sehubungan itu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah diberi kuasa dengan peruntukan RM10 juta tahun ini dan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 untuk memastikan tindak balas pantas dilakukan terhadap laporan penipuan.

Setakat ini, NSRC telah berjaya bertindak dan membekukan urus niaga bernilai RM60 juta sekali gus mengelakkan kerugian kepada mangsa, kata Sim.

Menjelang pertengahan tahun depan, sistem pintar Bank Negara Malaysia iaitu Portal Fraud Kebangsaan (NFP) dengan kerjasama PayNet yang berperanan mengesan pergerakan dana dan mengenal pasti akaun keldai akan disiapkan.

“Saya yakin penyedia perkhidmatan perlu memikul sedikit liabiliti apabila melibatkan insiden penipuan dan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna atau pelabur.

“Ya, wujud masalah perlindungan terhadap risiko kewangan tetapi hujah ini berkesan kepada semua pihak. Jika penyedia perkhidmatan kewangan hanya boleh menolak liabiliti kepada pengguna, maka tidakkah ia akan mewujudkan risiko kewangan kepada mereka? Saya percaya risiko mesti diagihkan secara berkadar antara pihak yang terlibat dan bukan hanya dibebankan kepada satu pihak,” kata Sim dalam ucapannya pada acara berkenaan.

InvestSmart Fest 2023 yang berlangsung selama tiga hari bertemakan “10 Tahun Memperkasa Rakyat Malaysia’, memfokuskan kepada empat komponen utama; pemerkasaan pelabur, fintech, perancangan kewangan dan pencegahan penipuan pelaburan.

Acara tahun ini disertai lebih daripada 35 organisasi termasuk institusi pasaran kewangan, pengantara pasaran modal, persatuan industri, badan kawal selia dan agensi kerajaan.

— BERNAMA

TAG: SC, scam, Awang Adek Hussin, Steven Sim Chee Keong, NSRC

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI