Harga Emas Rekod Prestasi Tahunan Terbaik Hampir 50 Tahun

BENGALURU: Harga emas dan perak diniagakan lebih rendah pada Rabu, namun kedua-dua logam berharga itu berada di landasan untuk mencatat pencapaian tahunan luar biasa menjelang penutupan tahun, manakala logam berharga lain turut merekodkan kenaikan mengagumkan.

Harga emas spot susut 0.3 peratus kepada AS$4,334.20 seauns pada jam 0032 GMT selepas mencecah paras tertinggi rekod AS$4,549.71 (RM564.86 segram) pada Jumaat lalu. Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Februari turun satu peratus kepada AS$4,346.50 seauns.

Pengukuhan dolar AS ke paras tertinggi lebih seminggu pada sesi sebelumnya menjadikan emas berdenominasi dolar lebih mahal kepada pemegang mata wang lain, sekali gus memberi tekanan jangka pendek kepada harga.

Bagaimanapun, emas mencatatkan kenaikan kukuh sepanjang 2025 dengan lonjakan sekitar 66 peratus setakat ini, sekali gus berada di landasan untuk prestasi tahunan terbaik sejak 1979, tahun berlakunya Revolusi Iran.

Kenaikan itu didorong pemotongan kadar faedah dan jangkaan pelonggaran lanjut oleh Rizab Persekutuan AS, konflik geopolitik yang berterusan, permintaan kukuh daripada bank pusat serta peningkatan pegangan dalam dana dagangan bursa.

Minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan keputusan pemotongan kadar faedah pada Disember dicapai selepas perbahasan mendalam mengenai risiko terhadap ekonomi AS. Mesyuarat seterusnya bank pusat itu dijadualkan pada 27 dan 28 Januari, dengan pelabur menjangkakan kadar faedah dikekalkan. Aset tanpa pulangan seperti emas lazimnya mendapat manfaat dalam persekitaran kadar faedah rendah.

Harga perak spot pula merosot 2.7 peratus kepada AS$74.41 seauns selepas mencecah paras tertinggi sepanjang masa AS$83.62 pada Isnin. Namun, perak melonjak 157 peratus sejak awal tahun, jauh mengatasi emas dan berada di landasan untuk tahun terbaik pernah direkodkan.

Lonjakan perak dipacu penembusan beberapa paras penting, disokong statusnya sebagai mineral kritikal AS, kekangan bekalan, inventori rendah serta peningkatan permintaan industri dan pelaburan.

Platinum spot susut 3.4 peratus kepada AS$2,123.55 seauns selepas melonjak ke paras tertinggi rekod AS$2,478.50 pada Isnin. Logam itu meningkat sekitar 135 peratus sepanjang tahun, juga menuju prestasi tahunan terbaik, disokong perubahan dasar Kesatuan Eropah mengenai larangan enjin pembakaran 2035, bekalan ketat dan permintaan pelaburan yang meningkat.

Palladium pula turun 1.6 peratus kepada AS$1,584.67 seauns, namun dijangka menutup tahun dengan kenaikan 74 peratus, prestasi terbaik dalam hampir 15 tahun.

– REUTERS

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian