KAPB Umum Kadar Dividen 8 Peratus Bagi Tahun 2022

Kuala Lumpur, 8 April 2023 – Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) hari ini mengisytiharkan pengagihan dividen sebanyak 8% bagi tahun kewangan berakhir 31  Disember 2022 kepada ahli anggota koperasi yang layak dan akan dikreditkan ke dalam modal syer anggota bermula April ini. Pengumuman tersebut dibuat sewaktu Mesyuarat  Agung Perwakilan Tahunan Ke-8 (2023) yang diadakan di sebuah majlis tertutup petang tadi. 

Prestasi kewangan tahun ke tahun KAPB secara keseluruhan juga menunjukkan  pertumbuhan lebih kukuh dan positif berbanding perolehan tahun lalu apabila berjaya merekodkan peningkatan keuntungan bersih yang melonjak kepada 25.4% berbanding tahun kewangan terdahulu yang didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan mampan tetapi berisiko rendah. 

Dalam tempoh lapan tahun bermula 2015 sehingga kini, KAPB berjaya mengekalkan prestasi  kadar dividen yang tinggi, kompetitif dan optimum berbanding nilai pulangan semasa yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pelaburan lain saban tahun. Nilai pulangan  pelaburan yang ditawarkan oleh KAPB juga merupakan antara yang tertinggi di Malaysia dengan kadar terendah sebanyak 8% dan tertinggi sebanyak 15%

Mengulas lanjut mengenai pengumuman kadar dividen tahun ini, YBhg Dato’ Ilyas Mohamed selaku Pengerusi  Eksekutif KAPB berkata, “Walaupun berdepan dengan  persekitaran ekonomi yang serba mencabar, KAPB terus mengekalkan rekod cemerlang dan berdaya saing dalam memberikan pulangan paling optimum yang mana 90%  daripada keuntungan yang dijana oleh KAPB bagi  tahun kewangan 2022 telah diagihkan semula dalam bentuk dividen kepada anggota koperasi sekaligus menjamin masa depan kewangan mereka. Bagi memastikan KAPB terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pelabur, kami telah memperhalusi strategi pelaburan kami berdasarkan pelan jangka panjang dengan wawasan jelas yang berpandangan jauh. Kami secara agresif melaksanakan kepelbagaian portfolio berisiko rendah secara berfasa dalam pasaran dan kelas aset yang berbeza bagi memastikan nilai pulangan yang positif.

Kami juga komited memperkasa golongan kontraktor, vendor, pengusaha kecil sederhana  (PKS) dan agensi kerajaan dalam melancarkan aliran tunai perniagaan mereka menerusi  segmen pemfaktoran atau pengurusan pembiayaan invois sekaligus membantu  perkembangan ekonomi secara mampan. Kemudahan pemfaktoran yang kami tawarkan ini memberi alternatif kewangan baharu yang lebih anjal bagi membantu melaksanakan projek  yang diterima. 

Bukan itu sahaja, KAPB turut memberikan pengawasan korporat yang kukuh dan  mempromosikan tadbir urus korporat yang baik untuk memacu pertumbuhan dan prestasi  syarikat-syarikat pelaburan kami. Kami juga mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti bagi  memastikan mandat yang diberi oleh pelabur digalas secara konsisten.” 

Sebagai rekod, KAPB mempunyai 12,000 ahli koperasi yang sah berdaftar setakat ini sejak  mula ditubuhkan pada tahun 2014. 

Antara kelebihan utama melabur dengan KAPB adalah dana yang terkumpul akan diuruskan  oleh pengurus dana professional yang berpengalaman dalam mengendalikan isu hal ehwal  pelaburan. Setiap pelaburan yang dibuat oleh KAPB juga patuh Syariah. 

Dengan dana pelaburan minimum serendah RM1,000 sahaja, setiap ahli berpeluang untuk  menikmati pelbagai pulangan menarik. Selain menawarkan agihan pulangan dividen sehingga 8% setahun, KAPB turut menawarkan khairat kematian sebanyak RM3000 buat setiap ahli. Lebih menarik lagi, KAPB juga turut menawarkan bantuan bencana alam dan lain-lain faedah. 

Antara portfolio korporat bagi dana pelaburan yang diuruskan oleh KAPB termasuklah Ar Rahnu, APHB (pelaburan), Hartanah AP Rakyat (hartanah), H Group Marine (gaya hidup  marin), Jetvalet (penerbangan), Awesome TV (penyiaran), MFI Group (perkhidmatan  kewangan dan otomotif), Quick Ride (e-hailing), CTG Capital (pembiayaan Automotif) dan  MFI Capital (tenaga boleh diperbaharui). 

Orang ramai yang berminat untuk menjadi ahli atau ingin mengajukan sebarang pertanyaan  berkenaan KAPB boleh menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman  rasmi www.kapb.com.my 

Terdapat tiga cara mudah untuk memohon sebagai ahli KABP iaitu permohonan secara  online laman web rasmi, permohonan melalui talian rasmi di 03-2711 0050/ 03-2711 0051  ataupun permohonan secara fizikal dengan walk-in ke ibu pejabat KAPB di Tingkat 2,  Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33, Jalan Rakyat 50470 Kuala Lumpur. 

