PNB Umum Agihan Pendapatan ASB 5.75 Sen Untuk 2024, Tertinggi Dalam Lima Tahun

  • Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
  • Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion akan memanfaatkan 11.1
    juta pemegang unit ASB.
  • ASB memberikan pengagihan pendapatan kompetitif, mengatasi penanda arasnya
    iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata
    sebanyak 2.64% sepanjang tahun ini.
  • Pencapaian ini menandakan penghujung tahun yang kukuh bagi dana-dana ASNB,
    terutamanya Dana Harga Berubah, yang menunjukkan prestasi sangat baik,
    memberikan pulangan yang menerajui pasaran, mengatasi penanda aras masingmasing.
  • PNB telah menjadikan peningkatan simpanan pelanggannya sebagai tumpuannya di
    bawah Pelan Strategik baharunya, LEAP 6, yang menggariskan sasaran tinggi untuk
    meningkatkan AUM PNB kepada RM400 bilion.

Kuala Lumpur, 24 Disember 2024: – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024).

Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank. Bilangan akaun ASB meningkat 2.4% kepada 11.1 juta akaun,
mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, berkata, ”Kami berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun. Ini
meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.”

Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.

Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga 2024 (3Q24 berbanding 3.3% pada 3Q23), dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang dengan ketara, dan pengukuhan Ringgit yang meningkat 14.9% dari awal tahun sehingga November 2024 (YTD). Susulan daripada itu, Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.0% YTD24 selepas berhadapan sedekad prestasi lemah dengan 10-tahun KLCI sehingga 31 Disember 2023 sebanyak -22.1%.

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan
(GEAR-uP),” tambah Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad.

Tahun ini juga menyaksikan prestasi yang menerajui pasaran oleh Dana Harga Berubah ASNB. Pada penghujung November 2024, berdasarkan jumlah pulangan 1 tahun, semua Dana Harga Berubah ASNB mengatasi penanda aras masing-masing, dan diletakkan dalam dua kuartil teratas dalam kalangan dana setara mereka dalam segmen masing-masing. Sebagai contoh, enam dana ASNB Equity telah mencatatkan jumlah pulangan 1 tahun antara 15% dan 33% sehingga 30 November 2024, dengan dana terawalnya, Amanah Saham Nasional (ASN) dan ASN Equity Malaysia merekodkan pulangan 1 tahun masing-masing sebanyak 23.4% dan 33.2%.

2024 juga menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat semula kepada RM347 bilion daripada RM337 bilion yang direkodkan pada tahun 2023, dengan bilangan akaun meningkat 3.2% kepada 16.2 juta, dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unik baharu dan kini menjadi pelaburan pilihan lebih 13 juta rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung kekal sebagai cabaran kritikal dengan penyelidikan kajian Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024 menunjukkan lebih daripada 40% orang dewasa di Malaysia belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan dan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pertumbuhan simpanan sukarela
(tidak termasuk caruman KWSP) adalah kurang daripada 5% dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Bagi menangani cabaran ini, PNB telah menjadikan peningkatan simpanan pelanggannya sebagai tumpuannya di bawah Pelan Strategik baharunya, LEAP 6. Pelan Strategik itu menggariskan sasaran tinggi untuk meningkatkan AUM PNB kepada RM400 bilion menjelang 2027 melalui pelaksanaan transformasi merentas enam teras utama yang meliputi Jualan & Pengedaran, Pelaburan, Transformasi PNB Co, Pengetahuan, Inovasi dan Kemampanan.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad, berkata, “PNB komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak dan menambah simpanan tersebut melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran. Dalam konteks ini, kami akan meningkatkan usaha kami dalam celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan termaklum. Kami juga akan mempergiatkan inisiatif pemasaran kami untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan yang konsisten bagi jaminan kewangan jangka panjang.”

Antaranya, tahun ini menyaksikan komitmen berterusan PNB untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan karnival celik kewangan utamanya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), yang mencatatkan lebih 100,000 pengunjung tahun ini. Logo baharu ASNB turut diperkenalkan, bertujuan untuk menarik minat generasi muda. Bekerjasama dengan kerajaan, MSAM turut menyaksikan pelancaran Celik MADANI – Celik Kewangan Belia MADANI, sebuah inisiatif yang menyasarkan sejuta pelajar universiti untuk melabur dengan ASNB bagi menyemai lagi budaya menabung dan tabiat pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak muda.

“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif menggalakkan simpanan kepada semua rakyat Malaysia. Tindakan segera termasuk pengaktifan beberapa kempen untuk menggalakkan simpanan berulang, bagi menggalakkan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia melalui ciri Auto Laburnya, yang membolehkan pelabur melabur secara tetap dan automatik dengan serendah RM10 sebulan,” tambah Dato’ Abdul Rahman.

