Asri Ahmad Academy Mahu Lahirkan Lebih Ramai Graduan Sijil Profesional Analisis Teknikal

Seramai 132 orang graduan telah menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Profesional Analisis Teknikal dan Sijil Profesional Pelaburan Syariah di Grand Ballroom Hotel Tenera, Bangi pada 24 Disember 2022.

Modul pembelajaran khusus yang dipelopori Asri Ahmad Academy (AAA) bermula tahun 2021 ini telah mendapat pengiktirafan pihak UTMSpace dan terbukti releven untuk dipraktikkan dalam pasaran dan situasi sebenar.

Sijil Profesional Analisis Teknikal merupakan program kerjasama UTMSpace dan AAA yang mula ditawarkan pada tahun 2021 dan telah berjaya melahirkan 42 orang Profesional dalam bidang Analisis Teknikal. Manakala pada tahun 2022 pula, seramai 32 orang telah berjaya menamatkan program dimana para graduan perlu melengkapkan program selama 5 bulan.

Sijil Professional ini telah melahirkan pedagang dari kalangan alumni yang mahir menggunakan teknik analisis teknikal yang telah diguna pakai oleh pedagang dan pakar-pakar pasaran seperti pengurus dana di seluruh dunia.

AAA turut menawarkan Sijil Profesional Pelaburan Syariah yang menitikberatkan kepada produk patuh syariah di Bursa Malaysia yang dikendalikan oleh jurulatih yang berpengalaman dan mahir dalam bidang masing-masing.

Majlis penyampaian sijil itu disempurnakan oleh Pengarah Pembelajaran Sepanjang Hayat UTMSPACE, Sr Ts Dr Zakaria Mohd Yusof dengan disaksikan oleh Datuk Mohd Asri Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah International Federation of Technical Analysis (IFTA), Nik Ihsan Raja Abdullah.

Usaha, komitmen dan ketekunan para graduan telah membuahkan hasil dengan lahirnya graduan-graduan sijil profesional pada hari ini. Kerjasama dan pengiktirafan dari UTMSpace dan AAA akan diteruskan lagi untuk tahun-tahun akan datang.

Bagi mereka yang berminat dengan Sijil Profesional Analisis Teknikal dan Sijil Profesional Pelaburan Syariah ini, anda adalah dipelawa untuk menyertainya. Sila rujuk pada laman sesawang www.asriahmadacademy.com.

Dalam majlis ini juga, AAA turut menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Maahad Integrasi Madad (MIM) untuk berkongsi ilmu pelaburan saham kepada pelajar-pelajar tahfiz yang telah menamatkan pengajian mereka. Objektif program ini adalah untuk melatih para pelajar tahfiz supaya mampu menguruskan kewangan disamping menjana pendapatan melalui pelaburan saham.

AAA akan bertanggungjawab dan memberikan komitmen dalam menyampaikan ilmu pelaburan kepada para pelajar tahfiz ini.

Baca juga Alumni The Protege, Asri Ahmad Academy Beri Sumbangan RM100,000 Kepada Maahad Tahfiz Integrasi Sains Madinatul Huffaz

Previous ArticleNext Article

JCorp Tubuhkan Rangka Kerja Kewangan Mampan Sulung, Lantik Maybank Investment Bank Sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal

Kuala Lumpur – Johor Corporation (“JCorp”), institusi pembangunan utama dan pemacu ekonomi terkemuka Johor, berjaya menubuhkan Rangka Kerja Kewangan Mampan (“Rangka Kerja”) sulungnya, yang pertama seumpamanya oleh institusi pembangunan Malaysia dengan portfolio pelbagai sektor. Maybank Investment Bank Berhad dilantik sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal.

Pada Disember 2025, MARC Solutions Sdn Bhd telah memberikan penarafan Penilaian Impak “Emas” kepada Rangka Kerja JCorp melalui Second Party Opinion (SPO) bebas, sekali gus mengesahkan penjajarannya dengan garis panduan pasaran tempatan, serantau dan global yang berkaitan.

Rangka Kerja ini berfungsi sebagai alat tadbir urus berpandangan jauh untuk JCorp dan Kumpulan syarikatnya, termasuk syarikat operasi, subsidiari, syarikat tujuan khas (SPV) dan usaha sama, bagi mendapatkan serta menyalurkan pembiayaan mampan merentasi lima teras perniagaan utama iaitu kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, agribisnes, makanan dan restoran serta modal sabar (patient capital). Ini bagi memastikan keselarasan antara projek mampan sedia ada dan bakal dilaksanakan dengan komitmen kemampanan menyeluruh JCorp.

Selaras dengan portfolio yang pelbagai ini, Rangka Kerja tersebut merangkumi pelbagai Transaksi Kewangan Mampan (Sustainability Finance Transactions, “SFT”) seperti sukuk, bon, pinjaman dan pembiayaan Hijau, Sosial, Kemampanan serta Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), bagi menyokong pelaburan layak yang memberikan manfaat alam sekitar dan sosial yang boleh diukur. SFT ini akan menyokong komitmen JCorp untuk mengimbangi kehematan kewangan dengan tanggungjawab sosio-alam sekitar. Komitmen ini berteraskan misi JCorp, Membina dan Membela (Mewujudkan Nilai dan Memperkasa Komuniti Mampan), dengan memanfaatkan aset kewangan bersama warisan sosial dan alam sekitar yang dikongsi.

Rangka Kerja ini sejajar dengan piawaian pasaran dan menggariskan 10 kategori Penggunaan Hasil Hijau yang Layak serta lima kategori Penggunaan Hasil Sosial yang Layak, termasuk bangunan/bandar/infrastruktur hijau, kecekapan tenaga, pencegahan dan kawalan pencemaran, perumahan mampu milik, keselamatan makanan dan sistem makanan mampan serta kemajuan dan pemerkasaan sosioekonomi, seperti yang ditakrifkan dalam Rangka Kerja.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp berkata, “Rangka Kerja ini mencerminkan pendekatan JCorp terhadap pengurusan modal dan tanggungjawab dalam jangka panjang. Kemampanan bukanlah sesuatu yang ditambah kemudian, sebaliknya ia diterapkan dalam cara kami memperuntukkan modal, mentadbir risiko dan mengurus aset. Dengan berteraskan misi Membina dan Membela, strategi pembiayaan kami memandu bagaimana modal disalurkan secara bertanggungjawab untuk memberikan impak yang boleh diukur kepada Johor dan Malaysia.”

Michael Oh-Lau, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad berkata, “Rangka Kerja Kewangan Mampan JCorp memperkukuh ketelitian dan kredibiliti dalam pembiayaan inisiatif kemampanan, sekali gus meningkatkan impak syarikat sebagai pelabur merentasi pelbagai industri. Maybank sebelum ini menyokong Kumpulan JCorp dalam mencapai pencapaian penting pasaran hutang mampan, termasuk Sukuk Kemampanan KPJ Healthcare yang pertama bagi penerbit penjagaan kesihatan di ASEAN, serta Rangka Kerja Kewangan Mampan bersepadu Johor Plantations yang perintis. Maybank komited untuk memacu peralihan pelanggan ke arah masa depan yang lebih mampan selaras dengan strategi ROAR30 kami.”

Maybank menyasarkan untuk menggerakkan RM300 bilion pembiayaan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang, selepas berjaya menggerakkan RM156.3 bilion dari 2021 hingga akhir suku ketiga 2025.

Maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja ini boleh didapati di https://jcorp.com.my/