AirAsia X Selesai Ambil Alih AirAsia, AirAsia Aviation Group Daripada Capital A

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd menyelesaikan pengambilalihan AirAsia Bhd (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Bhd, menandakan berakhirnya proses penstrukturan semula kumpulan penerbangan itu.

“Urus niaga ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan sebanyak 2,307,692,307 saham biasa baharu dalam AirAsia X kepada Capital A dan pemegang sahamnya yang layak, selain pengambilalihan oleh AAX liabiliti berjumlah RM3.8 billion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AAB,” kata Air Asia X dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, AAX turut memperuntukkan dan menerbitkan 606,060,606 saham biasa baharu kepada pelabur pihak ketiga bebas menerusi tawaran saham persendiriannya.

Saham pertimbangan dan saham penempatan tersebut dijadual disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Januari 2026.

Air Asia X berkata, dengan selesainya urusan pengambilalihan ini semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia akan bergabung di bawah satu platform penerbangan tunggal iaitu ‘Kumpulan AirAsia’, sementara Capital A beralih bagi mengembangkan portfolio bukan penerbangan.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee, berkata penstrukturan semula itu telah mewujudkan platform penerbangan yang lebih kukuh dan cekap, meletakkan kumpulan tersebut di kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan.

“Lembaga pengarah yakin penyepaduan ini akan menyediakan sinergi yang signifikan dan memperkukuh penerajuan Kumpulan AirAsia di rantau ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penstrukturan semula tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan, termasuk penggunaan kumpulan pesawat yang lebih baik, perancangan rangkaian lebih bersepadu dan platform operasi lebih kukuh sambil memanfaatkan ekosistem penerbangan dan perjalanan lebih meluas yang dibangunkan melalui kumpulan syarikat Capital A.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

3 Kepentingan Utama Ilmu Pelaburan Untuk Semua Generasi

Dalam dunia hari ini, ilmu pelaburan bukan lagi satu kelebihan tambahan tetapi satu keperluan asas. Ramai rakyat Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada simpanan seperti KWSP tanpa sedar bahawa jumlah tersebut mungkin tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara. Tanpa kefahaman tentang pelaburan dan pengurusan kewangan, risiko untuk menghadapi kesempitan kewangan pada usia tua adalah tinggi. Oleh itu, memiliki ilmu pelaburan sejak awal dapat membantu kita merancang masa depan kewangan dengan lebih bijak dan berdaya tahan untuk semua generasi.

Hakikatnya, simpanan semata mata tidak menjamin kesejahteraan kewangan pada usia tua. Berdasarkan kajian yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, purata simpanan pencarum hanya membolehkan mereka menikmati sekitar RM208 sebulan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara. Persoalannya, adakah jumlah ini benar benar mencukupi untuk menampung keperluan harian, perubatan dan komitmen lain dalam tempoh yang begitu panjang.

Dalam pada itu, satu lagi statistik membimbangkan ialah hanya satu daripada tiga pencarum mampu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara.

Jadi, kita perlu tanya diri sendiri:
Adakah simpanan sahaja cukup jika kita tidak memiliki ilmu untuk menambah atau menguruskan wang tersebut dengan bijak?

Pelaburan bukan sekadar mengenai angka dan harga saham semata-mata. Ia berkenaan kemampuan membuat keputusan kewangan yang tepat, persediaan untuk masa depan, serta mewarisi kebijaksanaan kewangan kepada generasi seterusnya.

Atas sebab itulah, antara sebab utama mengapa anda perlu mula terlibat dalam dunia pelaburan adalah seperti berikut.

1. Menambah Simpanan Di Hari Tua

Kita sedia maklum bahawa had umur persaraan di Malaysia adalah 60 tahun. Kita juga ada mencarum KWSP sebagai langkah menyimpan untuk hari tua kelak. Setelah mengambil kira segala perbelanjaan harian termasuklah perubatan kelak, ia mungkin masih tidak mencukupi.

Dengan ilmu pelaburan, anda dapat:

  • Faham cara aset berkembang
  • Rancang strategi yang sesuai dengan matlamat kewangan
  • Bina simpanan tambahan yang dapat memberi pulangan lebih baik daripada simpanan biasa

Ini bukan sekadar teori tapi ia realiti yang menyentuh kehidupan kita semua.

2. Boleh Menjana Pendapatan Selepas Bersara

Apabila gaji bulanan sudah tiada, kebergantungan sepenuhnya kepada simpanan boleh menjadi satu tekanan. Ilmu pelaburan membuka peluang untuk menjana pendapatan tambahan walaupun selepas bersara. Pelaburan yang dirancang dengan baik boleh menjadi sumber pendapatan berterusan tanpa perlu bekerja sepenuh masa.