Sebagai usaha tambahan bagi mengurangkan kadar jualan balik dalam kalangan pemegang unit yang secara amnya melonjak selepas pengumuman dividen, ASNB merancang untuk melancarkan kempenkempen “#SimpanJe & Tambah” dan “#SimpanJe & Menang” pada Januari 2025, yang akan memberi ganjaran kepada pemegang unit yang mengekalkan dan menambah simpanan mereka selama suku pertama tahun tersebut. Sebagai contoh, untuk kempen “#SimpanJe & Tambah”, pemegang unit dengan baki pegangan minimum tertentu dan membuat pelaburan tambahan sehingga RM3,000 akan menerima ganjaran tambahan sebanyak sehingga 1.5% pulangan tahunan manakala mereka yang menyertai “#SimpanJe Kempen & Menang” boleh memenangi hadiah seperti pakej umrah atau melancong ke Eropah, telefon pintar dan baucar menarik. Butiran lanjut akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025. Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024. Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

QES Group: Pertumbuhan Menerusi Inisiatif Kenaikan Nilai

Saranan BELI kekal, harga sasar (TP) baharu menaik kepada MYR0.69 daripada MYR0.57, potensi kenaikan harga 21% dan kadar hasil dividen kira-kira 2% untuk FY27F

Selepas menghadiri perjumpaan dengan pihak pengurusan, kami tetap optimis akan prospek FY26 untuk QES Group, atas sokongan keterlihatan buku pesanan yang bertahan ketika fasa kenaikan semikonduktor yang berlangsung dan portfolio pembuatan yang kian berkembang. Pihak pengurusan meramalkan perolehan lebih kukuh dari 2Q26, didorong oleh peningkatan dalam teknologi perubatan (MedTech) dan prestasi bertahan dalam bahagian kejuruteraan nilai. Pada masa yang sama, sebarang kenaikan lanjut mungkin berpunca daripada ikhtiarikhtiar kerjasama dengan China yang menawarkan sumber pertumbuhan tambahan daripada segmen pasaran yang berbeza dalam jangka sederhana.

Keterlihatan FY26 yang kukuh

Setakat akhir bulan Mei 2026, buku pesanan belum bayar oleh QES terus bertahan pada paras MYR121j (akhir April: MYR122j), yang merangkumi MYR86j dan MYR35j bawah bahagian-bahagian kejuruteraan nilai dan pembuatan. Walaupun mencatat bil sekitar 45% daripada buku pesanan akhir bulan Apr pada akhir Jun, penambahan tempahan yang masih berjalan memastikan buku pesanan secara amnya terkawal dengan kira-kira 90% daripada buku pesanan belum bayar dijangka akan dilaksanakan pada FY26. Dalam hal berasingan, QES memperoleh tempahan sistem Pemeriksaan Optikal Automatik (AOI) yang terbesar baru-baru ini dari India dengan nilai mencecah sekitar MYR14j. Tempahan ini dijadualkan untuk penghantaran penuh pada FY26.

Tempahan MedTech terus meningkat

Setakat akhir Jun, QES berjaya memperoleh jumlah tempahan MedTech mencecah kira-kira MYR21.5j, manakala tempahan medtech yang tertunggak adalah sekitar MYR9j (kira-kira 26% buku pesanan pembuatan). Operasi MedTech sekarang menggunakan lebih kurang 90% ruang yang disediakan untuk kegunaan MedTech di Kilang A di Batu Kawan. QES sedang giat berhubung dengan beberapa syarikat MedTech multinasional yang sepatutnya mendorong lagi pertumbuhan tempahan dan memperkukuh kemampuan bahagian pembuatan ini untuk mencatat pulangan modal (1QFY26 PBT: -MYR1.5j).

Kerjasama dengan China berjalan dengan baiknya

QES sedang membangunkan sebuah bilik bersih Class 1000 di kemudahannya di Batu Kawan, dan ia dijadualkan siap dibina menjelang 4Q26, untuk menyokong kerjasama pembuatannya yang pertama dengan rakan kongsi yang berpangkalan di China. Projek ini dijangka menjana pendapatan sehingga MYR80j sebaik sahaja ia beroperasi dengan sepenuhnya. Dalam hal berasingan, kerjasamanya dengan Unicomp Technology mengembangkan peluang pertumbuhan menerusi pengedaran sistem-sistem
pemeriksaan sinar-X di rantau ASEAN (TAM: kira-kira USD5j setahun) dengan pendapatan awal dijangka diperoleh dari 4QFY26 sebelum menjadi sebuah pusat pembuatan serantau selepas fasa penyelidikan & pembangunan (R&D) selesai.

Perolehan dan TP

Kami tingkatkan perolehan FY26F-28F sebanyak 2%, 12% dan 11% supaya mencerminkan andaian hasil lebih kukuh yang diperkuat oleh keterlihatan buku pesanan yang bertahan dan pemulihan segmen pembuatan yang didorong oleh MedTech. Kami jangkakan margin akan menaik mulai 2Q26, dibantu oleh kadar penggunaan kilang lebih tinggi dan jangkaan pemulihan untuk bahagian pembuatannya. Kami menganjakkan penilaian kami ke FY27F dan mengekalkan P/E FY27F pada 23x, untuk memperoleh TP baharu sebanyak MYR0.69.

Faktor pemacu utama

i. Permintaan semikonduktor yang meningkat menyokong segmen kejuruteraan nilainya
ii. Pertumbuhan segmen pembuatan didorong oleh pesanan berkaitan teknologi perubatan
iii. Sumbangan berperingkat daripada kerjasamanya di China.

Risiko utama

i. Turun naik pesanan
ii. Kenaikan kos input
iii. Kemerosotan nilai USD berbanding MYR.

Pemegang Saham (%)

WA Capital – 26.2
Weng Chew Ne – 2.8
Norges Bank – 2.5

Profil Syarikat

QES terlinat dalam pengedaran peralatan pemeriksaan, ujian dan pengukuran, bahan-bahan, dan penyelesaian kejuruteraan. Ia juga mengilangkan peralatan pemeriksaan optikal, stok wafer, dan peralatan
berautomasi lain, khususnya untuk segmen semikonduktor.

Penganalisis
Lee Meng Horng +603 2302 8115 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.