Previous ArticleNext Article

Ke Mana Perginya Duit Simpanan Tabung Haji Kita? Ini Jawapannya

Setiap kali kita menyimpan duit di Tabung Haji, ramai yang tahu tujuan utamanya adalah untuk menunaikan ibadah haji.

Tetapi pernah tak terfikir…

Ke mana sebenarnya Tabung Haji melaburkan wang simpanan lebih 9.8 juta pendeposit ini?

Adakah semuanya disimpan dalam bank?

Jawapannya tidak.

Seperti institusi pelaburan lain, Tabung Haji akan melaburkan dana pendeposit bagi menjana keuntungan. Bezanya, semua pelaburan perlu mematuhi prinsip Syariah serta mengambil kira tahap risiko yang sesuai kerana wang tersebut adalah amanah para pendeposit.

Berapa besar dana Tabung Haji?

Sehingga 31 Disember 2025:

PerkaraNilai
Pendeposit9.77 juta orang
Simpanan PendepositRM93.42 bilion
Jumlah AsetRM98.58 bilion
Pendapatan Pelaburan KasarRM4.64 bilion
Pulangan Pelaburan (ROI)5.01%

Ke Mana Perginya Duit Simpanan Tabung Haji?

Daripada keseluruhan portfolio pelaburan Tabung Haji pada tahun 2025:

Walaupun hanya 28% portfolio berada dalam ekuiti, kelas aset ini menyumbang 34% daripada jumlah pendapatan pelaburan TH. Sebaliknya, sekuriti pendapatan tetap membentuk 57% portfolio tetapi menyumbang 53% pendapatan, menunjukkan peranan utamanya sebagai sumber pulangan yang lebih stabil dan berisiko lebih rendah.

Ekuiti (Saham)

Sebanyak 28% daripada portfolio pelaburan Tabung Haji diperuntukkan kepada pelaburan ekuiti. Pelaburan ini merangkumi saham syarikat di Malaysia dan juga luar negara, selaras dengan strategi kepelbagaian portfolio bagi menjana pulangan jangka panjang.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2025:

  • Ekuiti Domestik mencatat pulangan 5.47%
  • Ekuiti Luar Negara mencatat pulangan 7.03%
  • Private Equity pula merekodkan pulangan tertinggi iaitu 8.29% pada tahun 2025.

TH memegang ekuiti strategik dalam pelbagai syarikat terkemuka negara:

  • Bank Islam Malaysia Berhad (48.87%)
  • Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (30.80%)
  • TH Plantations Berhad (73.84%): Perladangan kelapa sawit tersenarai di Bursa Malaysia.
  • TH Properties Sdn. Bhd. (100%): Pembangunan hartanah & pembinaan.
  • TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. (100%): Rangkaian hotel & pusat konvensyen Syariah.
  • TH Marine Holdings (L) Inc. (100%): Perkhidmatan logistik & sokongan marin offshore.

Menariknya, TH tidak berkongsi saham apa yang dimiliki atau pegangan terbesar mereka dalam Laporan Tahunan 2025. Jadi, kita hanya tahu pendedahan kepada ekuiti tempatan dan luar negara, tetapi tidak tahu nama kesemua syarikat-syarikat yang berada dalam portfolio tersebut.

Namun, berdasarkan maklumat pemilikan saham yang tersedia di Bursa Malaysia dan platform data pasaran, kita masih boleh mengenal pasti beberapa pegangan saham utama.

Antaranya ialah:

  • Focus Point Holdings Bhd – Tabung Haji muncul sebagai antara pemegang saham utama dengan pegangan sekitar 31.08 juta saham (5.06%) pada Julai 2026.
  • AEON Co. (M) Bhd – 71.39 juta saham
  • Gas Malaysia Bhd – 63.67 juta saham
  • Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) – Tabung Haji memiliki kira-kira 6.24%, bersamaan 126.32 juta unit.
  • Farm Fresh Bhd – 56.13 juta saham
  • MR D.I.Y. Group – 127.51 juta saham
  • Orkim Bhd – 50.06 juta saham
  • Tenaga Nasional Berhad (TNB) – 73.52 juta saham
  • KPJ Healthcare Berhad – 43.29 juta saham
  • Solarvest Holdings Berhad – 25.26 juta saham
#SyarikatPeganganHarga Semasa (RM)Anggaran Nilai (RM Juta)
1Gas Malaysia Bhd63.67 juta5.27335.54
2Axis REIT126.32 juta1.92242.53
3MR D.I.Y. Group (M) Bhd127.51 juta1.61205.29
4Farm Fresh Bhd56.13 juta2.21124.05
5Tenaga Nasional Bhd73.52 juta14.561,070.45
6KPJ Healthcare Bhd43.29 juta3.12135.07
7AEON Co. (M) Bhd71.39 juta1.0574.96
8Solarvest Holdings Bhd25.26 juta3.0075.78
9Orkim Bhd50.06 juta0.8844.05
10Focus Point Holdings Bhd31.08 juta0.5115.85
Jumlah≈ RM2.32 bilion

Secara teori, jika semua pegangan ini dijual pada harga pasaran semasa, Tabung Haji berpotensi memperoleh sekitar RM2 bilion. Namun, angka ini hanyalah anggaran berdasarkan harga saham semasa dan tidak semestinya jumlah sebenar yang akan diterima.

