Bursa Malaysia, RAM Bekerjasama Wujudkan Platform Kumpul Dana

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd dan agensi penarafan kredit RAM Holdings Bhd memeterai perjanjian pemegang saham hari ini bagi mewujudkan platform pengumpulan dana hutang untuk kemudahan syarikat kecil dan sederhana tersenarai atau sebaliknya dalam memanfaatkan sumber modal baharu selain pasaran borong tradisional.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata usaha sama dengan kepentingan 51:49 itu adalah menerusi satu badan korporat di bawah Akta Syarikat 2016 dengan pihak bursa berperanan sebagai pemegang kepentingan terbesar.

“Nota pelaburan dengan penarafan kredit yang diterbitkan di platform itu akan membolehkan pelabur melabur dalam nota-nota terbabit dengan mudah sepertimana dalam pasaran telus dan dikawal selia.

“Bursa Malaysia dan RAM akan menyediakan bantuan kewangan awal dan masa depan kepada syarikat baharu atau NewCo itu mengikut pegangan saham masing-masing dengan suntikan modal permulaan minimum RM5 juta dalam NewCo berkenaan,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysa Datuk Muhamad Umar Swift berkata langkah itu akan meningkatkan lagi saluran pengumpulan dana alternatif untuk perniagaan yang kurang mendapat perhatian dalam persekitaran mencabar masa kini serta belum bersedia untuk disenaraikan di bursa.

Platform tersebut turut mengetengahkan nota pelaburan dengan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi membantu penerbit yang berhasrat mengukuhkan kelayakan ESG dengan pelabur.

Bursa Malaysia dan RAM juga komited terhadap usaha sama itu selama minimum lima tahun dari 22 Dis, 2022 yang juga tarikh perjanjian pemegang saham itu.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bursa-malaysia-ram-bekerjasama-wujudkan-platform-kumpul-dana/

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.