Pelaburan tidak semestinya memerlukan masa yang banyak setiap hari. Dengan pengetahuan yang mencukupi, seseorang boleh memilih instrumen yang sesuai, mengurus portfolio secara tersusun dan menyesuaikan strategi mengikut keperluan hidup. Pendekatan ini memberi fleksibiliti dan ketenangan kepada individu yang ingin menikmati kehidupan selepas bersara tanpa kebimbangan kewangan yang berlebihan.

Dalam dunia pelaburan, terdapat pelbagai pilihan instrumen yang boleh dipertimbangkan seperti emas, unit amanah, hartanah dan lain lain. Saham pula merupakan salah satu instrumen yang membolehkan pelabur memiliki sebahagian daripada perniagaan sesebuah syarikat dan berpotensi menikmati pulangan melalui pertumbuhan nilai serta keuntungan syarikat tersebut. Namun begitu, apa jua instrumen yang dipilih perlu didasari oleh ilmu dan kefahaman yang jelas agar risiko dapat diurus dengan baik.

Jom kita tengok satu-satu pilihan instrumen pelaburan yang ada : Peluang Pelaburan Patuh Syariah di Malaysia [2026]

3. Ilmu Pelaburan Boleh Diwarisi

Ilmu pelaburan bukan sekadar memberi manfaat kepada diri sendiri, malah mempunyai nilai jangka panjang apabila ia dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Wang yang dikumpul boleh habis, aset boleh susut nilainya, tetapi ilmu yang betul mampu membentuk cara berfikir yang berpanjangan.

Apabila ibu bapa mempunyai kefahaman tentang pengurusan kewangan dan pelaburan, mereka lebih cenderung untuk mendidik anak anak tentang nilai wang, kepentingan merancang masa depan dan risiko membuat keputusan kewangan tanpa ilmu. Pendedahan awal ini membantu generasi muda membina asas kewangan yang lebih kukuh sejak usia muda.

Seperti pepatah Melayu:

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Sebagai contoh, seorang ibu bapa yang mempunyai ilmu pelaburan boleh mula mendidik anak tentang nilai wang sejak usia muda. Anak diajar membezakan antara keperluan dan kehendak, memahami konsep menyimpan sebelum berbelanja dan melihat wang sebagai alat untuk membina masa depan, bukan sekadar untuk dihabiskan.

Apabila anak semakin membesar, mereka boleh diperkenalkan kepada konsep pelaburan secara berperingkat. Contohnya, ibu bapa boleh menerangkan bagaimana wang yang disimpan dalam tempoh tertentu boleh berkembang melalui pelaburan. Anak juga boleh dilatih membuat keputusan mudah seperti menetapkan matlamat kewangan dan memahami risiko sebelum memilih sesuatu instrumen.

Apabila dewasa, anak yang dibesarkan dengan asas ini lebih cenderung untuk mengurus pendapatan mereka dengan bijak, mengelakkan hutang yang tidak perlu dan merancang kewangan jangka panjang dengan lebih bertanggungjawab. Inilah nilai sebenar ilmu pelaburan yang diwariskan, bukan sekadar harta, tetapi cara berfikir dan membuat keputusan kewangan yang matang.

Selain itu, ilmu pelaburan juga membantu memastikan kekayaan yang dibina tidak terhenti pada satu generasi sahaja. Tanpa pengetahuan yang betul, harta yang diwarisi berisiko untuk susut atau habis dalam masa yang singkat. Sebaliknya, dengan kefahaman yang baik, generasi seterusnya mampu mengurus dan mengembangkan aset dengan lebih bertanggungjawab.

Ilmu Pelaburan Bukan Pilihan, Ia Keperluan

Ilmu pelaburan bukan lagi sesuatu yang eksklusif untuk golongan tertentu, tetapi satu keperluan penting untuk setiap individu tanpa mengira usia atau latar belakang. Realiti kos sara hidup yang semakin meningkat menuntut kita untuk berfikir lebih jauh daripada sekadar menyimpan wang.

Bergantung sepenuhnya kepada simpanan asas tanpa strategi tambahan mendedahkan kita kepada risiko kewangan yang besar selepas bersara. Sebaliknya, dengan ilmu pelaburan yang betul, kita bukan sahaja mampu menambah simpanan, malah berpeluang menjana pendapatan berterusan dan membina kestabilan kewangan dalam jangka panjang.

Lebih penting, ilmu pelaburan memberi kesan yang melangkaui diri sendiri. Ia membentuk cara kita membuat keputusan, mendidik generasi seterusnya dan memastikan kesejahteraan kewangan keluarga dapat dikekalkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Kesimpulannya, langkah terbaik yang boleh diambil hari ini ialah bermula dengan memahami asas pelaburan dan membina tabiat kewangan yang sihat. Masa depan kewangan yang lebih terjamin tidak datang secara kebetulan, tetapi dibina melalui ilmu, perancangan dan tindakan yang berterusan.