Sime Darby Motors Raikan Penyerahan 1,000 Unit EV Dalam Masa 100 Hari

KUALA LUMPUR, 12 April  (Bernama) — Sime Darby Motors (SDM), antara kumpulan automotif terkemuka di Asia Pasifik baru-baru ini meraikan penyerahan 1,000 unit kenderaan elektrik (EV) BYD ATTO 3 dalam masa 100 hari di Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran SDM Malaysia, Hong Kong dan Macau Jeffrey Gan berkata majlis itu turut menandakan satu lagi kejayaan penting dalam pasaran kenderaan elektrik Malaysia.

“Ini mencerminkan tahap populariti dan penerimaan EV yang semakin meningkat di negara ini

“Kami berharap dapat mengekalkan momentum penyerahan BYD ATTO 3 kami kepada pelanggan, dan majlis diadakan bertujuan meraikan semua pemilik kereta baharu. Kami akan terus memacu pertumbuhan permintaan EV di seluruh segmen pasaran kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Detik bersejarah ini telah diraikan bersama 1,000 pemilik pertama BYD di Malaysia.

Sejajar dengan kejayaan menyerahkan kenderaan baharu, BYD baru-baru ini membuka bilik pameran terbaharunya di Gurney Plaza, Pulau Pinang. 

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT BYD Motor Indonesia Eagle Zhao berkata pencapaian pecah rekod itu memperlihatkan kerjasama kukuh dengan SDM dan kedua-dua syarikat yakin dengan prospek pertumbuhan EV di Malaysia

“Kami berharap para pemilik BYD menikmati pengalaman unik bersama dan kami akan terus berusaha membawakan teknologi tenaga dan produk tenaga baharu di Malaysia pada masa depan,” katanya.

BYD ATTO 3 yang boleh didapati dalam dua pilihan dijual pada harga daripada RM149,800 bagi Standard Range dan RM167,800 bagi Extended Range, dengan pilihan lima warna iaitu Surf Blue, Parkour Red, Boulder Grey, Forest Green dan Ski White.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/