SC Rancang Benarkan Dana Borong Dapat Pendedahan Kepada Aset Alternatif

KUALA LUMPUR, 17 Okt  (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merancang untuk membenarkan pasaran dana borong mendapat pendedahan kepada aset-aset alternatif seperti aset digital, akaun pelaburan dan nota-nota pelaburan.

Ini berikutan pendekatan liberalisasi dalam dana dagangan bursa (ETF) dan skim persaraan swasta (PRS) bulan lalu, yang membolehkan dana-dana runcit mendapat pendedahan untuk melabur dalam aset-aset digital dan akaun pelaburan, kata Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin.

 “Sebagai salah satu segmen pasaran kami yang tertua dan terbesar, industri unit amanah semestinya, yang pertama sekali, menyesuaikan diri dengan perubahan dalam permintaan.   

“Usaha mendapatkan pulangan telah menyaksikan pilihan pelabur beralih daripada produk konvensional ke arah aset-aset alternatif dan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

“Melangkah ke hadapan, trend ini berkemungkinan akan berterusan, di samping inovasi produk selanjutnya dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi,’’ kata beliau di Konvensyen Tahunan dan Siri Pendidikan Industri Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM).

Awang Adek juga mengumumkan cabang latihan dan pembangunannya, Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), akan memperkenalkan Pensijilan SRI untuk Profesional Pasaran pada 2023.

Sijil itu akan meningkatkan keupayaan industri, terutamanya yang terlibat dalam pengagihan dana, seperti unit amanah dan perunding PRS.

“Pengantara yang lebih lengkap akan meningkatkan keyakinan pelabur dan penyertaan dalam kelas aset SRI.

“Tabungan persaraan yang mencukupi selepas pandemik muncul sebagai satu perkara yang dibimbangkan dan mendesak. Ia juga memberi peluang untuk meningkatkan tawaran PRS, melalui pemahaman yang lebih baik tentang tingkah laku pelabur, dan merapatkan jurang simpanan persaraan,’’ katanya.

Di sebalik permintaan yang semakin meningkat, beliau mengingatkan pengantara pasaran untuk terus bertindak demi kepentingan terbaik kepada pelabur mereka.

“SC tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi salah laku perunding. Malah, kami telah mengeluarkan penalti lebih RM4 juta dari 2020 hingga 2022.

“Dari segi kelakuan, SC telah bertindak terhadap perunding kerana kegagalan menjelaskan dana unit amanah yang dipasarkannya, kerana menyediakan jaminan prestasi, transaksi tanpa kebenaran pada akaun pelanggan, dan mengeluarkan maklumat palsu atau mengelirukan,’’ katanya.

Beliau berkata, FIMM sebagai organisasi kawal selia kendiri, juga mesti terus mengenakan tindakan kepada “perunding jahat”.

Bagi empat tahun lepas, tindakan ke atas perunding telah diambil sebanyak 76 kali, bermula daripada teguran sehingga menggantung pendaftaran mereka, serta memerlukan perunding menghadiri latihan, tambahnya.

— BERNAMA 

Artikel asal: https://thekapital.my/sc-rancang-benarkan-dana-borong-dapat-pendedahan-kepada-aset-alternatif/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.