Nilainya memang sekitar RM2 bilion berdasarkan harga semasa. Tetapi itu tidak bermaksud Tabung Haji perlu menjual saham-saham ini. Selagi syarikat terus mencatat prestasi yang baik dan membayar dividen, pegangan tersebut boleh terus menjana pendapatan kepada Tabung Haji sambil berpotensi meningkat nilainya dari semasa ke semasa.

Ini baru 10 syarikat yang berjaya dikenal pasti melalui rekod pemilikan saham awam. Sangat berkemungkinan masih terdapat banyak lagi pegangan ekuiti Tabung Haji yang tidak tersenarai di sini.

Nota: Maklumat pegangan diperoleh daripada sumber awam dan bukan senarai lengkap portfolio ekuiti Tabung Haji. Nilai anggaran adalah berdasarkan harga pasaran semasa ketika artikel ini disediakan dan tertakluk kepada perubahan harga saham.

Kenapa Tidak Labur Semua Duit Dalam Saham?

Kalau semua wang dilaburkan ke saham, pulangan mungkin lebih tinggi ketika pasaran naik.

Tetapi…

Apabila pasaran jatuh, nilai simpanan juga boleh terjejas dengan besar.

Sebab itu TH menggunakan strategi kepelbagaian pelaburan (diversification) supaya risiko lebih seimbang.

Bagaimana Pula dengan Ekuiti Swasta (Private Equity)?

Selain saham syarikat tersenarai, Tabung Haji turut melabur dalam ekuiti swasta (private equity). Menariknya, kelas aset ini mencatat pulangan pelaburan 8.29% pada tahun 2025, iaitu lebih tinggi berbanding ekuiti domestik (5.47%) dan ekuiti luar negara (7.03%).

Walau bagaimanapun, Laporan Tahunan 2025 tidak mendedahkan syarikat atau dana ekuiti swasta yang menjadi pegangan Tabung Haji.

Pelaburan ekuiti swasta menyumbang pulangan yang baik kepada Tabung Haji, namun maklumat mengenainya masih agak terhad dalam laporan tahunan. Pada masa hadapan, adalah wajar Tabung Haji mempertimbangkan pendedahan yang lebih terperinci mengenai portfolio ekuiti swasta, sekurang-kurangnya bagi pegangan utama. Ini akan membolehkan pendeposit memahami dengan lebih jelas bagaimana dana mereka diurus serta meningkatkan tahap ketelusan institusi.

Siapa Yang Menguruskan Pelaburan Tabung Haji?

Pengurusan pelaburan Tabung Haji tidak dibuat oleh seorang individu, sebaliknya diurus oleh pasukan pelaburan profesional yang terdiri daripada pengurus dana, penganalisis pelaburan dan pengurusan TH. Semua aktiviti pelaburan dipantau oleh Panel Pelaburan (Investment Panel), iaitu jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka strategi, dasar dan hala tuju pelaburan serta memastikan setiap keputusan selaras dengan objektif Tabung Haji, peraturan yang berkuat kuasa dan prinsip syariah. Laporan Tahunan 2025 turut menunjukkan bahawa TH mempunyai Pengurus Dana Ekuiti (Equity Fund Managers) yang memantau prestasi portfolio secara berkala, manakala pengurusan tertinggi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan pelaburan.

Penutup

Ramai melihat Tabung Haji sekadar tempat menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji. Hakikatnya, setiap ringgit yang disimpan diurus secara profesional melalui portfolio pelaburan yang dipelbagaikan dan mematuhi prinsip Syariah.

Strategi ini bertujuan mengimbangi antara pulangan, risiko dan kecairan, supaya Tabung Haji mampu terus memberikan agihan keuntungan yang kompetitif, melindungi simpanan pendeposit serta memastikan urusan haji dapat dilaksanakan secara mampan untuk jutaan rakyat Malaysia.

Sebagai pendeposit, memahami ke mana wang kita dilaburkan bukan sahaja menambah keyakinan terhadap pengurusan Tabung Haji, malah membantu kita menghargai bagaimana simpanan tersebut diurus bagi mencapai matlamat jangka panjang dan bukan sekadar untuk memperoleh pulangan, tetapi juga sebagai persediaan menunaikan rukun Islam kelima.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberi kefahaman tentang bagaimana Tabung Haji mengurus dan melaburkan dana pendeposit berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam Laporan Tahunan 2025. Ia bukan merupakan nasihat pelaburan. Sebarang perubahan dasar, strategi pelaburan atau komposisi portfolio adalah tertakluk kepada pengumuman rasmi Tabung Haji.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!