Menyimpan Emas Dari Muda Bukan Untuk Semua Orang (Ini sebabnya…)

Sejak awal 2026, harga emas banyak kali buat All-Time High (ATH).
Bila nampak emas makin lama makin mahal, ramai akan mula cakap:

“Kalau simpan emas dari muda, mesti kaya.”

Bunyi macam betul… tetapi sebenarnya menyimpan emas (atau lebih sesuai; pelaburan) dari muda bukan untuk semua orang, terutamanya untuk yang baru grad dan baru mula bekerja. Fasa ni biasanya gaji masih permulaan, komitmen baru nak terbentuk dan duit pun banyak pergi ke benda asas macam sewa rumah, makan minum, minyak kereta, duit puiblic transport dan bil utiliti.

Emas bukan magic. Dia cuma alat simpan nilai dan bukan jalan pintas.

Kadang-kadang kita teringin juga nak tengok harga emas ulang balik “circle” dia, jatuh dan mendatar lama macam dulu. Sejarah pernah tunjuk fasa panjang yang perit, contohnya sekitar 1980 sampai 2003, dan satu lagi tempoh lemah sekitar 2012 hingga 2017.

Harga emas 1980-2003

Kalau tak percaya, cuba tanya orang yang simpan emas sejak 2012. Cerita mereka biasanya lebih praktikal dan realistik. Sebab itu ayat yang lebih tepat ialah emas memang boleh simpan nilai dalam jangka panjang, tetapi dalam jangka pendek dan sederhana, emas tetap berisiko untuk jatuh dan boleh “sejuk” bertahun-tahun.

Jom saya cerita 3 situasi yang buat anak muda BELUM sesuai untuk fokus kepada emas.

1) Beli emas tapi tak faham kos tersembunyi

Ramai orang muda ingat:

“Emas tak pernah rugi.”

Sebenarnya emas boleh buat kita rugi bila:

  • spread beli/jual besar
  • beli emas terlalu mahal (ada kos upah)

Contoh:
Beli 1 gram emas pada harga RM680.

Bila kau nak jual semula, kedai cuma nak beli balik pada RM630. Maksudnya kalian dah “rugi” RM50 terus walaupun harga emas tak jatuh banyak pun.

Jadi harga emas perlu naik dulu sekurang-kurangnya RM50/g barulah balik modal.

Spread ini wujud sebab kedai emas kena ambil kira kos operasi, untung bisnes, dan risiko harga turun naik. Jadi harga beli balik memang lebih rendah daripada harga jual.

2) Kalau cashflow belum stabil, emas boleh jadi beban

Emas sesuai untuk orang yang boleh simpan lama.

Tapi kalau duit keluar masuk pun belum stabil, emas akan jadi “simpanan yang menyeksakan” sebab bila perlu duit, kita terpaksa jual.

Contoh:
Gaji Ali RM2,500.
Setiap bulan dia beli emas RM300.

Tiba-tiba motor rosak + kecemasan keluarga, perlukan RM1,200.
Ali tiada simpanan tunai. Jadi dia pun jual emas.

Masalahnya: jual emas bukan macam keluarkan duit tabung.
Ingat kos spread tadi? Dan silap haribulan, masa Ali terpaksa jual tu harga emas tengah turun / belum cukup tinggi dan bukan setakat “tak untung”, tapi boleh rugi terus.

3) Kalau ada hutang ‘bunga’ tinggi, emas bukan keutamaan

Ini ramai orang muda terlepas pandang.

Bila masih ada hutang:

  • kad kredit
  • BNPL (buy now pay later)

…emas sepatutnya bukan menjadi keutamaaan.

Contoh:
Kalian simpan emas, harap harga dia naik 10% setahun.

Tapi hutang kad kredit caj 15%–18% setahun.

Maksudnya:
Kalian simpan emas, tapi pada masa yang sama duit bocor lebih besar dekat hutang.

Risau sebab banyak hutang?

Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

Kesimpulan

Akhirnya, emas ni bukan benda wajib untuk semua anak muda. Tapi kalau kau faham cara dia, emas memang boleh jadi aset simpan nilai yang solid.

Cadangan paling selamat untuk anak muda:

  1. Stabilkan cashflow dulu
  2. Bina dana kecemasan (3–6 bulan)
  3. Selesaikan hutang bunga tinggi

Emas bukan untuk buat kau kaya cepat. Emas untuk pastikan kau tak miskin bila nilai duit jatuh.

Plih platform yang betul dan sesuai supaya senang simpan dan mudah jual bila perlu. Jom kami kongsikan 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas

Penafian: Perkongsian ini adalah untuk tujuan pendidikan dan kesedaran kewangan sahaja. Ia bukan nasihat kewangan untuk beli/jual emas. Sila buat kajian sendiri dan pastikan keputusan kewangan dibuat mengikut kemampuan masing-masing.

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.