PMB Investment Umum Agihan 2.52 sen Seunit Untuk Dana Al-Aiman

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — PMB Investment Bhd (PMB Investment) telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 2.52 sen seunit untuk PMB Dana Al-Aiman bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2025, mencecah nilai pengagihan kasar sebanyak RM4.46 juta.

PMB Investment merupakan syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan Mara Bhd.

Katanya, nilai aset bersih (NAV) seunit sebelum agihan adalah RM0.4046 dan telah diselaraskan kepada RM0.3794 selepas agihan. “Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 31 Mei 2025, mewakili hasil sebanyak 5.01 peratus berdasarkan NAB penutupan dana.,” katanya melalui satu kenyataan.

Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin ketika mengulas mengenai dana ini berkata PMB Dana Al-Aiman terus memberikan pendapatan yang stabil sambil mengekalkan modal, dengan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 16.76 peratus atau purata pulangan tahunan sebanyak 5.56 peratus setakat 31 Mei 2025. “Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, piawaian tadbir urus yang kukuh serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur kami.” katanya lagi.

Dilancarkan pada 1968, PMB Dana Al-Aiman merupakan dana pertama yang diperkenalkan oleh PMB Investment.

Untuk maklumat lanjut mengenai dana PMB Investment, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Public Gold syarikat Malaysia pertama jadi ahli antarabangsa Shanghai Gold Exchange

KUALA LUMPUR: Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group berjaya menjadi ahli antarabangsa dalam Shanghai Gold Exchange (SGE) iaitu satu platform perdagangan emas yang paling berpengaruh di dunia.

Ini menjadikan Public Gold sebagai syarikat Malaysia pertama yang memperoleh pencapaian berkenaan.

Pencapaian bersejarah ini meletakkan kedudukan Public Gold di barisan hadapan dalam industri logam berharga ASEAN sekali gus memberikan akses langsung kepada rangkaian perdagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal dan kontrak emas yang dinilai dalam yuan Renminbi.

Syarikat itu berkata, penyertaan ini juga membolehkannya memperoleh serta menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE dengan lokasi strategik di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng, berkata menyertai SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan tetapi ia juga merupakan langkah strategik bagi menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas terpenting di dunia.

“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada keanggotaan SGE, Public Gold kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan akan memasuki pasaran London, seterusnya memperluas jangkauannya ke satu daripada pusat perdagangan emas terbesar dan paling kukuh di dunia.

“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Asia Barat, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” kata Public Gold.

Sebagai ahli Persatuan Emas Malaysia dan Singapore Bullion Market Association, Public Gold berhasrat memperkukuhkan peranan Malaysia dalam perdagangan logam berharga global sebagai sebuah syarikat yang bersepadu sepenuhnya.

Ia juga disasarkan beroperasi merentasi seluruh rantaian nilai emas iaitu daripada perdagangan emas borong hingga produk simpanan runcit, penyelesaian penyimpanan dan tawaran emas yang mematuhi prinsip Syariah.

Syarikat itu berkata, peluasan ke dalam SGE, IIBX, dan London mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penyertaan langsung dalam pasaran emas utama dunia sambil memperluas peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Asia Barat dan Eropah.

-BERNAMA

Baca lagi Perbandingan Simpan Emas dalam MIGA-i dan Public Gold